Mesyuarat Kedua Penggal Ketiga Dewan Negeri Selangor Tahun 2010

12 Julai 2010 hingga 15 Julai 2010

27) PELANCONGAN

Tahun: 2010

Sesi: 2

Isu: Pelancongan

Adun: Y.B. Tuan Haji Hasiman Bin Sidom

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Berapakah jumlah pelancong yang telah berkunjung ke Selangor, khususnya daerah Kuala Langat bagi tahun 2009 dan 2010?

    Jumlah pelancong yang telah berkunjung ke Selangor, khususnya daerah Kuala
    Langat bagi tahun 2009 dan 2010 adalah seperti berikut :-
    JUMLAH PENGUNJUNG DAERAH KUALA LANGAT 2009/2010

    BIL. JENIS PRODUK 2009 2010 ( Jan – Mei )
    1 Dong Zhen 1,000,000 600,000
    2 Pantai Kelanang 9,600 3,500
    3 Pantai Morib 10,200 5,100
    4 Bukit Jugra 8,250 3,800
    5 Makam 2,800 1,000
    6 Istana Bandar 3,000 900
    7 Muzium Jugra 2,000 1,300
    8 Produk IKS 25,000 10,000
    JUMLAH 1,060,850 625,600

  2. Apakah produk-produk pelancongan yang menjadi fokus kerajaan negeri untuk dibangunkan dan dipromosikan seluruh Selangor dan khasnya di Kuala Langat?

    Antara produk-produk pelancongan yang menjadi fokus kerajaan negeri untuk
    dibangunkan dan dipromosikan seluruh Selangor adalah Homestay-homestay di
    Selangor. Terdapat 16 buah homestay yang berdaftar di negeri Selangor yang kini
    semakin menjadi pilihan pengunjung untuk menjadikan kawasan tersebut sebagai
    destinasi percutian.
    Homestay merupakan sebuah destinasi pelancongan di mana pelancong-pelancong
    berpengalaman untuk tinggal bersama keluarga-keluarga angkat yang terdiri
    daripada pengusaha-pengusaha Homestay di dalam sebuah kampung dan
    pelancong-pelancong tersebut dapat merasai pengalaman menjalankan kehidupan
    sebenar di kampung. Selain itu, mereka juga akan menjalankan aktiviti-aktiviti rutin
    masyarakat kampung serta merasai masakan-masakan kampung mengikut pakejpakej yang ditawarkan. Setiap homestay di Selangor mempunyai tarikan dan
    keunikan tersendiri. Kerajaan Negeri Selangor melalui Tourism Selangor
    sememangnya sedang terus bergiat aktif dalam mempromosikan produk-produk
    pelancongan di negeri Selangor termasuk Homestay. Tourism Selangor seringkali
    menganjurkan acara di tempat-tempat pelancongan sekaligus mempromosikan
    tempat-tempat tersebut.
    Selain itu juga, Tourism Selangor seringkali membawa media untuk bersama-sama
    mempromosikan produk-produk pelancongan di negeri Selangor termasuk Homestay
    di dalam program Fam Tour di mana para pengamal media dibawa ke produk-produk
    pelancongan dan menikmati sendiri keindahan dan keunikan produk-produk
    pelancongan di negeri Selangor. Program tersebut telah mendapat maklumbalas dan
    komen yang positif daripada peserta Fam Tour yang turut disertai oleh para media
    daripada luar negara seperti Indonesia, Philipina, Jepun, Singapura dan lain-lain
    negara. Pada tahun 2009, dicatatkan sebanyak 27,533 orang pelancong telah
    berkunjung dan bercuti di Homestay Negeri Selangor dengan jumlah pendapatan
    mencecah hampir RM 1.5 juta. Sehingga Mei 2010, seramai 11,505 orang telah
    berkunjung ke Homestay dengan pendapatan sebanyak RM 582,531.00. Ini
    menunjukkan perkembangan positif dan penerimaan pengunjung terhadap Homestay
    di dalam industri pelancongan terutamanya di negeri Selangor.
    Untuk produk-produk pelancongan di Kuala Langat, fokus pembangunan adalah di
    Bukit Jugra yang terkenal dengan acara paragliding yang mana bukan sahaja
    dikenali oleh masyarakat tempatan, malah masyarakat antarabangsa yang mencintai
    sukan paragliding. Selain itu, Pantai Kelanang juga menjadi fokus utama untuk
    dibangunkan. Pantai Kelanang terletak berhampiran dengan Pantai Morib yang mana
    berpotensi menarik ramai pengunjung seperti di Pantai Morib. Selain daripada itu,
    Pantai Batu Laut juga menjadi pilihan untuk dibangunkan. Pantai Batu Laut pernah
    terkenal pada satu ketika dengan aktiviti sukan perahu layar. Aktiviti itu dirancang
    akan dihidupkan kembali dan mampu menarik tumpuan pengunjung dan boleh
    dimasukkan ke dalam pakej lawatan ke homestay-homestay sekitarnya.

  3. Berapakah peruntukan untuk memelihara produk-produk pelancongan sedia ada dan pembangunan produk pelancongan baru di Kuala Langat?

    Peruntukan yang diterima untuk memelihara produk-produk pelancongan di Kuala
    Langat berjumlah RM 7.2 juta. Jumlah ini berdasarkan maklumat yang diperolehi
    daripada Majlis Daerah Kuala Langat. Jumlah yang diperuntukkan untuk
    penyelenggaraan Bukit Jugra adalah sebanyak RM 2,072,000.00. Untuk Pantai
    Kelanang pula, peruntukan sebanyak RM 4,028,000.00 diperlukan untuk memelihara
    kawasan tersebut. Untuk menyelenggara kawasan Pantai Batu Laut pula, peruntukan
    yang digunakan adalah sebanyak RM 1.1 juta.
    Kos-kos ini digunakan untuk memelihara dan membaik pulih segala kemudahan
    yang terdapat di produk-produk pelancongan di Kuala Langat. Selain itu, terdapat
    juga peruntukan yang akan diberikan untuk memelihara produk-produk lain seperti
    Pulau Carey, Muzium Jugra dan produk-produk Industri Kecil Sederhana (IKS) di
    Daerah Kuala Langat.

Lampiran

Tiada Lampiran.