Mesyuarat Kedua Penggal Ketiga Dewan Negeri Selangor Tahun 2010
12 Julai 2010 hingga 15 Julai 2010
64) TAMAN KEKAL PENGELUARAN MAKANAN (TKPM)
Tahun: 2010
Sesi: 2
Isu: Industri Asas Tani
Adun: Y.B. Tuan Lee Kim Sin
Kategori: Mulut
Sub Soalan
-
Apakah prestasi TKPM?
Sepanjang perlaksanaan Rancangan Malaysia Ke Sembilan ( RMK-9) sebanyak 12
buah Taman Kekal Pengeluaran Makanan ( TKPM ) telah berjaya diwujudkan yang
melibatkan kawasan seluas 1,300.45 hektar dan 350 orang usahawan dan syarikat
swasta Jumlah pengeluaran bagi tempoh ( 2006 – April 2010 ) adalah sebanyak
107,300 metrik tan sayur-sayuran dan buah-buahan dan jumlah nilai pengeluaran
sebanyak RM100.82 juta. Jumlah perbelanjaan kerajaan bagi membina dan
menyelenggara kemudahan infrastruktur ladang seperti jalan ladang , perparitan,
pusat pengumpulan hasil, bekalan elektrik dan bekalan air bersih pula adalah
sebanyak RM 21.35 juta ( Perbelanjaan Negeri RM11.70 juta dan Persekutuan
RM9.65 juta ). -
Apakah rancangan Jabatan Pertanian dalam mentransformasikan tanaman konvensional kepada tanaman bernilai komersial tinggi di TKMP?
Jenis-jenis projek pertanian yang diusahakan oleh usahawan/syarikat swasta di
TKPM Selangor pada masa ini adalah terdiri daripada :
i. Sayur-sayuran jenis daun ( sawi, kangkung, bayam )
ii. Sayur-sayuran jenis buah ( Cili , bendi, kacang panjang, timun dan terung )
iii. Buah-buahan ( Nanas, jagung, belimbing, jambu batu, pisang , tembikai)
iv. Bunga-bungaan ( Orkid, tanaman hiasan )
v. Ternakan ( lembu, kambing, ayam pedaging )
vi. Akuakultur ( ikan tilapia, ikan hiasan )
Pada masa ini prestasi hasil pengeluaran telah mencapai 80 % daripada hasil
potensi per hektar tanaman, kerana tanah-tanah yang terdapat di TKPM terdiri dari
tanah yang bermasalah seperti tanah gambut, tanah bekas lombong dan tanah
berbukit yang memerlukan pemuliharaan kesuburan tanah.Ini memberikan kesan
terhadap pendapatan usahawan yang belum mencapai pendapatan bersih RM3,000
sebulan secara keseluruhannya.Oleh yang demikian Jabatan Pertanian telah merancang beberapa penambahbaikan
ke arah transformasi pertanian secara menyeluruh agar pencapaian TKPM dapat
ditingkatkan. Antara langkah-langkah mentransformasikan TKPM Negeri Selangor
yang dilaksanakan secara berterusan ialah :
Pemuliharaan Sumber Tanah
Peserta Projek Yang Berdaya Maju
Amalan Teknologi Pertanian Moden
Amalan Pertanian Baik ( GAP )
Rangkaian Pemasaran ( Agribazaar )
Nilai Tambah Produk ( Industri Asas Tani )
1. Pemuliharaan Sumber Tanah:
Tanah-tanah di TKPM kebanyakannya adalah tanah bermasalah iaitu tanah gambut
( TKPM H.Chuchoh, Sg Blankan,Sg Kelambu,Kg Kundang, Sg Panjang ), tanah
bekas lombong ( Hulu Yam, Bistari Jaya, Semenyih ) dan tanah berbukit ( Batu
Arang, Batangsi )Oleh itu usaha-usaha pemuliharaan tanah berkenaan seperti
pengapuran, pembinaan teres dan tapak tanaman perlu dilakukan secara berterusan
dan kajian perlu dibuat agar tanah tersebut dapat dipulihkan dengan kadar yang
lebih cepat dan kos yang murah.
2. Peserta Projek Yang Berdaya Maju:
2.1 Sebahagian daripada peserta TKPM masih mendapat pulangan hasil dan
pendapatan yang rendah disebabkan faktor kurang mahir menguruskan
ladang mengikut kaedah yang betul. Oleh yang demikian peserta-peserta ini
akan diberikan latihan kemahiran dalam aspek pengurusan ladang,
pengurusan masa dan mematuhi disiplin sebagai pengusaha/peniaga dalam
sektor pertanian.
2.2 Pemilihan peserta juga akan diperketatkan di mana bakal peserta perlu
menunjukkan bahawa mereka benar-benar berminat, mahir dalam bidang
yang dijalankan serta mempunyai modal yang kukuh.
3. Amalan Teknologi Pertanian:
3.1 Teknologi merupakan aspek penting dalam industri pertanian dan sebahagian
peserta TKPM belum sepenuhnya menggunakan teknologi yang ada. Oleh
yang demikian usaha akan dilakukan agar peserta mendapat maklumat dan
mengamalkan teknologi pertanian terutama dalam aspek:
i. Penggunaan benih dan varieti tanaman yang berkualiti dan disyorkan
Jabatan Pertanian
ii. Penggunaan baja berasaskan mikrob ( organik ) yang boleh
meningkatkan tahap kesuburan tanah dan keupayaan pokok
menyerap sumber nutrien.Ini juga meliputi penggunaan kawalan
musuh dan penyakit secara organik
iii. Amalan teknologi mekanisasi ladang bagi mengurangkan tenaga
manual.
iv. Penggunaan teknologi sistem pengairan yang lebih efisyen.
4. Amalan Pertanian Baik ( GAP ):
i. Penggunaan benih dan varieti yang bermutu
ii. Penyertaan peserta dalam persijilan SALM dan SOM
iii. Penggunaan racun makhluk perosak yang betul dan mengikut kadar MRL yang
dibenarkan
5. Pemasaran:
i. Adalah didapati bahawa masalah utama yang sering dihadapi peserta adalah
harga pasaran yang tidak menentu , lambakan hasil pertanian dan kurang
rangkaian dalam pasaran dalam dan luar negara.
ii. Oleh yang demikian peserta TKPM akan dibantu dalam maklumat pasaran hasil
pertanian terkini ( FAMA XCHANGE ) dan sistem rangkaian pasaran (
AGRIBAZAAR oleh Jabatan Pertanian )
iii. Peserta-peserta projek TKPM juga akan didedahkan dengan lebih banyak
berkaitan pasaran melalui internet
6. Nilai Tambah Produk:
i. Hasil bahan mentah pertanian jika diproses akan memberikan pulangan yang
lebih baik dan tahan lama. Oleh yang demikian peserta-peserta TKPM
digalakkan menambah nilai produk dengan memproses bahan mentah seperti
ubi kayu, keledek, pisang, nanas dan lain-lain agar dapat dipasarkan dengan
lebih baik hingga eksport ke luar negara. Kerajaan juga perlu menyediakan
kemudahan premis, kilang dan pusat jualan produk nilai tambah dari peserta
TKPM. -
Adakah Jabatan Pertanian bersedia mewujudkan Task Force untuk mengkaji dan merancang semula TKPM?
Jabatan Pertanian bersedia dan bersetuju sekiranya perlu diwujudkan Task Force
bagi mengkaji dan merancang semula TKPM agar prestasi secara keseluruhan
aspek dapat ditingkatkan.