Mesyuarat Pertama Penggal Ketiga Dewan Negeri Selangor Tahun 2010
12 April 2010 hingga 14 April 2010
108) PRESTASI KEWANGAN NEGERI SELANGOR
Tahun: 2010
Sesi: 1
Isu: Kewangan & Ekonomi
Adun: Y.B. Tuan Ng Suee Lim
Kategori: Bertulis
Sub Soalan
-
Sila nyatakan apakah kedudukan sebenar prestasi kewangan Negeri Selangor dalam tempoh masa 3 bulan yang pertama tahun 2010 berbanding tempoh yang sama pada tahun 2009 ?
Pencapaian perbelanjaan mengurus sehingga 31 Mac 2010 berbanding Bajet 2010
adalah sebanyak 22.20%. Manakala perbelanjaan pembangunan berbanding Bajet
2010 pula mencapai 14.21%. Jumlah perbelanjaan sebenar Kerajaan Negeri Selangor
bagi tempoh 01 Januari 2010 hingga 31 Mac 2010 adalah sebanyak RM243.64 juta.
Manakala perbelanjaan sebenar bagi tempoh yang sama pada 31 Mac 2009 adalah
sebanyak RM237.06 juta. Keseluruhan perbelanjaan bagi Mengurus dan Pembangunan
menunjukkan peningkatan sebanyak 2.8% (RM6.58 juta).
Prestasi jumlah kutipan hasil sebenar Kerajaan Negeri Selangor sehingga 31 Mac 2010
berbanding anggaran Hasil 2010 adalah sebanyak 22.07% (RM286.97 juta). Prestasi
jumlah kutipan hasil sebenar Kerajaan Negeri Selangor sehingga 31 Mac 2010
berbanding tahun 2009 bagi tempoh yang sama adalah meningkat sebanyak 3.32%
(RM9.21 juta) iaitu daripada RM277.76 juta kepada RM286.97 juta. -
Sila nyatakan apakah pendekatan yang dilakukan oleh Kerajaan Negeri untuk memperkukuhkan lagi kedudukan kewangan bagi menghadapi sebarang kemungkinan khususnya faktor kemelesetan ekonomi global yang tidak menentu ?
Pendekatan yang dilakukan oleh Kerajaan Negeri untuk memperkukuhkan lagi
kedudukan kewangan termasuklah:
i) Mewujudkan Jawatankuasa Pengurusan Tunai Kerajaan Negeri. Pewujudan
Jawatankuasa Pengurusan Tunai Kerajaan Negeri telah berjaya membantu
Kerajaan Negeri dalam menguruskan lebihan tunai dengan lebih efisien di
samping memberi pulangan faedah yang optimum. Bagi tahun 2008 dan 2009,
Kerajaan Negeri telah berjaya mengutip sebanyak RM20 juta berbanding RM14
juta pada tahun 2007 hasil daripada faedah ke atas pelaburan;
ii) Memastikan kedudukan rizab kerajaan Negeri berada pada kedudukan yang
optimum dengan mengambil kira keadaan ekonomi semasa;
iii) Kerajaan Negeri dalam mengawal perbelanjaan telah mengambil pendekatan
soft approach dimana Kerajaan Negeri tidak memotong peruntukan Jabatan
yang telah diluluskan. Walaubagaimanapun, Kerajaan Negeri akan memantau
perbelanjaan yang dibuat oleh Jabatan-Jabatan dari semasa ke semasa;
iv) Melancarkan dasar meningkatkan hasil bukan cukai melalui premium perlanjutan
tempoh pajakan di Negeri Selangor (perkara ini masih diperingkat penyediaan
dasar dan dijangka dilaksanakan pertengahan tahun ini);
v) Meneruskan pelaksanaan Operasi Bersepadu Mengutip Hasil Tanah (Ops. Kutip)
dengan kerjasama di antara Perbendaharaan Negeri Selangor, semua Pejabat
Tanah dan Daerah, Pejabat Tanah dan Galian Selangor dan Pusat ICT Selangor
sebagai satu pasukan. Di antara pendekatan yang dilaksanakan melalui Ops.
