Mesyuarat Kedua Penggal Ketiga Dewan Negeri Selangor Tahun 2010

12 Julai 2010 hingga 15 Julai 2010

71) INDUSTRI HIJAU

Tahun: 2010

Sesi: 2

Isu: Alam Sekitar

Adun: Y.B. Puan Gan Pei Nei

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Senaraikan kawasan-kawasan mengikut PBT yang telah dikenal pasti sebagai kawasan Zon Industri Hijau.

    Kerajaan Negeri Selangor sentiasa menyediakan peluang dan ruang yang sama
    kepada semua sektor perindustrian yang giat beroperasi di negeri ini Kerajaan
    Negeri menyediakan 5 Zon Perindustrian Bebas Cukai (Free Industrial Zone) secara
    aktif di FIZ Sg. Way, FIZ Hulu Klang, FIZ Telok Panglima Garang, Zon Bebas
    Pelabuhan Klang dan Zon Perdagangan Bebas – MISC Logistik.
    Kerajaan Negeri kini dalam usaha penggalakan ke arah industri yang lebih mesra
    alam melalui sektor industri bio-teknologi dan sektor industri hijau. Kerajaan negeri
    percaya aktiviti perindustrian yang berteraskan teknologi hijau mampu bersaing di
    dunia pembuatan dan perindustrian.
    Kerajaan Negeri tidak meletakkan zon khas kepada mana-mana industri yang
    berasaskan teknologi hijau. Walau bagaimanapun, sebagai satu langkah permulaan,
    Kerajaan Negeri akan memfokuskan kawasan perindustrian di Science Park 2
    (SSP2) di Sepang sebagai perintis dalam menggalakkan pelaburan sektor
    perindustrian yang berasaskan teknologi hijau. Kerajaan Negeri percaya, usaha
    murni ini akan terus digarap dari masa ke masa agar sektor industri hijau
    berkembang di negeri ini.

  2. Apakah langkah-langkah yang diambil oleh kerajaan negeri bagi menggalakkan perkembangan industri hijau di Selangor?

    Dalam usaha menggalakkan pertumbuhan industri berasaskan teknologi hijau di
    negeri ini, Kerajaan Negeri akan sentiasa memberi pelbagai bantuan dari segi
    khidmat nasihat dan lain-lain perkhidmatan yang sewajarnya kepada para pelabur
    yang ingin membuat pelaburan industri berteknologi hijau di negeri Selangor.
    Walaupun perindustrian yang berasaskan teknologi hijau masih belum dipelopori
    oleh banyak penggiat industri, tetapi Kerajaan Negeri melalui Selangor State
    Investment Centre (SSIC) akan sentiasa membuat promosi di dalam dan luar negara
    bagi tujuan memperluaskan lagi industri ini pada masa hadapan.

  3. Adakah sebarang insentif ditawarkan oleh kerajaan negeri kepada pemilik industri hijau?

    Kerajaan Negeri sentiasa memberi peluang yang sama kepada semua jenis industri
    yang beroperasi di dalam negeri Selangor. Walaupun Kerajaan Negeri tidak
    menggariskan insentif khas bagi industri teknologi hijau tetapi Kerajaan Negeri masih
    lagi memenuhi setiap insentif yang telah digariskan oleh Lembaga Kemajuan
    Perindustrian Malaysia (MIDA). Insentif-insentif yang telah disediakan adalah
    merangkumi insentif pengurusan persekitaran seperti insentif bagi aktiviti kitar
    semula bahan industri, insentif bagi aktiviti pelupusan sisa toksik industri, insentif
    bagi pemuliharaan tenaga, insentif bagi aktiviti menggunakan sumber tenaga yang
    boleh diperbaharui dan insentif dari segi duti import dan pengecualian cukai jualan
    bagi sistem solar.

Lampiran

Tiada Lampiran.