Mesyuarat Kedua Penggal Ketiga Dewan Negeri Selangor Tahun 2010
12 Julai 2010 hingga 15 Julai 2010
19) RANCANGAN MALAYSIA KE 10
Tahun: 2010
Sesi: 2
Isu: Kewangan & Ekonomi
Adun: Y.B. Datuk Mohd Isa Bin Abu Kasim
Kategori: Mulut
Sub Soalan
-
Rancangan Malaysia kesembilan (RMK-9) akan berakhir pada tahun 2010 dan kerajaan Persekutuan telah membentangkan Rancangan Malaysia kesepuluh (RMK-10) di Parlimen baru-baru ini. Adakah kerajaan negeri telah membuat kajian pencapaian RMK 9 bagi Negeri Selangor ?
Dalam RMKe-9 Negeri Selangor, peruntukan pembangunan yang disediakan oleh
Kerajaan negeri adalah berjumlah RM3.42 bilion. Ianya merupakan rancangan dan
peruntukan untuk tujuan pembangunan bagi tempoh 2006 hingga 2010. Dalam
tempoh tersebut sebanyak 76.2 peratus telah pun dibelanjakan iaitu berjumlah
RM2.61 bilion. Program-program pembangunan yang telah dilaksanakan adalah
meliputi program-program Mesra Rakyat, Pembangunan Ekonomi, Usahawan,
Latihan, Pembangunan Insan, Pusat Latihan, Pembangunan Kampung, dan
Pelancongan. Sejak Mac 2008, kerajaan Negeri Selangor telah menumpukan
program dan projek yang berlandaskan polisi Merakyatkan Ekonomi Negeri Selangor
di mana kekayaan dan hasil mahsul negeri akan dikembalikan untuk kesejahteraan
seluruh rakyat negeri Selangor ini. Maka itulah, pada tahun 2009 peruntukan
pembangunan negeri adalah sebanyak RM787 juta manakala bagi tahun 2010
peruntukan pembangunan yang disediakan adalah sebanyak RM590.4 juta. -
Adakah kerajaan negeri akan mempunyai perancangan sendiri untuk membangunkan kawasan luar bandar ?
Walaupun 90 peratus kawasan di negeri Selangor adalah dikategorikan sebagai
kawasan perbandaran, namun kerajaan Negeri Selangor tidak pernah terlintas untuk
mengabaikan kebajikan dan kesejahteraan seluruh penduduk yang tinggal di
kawasan luar bandar. Oleh itu, peruntukan yang disediakan untuk tujuan
pembangunan luar bandar pada tahun 2008 sebanyak RM7.5 juta, manakala bagi
tahun 2009 ialah sebanyak RM9.076 juta dan tahun 2010 pula meningkat kepada
RM10.8 juta. Peruntukan ini adalah bagi membangunkan projek-projek seperti
kemudahan asas desa, aktiviti pembangunan kampung, pembangunan kampung
baru, penyelenggaraan jalan kampung dan kemudahan asas sawah sempadan. -
Apakah nilai tambah dalam menjayakan prospek RMK-10 bagi Negeri Selangor ?
RMKe-9 bagi Negeri Selangor yang dirancang terdahulu telah dinilai semula dengan
menjadikan Hala Tuju Perancangan Pembangunan Negeri Selangor 2025 sebagai
panduan utama pembangunan Negeri Selangor yang akan datang. RMKe-10 Negeri
Selangor akan mengambil kira aspek pembangunan ekonomi, pembasmian
kemiskinan, pendidikan, pembangunan berterusan, ketelusan,
kebertanggungjawaban dan tindakan integriti, isu gender, inisiatif belia, peluang
pekerjaan, pembangunan sumber manusia dan latihan, serta isu agama. Maka
dengan hasrat itulah Kerajaan negeri Selangor telah memperkenalkan program
Merakyatkan Ekonomi Selangor atau MES yang pada prinsipnya setiap rakyat di
negeri Selangor adalah pemilik kepada sumber dan hasil kekayaan di negeri ini dan
mereka mempunyai hak ke atas sumber tersebut untuk digembleng bersama.
Penumpuan program MES ini adalah untuk menjaga kebajikan, kesamarataan,
kekayaan serta kesejahteraan setiap penduduk di negeri Selangor ini. Maka dengan
itu, sebaik mengambil alih tampuk pemerintahan kerajaan negeri, Pakatan Rakyat
telah melancarkan program-program seperti Bekalan Air Percuma bagi 20 meter
padu, Program Peningkatan hasil Batuan dan Mineral, Skim Mesra Usia Emas
(SMUE) dan Tabung Pendidikan Anak-Anak Pekerja Ladang. Selain itu, atas dasar
memberi nilai tambah kepada negeri Selangor pada masa sekarang dan akan
datang, Pakej Rangsangan Ekonomi telah diperkenalkan pada tahun 2008 yang
menekankan projek-projek yang dapat memberi pulangan pendapatan tinggi negeri.
Antara projek-projek yang sedang dijalankan melalui Pakej Rangsangan Ekonomi
tersebut adalah projek pemulihan dan pembangunan Sungai Klang, Penstrukturan
semula air, Projek Pembaharuan Bandar, Pembangunan Semula projek-projek
Terbengkalai dan Penambahbaikan Sistem Pengangkutan Awam di Lembah Klang
ini.