Mesyuarat Pertama Penggal Ketiga Dewan Negeri Selangor Tahun 2010
12 April 2010 hingga 14 April 2010
145) SEKTOR PELANCONGAN SEBAGAI SUMBER PENDAPATAN
Tahun: 2010
Sesi: 1
Isu: Pelancongan
Adun: Y.B. Tuan Dr Shafie Bin Abu Bakar
Kategori: Bertulis
Sub Soalan
-
Adakah sektor pelancongan menjadi sektor penting bagi pendapatan Negeri Selangor?
Sektor pelancongan akan terus mengekalkan kedudukannya sebagai antar penyumbang
penting kepada pendapatan negeri Selangor. Sehingga kini, sektor pelancongan masih
menjadi penyumbang kedua terbesar daripada aspek pendapatan tukaran wang asing.
Ini dapat dibuktikan melalui peningkatan kehadiran pelancong asing ke negeri ini.
Butiran ialah seperti berikut :-2006 – 1, 505, 614 orang
2007 – 1, 783, 343 orang
2008 – 2, 075, 735 orang
2009 – 2, 398, 680 orang
Dengan pelbagai program promosi dan penganjuran acara-acara pelancongan di negeri
ini, sektor pelancongan dijangka akan terus menjadi sumber pendapatan penting
kepada negeri Selangor. Tahun 2010 ini, melalui Tourism Selangor Sdn Bhd (TSSB),
negeri Selangor telah meneroka 2 pasaran baru pelancong asing iaitu di India dan
Russia. Maklum balas yang diterima setakat ini sangat memberangsangkan. Ini akan
terus mengukuhkan kedudukan negeri Selangor sebagai salah satu destinasi
pelancongan utama di negara ini.
Selain itu, peningkatan ketibaan pelancongan ke negeri ini telah banyak mempengaruhi
perkembangan dan kemajuan sektor perkhidmatan kecil lain seperti perniagaan borong.,
runcit, restoran dan hotel. Ini dapat dibuktikan melalui peningkatan penghunian ruangruang perniagaan, kadar penginapan dan penghunian bilik hotel. Ini bukan sahaja akan
menguntungkan peniaga, peruncit dan pengusaha hotel bahkan akan memberikan
pulangan kepada Kerajaan Negeri juga. -
Adakah pendapatan sektor pelancongan pada tahun 2009 lebih meningkat berbanding dengan tahun-tahun sebelumnya ?
Statistik pendapatan Kerajaan Negeri Selangor melalui sektor pelancongan adalah
seperti berikut :-
TAHUN PERUNTUKAN PULANGAN
2006 RM 2.51 billion
2007 RM 3.72 billion
2008 RM 3.98 billion
2009 RM 3.96 billion
Bagi tahun 2009, terdapat sedikit penurunan berikutan keadaan ekonomi dunia yang
masih tidak stabil dan ancaman wabak H1N1 yang menular di seluruh dunia termasuk
Malaysia. Ini menyebabkan para pelancong mengambil langkah berjaga-jaga dan
berjimat cermat. Namun begitu, Malaysia masih menjadi pilihan utama berikutan
penawaran pakej-pakej percutian dengan harga berpatutan, kestabilan politik dan
reputasi sebagai antara destinasi utama di rantau Asia. -
Apakah produk-produk pelancongan baru yang dijangka meningkatkan pendapatan dari segi pelancongan?
Negeri Selangor sentiasa memantau perkembangan produk-produk pelancongan di
negeri ini. Menyedari bahawa Selangor mempunyai banyak daya tarikan pelancongan
maka, beberapa produk telah dikenal pasti. Antara produk-produk pelancongan yang
telah disenaraikan ialah :-
i) Heritage Walk, Bandar Klang (Pelancongan Warisan)
ii) Little India, Bandar Klang ( Pelancongan Warisan)
iii) Galeri Diraja, Bandar Klang (Pelancongan Warisan)
iv) Sepang Gold Coast (Hotel)
v) Pelancongan Pendidikan (Universiti & Kolej)
vi) Pelancongan Kesihatan (Hospital & Pusat Perubatan Swasta)
Di samping pengenalan kepada produk-produk pelancong baru, beberapa produk
pelancongan sedia ada akan terus diberikan perhatian terutama daripada aspek
penyelenggaraan. Justeru itu, Kerajaan Negeri melalui UPEN telah menubuhkan
Jawatankuasa Teknikal Produk-Produk Pelancongan Negeri Selangor yang
dipengerusikan oleh Pengarah UPEN sendiri. Jawatankuasa ini ditubuhkan dengan
tujuan membuat pemantauan, perancangan pembangunan dan penambahbaikan
produk-produk pelancongan sedia ada. Ini sebagai langkah memberikan imej yang
positif kepada pengunjung terhadap komitmen Kerajaan Negeri terhadap pembangunan
pelancongan negeri ini.