Kutip adalah seperti berikut:-
1) Polisi ‘Knock Door’ iaitu dengan menghantar notis tuntutan dan surat
peringatan terus kepada penunggak-penunggak tegar;
2) Mengadakan siri perbincangan bersama penunggak-penunggak tegar bagi
menyelesaikan cukai tanah tertunggak;
3) memberikan peluang kepada penunggak untuk membayar secara ansuran
berjadual dengan syarat pembayaran dibuat secara konsisten; dan
4) Sekiranya penunggak tegar tersebut masih tidak menjelaskan cukai tanah
tertunggak, Pejabat Tanah dan Daerah tanpa teragak-agak akan terus
menguatkuasakan Notis 6A, Notis Tuntutan Hasil Tertunggak dan
sekiranya dalam tempoh 3 bulan ia masih tidak dijelaskan maka seterusnya
Notis 8A, Rampasan Tanah akan dilaksanakan.
vi) Kerajaan Negeri terutamanya melalui Pejabat Tanah dan Daerah sentiasa
berusaha meningkatkan kutipan cukai tanah melalui beberapa kaedah iaitu:-
1) Mengenal pasti serta mengasingkan semua hakmilik (tertunggak) yang
bermasalah agar tindakan susulan dapat diambil;
2) Membuka kaunter kutipan di luar pejabat bagi Pejabat Tanah Daerah di
kawasan pedalaman;
3) Membuka kaunter pada waktu rehat; dan
4) Menambahkan saluran / kaedah pembayaran secara online dan pusat
pembayaran di kaunter PBT.
vii) Dalam menghadapi ketirisan hasil pasir, Kumpulan Semesta Sdn. Bhd. (KSSB)
berfungsi sebagai pengawal selia bagi mengelak ketirisan pendapatan daripada
industri pasir akibat aktiviti kecurian pasir yang telah berleluasa sejak sekian
lama. Modus operandi KSSB adalah tidak melibatkan orang tengah dan
kontraktor lantikan KSSB tidak perlu membayar imbuhan kepada mana-mana
pihak. Dahulunya, pengusaha-pengusaha pasir mencari jalan keluar yang tidak
beretika di antaranya dengan tidak memperakukan (declare) kuantiti sebenar
pasir yang dikeluarkan bagi menampung kos-kos imbuhan tersebut. Pada ketika
ini, Perbendaharaan Negeri Selangor memantau kutipan royalti pasir setiap
bulan melalui Pejabat Daerah / Tanah di seluruh Negeri Selangor dan setiap
laporan yang diterima akan dirujuk kepada pihak KSSB bagi tujuan pengesahan.
Selain itu, Kerajaan Negeri telah menubuhkan Jawatankuasa Pemantauan dan
Penyeragaman Berkaitan Bahan Batuan dan Mineral yang dipengerusikan oleh
Y.B. Dato’ Ramli bin Mahmud, Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor. Di bawah
jawatankuasa ini diwujudkan sebuah jawatankuasa kecil yang dipanggil
Jawatankuasa Merinyu yang diletakkan di bawah pengawasan Pejabat Pengarah
Tanah & Galian Selangor. Fungsi utama Jawatankuasa Merinyu ini ialah bagi
memantau operasi pengeluaran pasir yang telah diluluskan di bawah KSSB.
Jawatankuasa ini akan dianggotai oleh Pejabat Tanah dan Galian Selangor
(PTGS), Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), Lembaga Urus Air Selangor
(LUAS) dan Jabatan Mineral dan Geosains Selangor / Wilayah Persekutuan
Kuala Lumpur (JMG). -
Sila kemukakan butiran secara terperinci perbandingan prestasi kewangan Negeri Selangor bagi tahun 2008 dan 2009 memandangkan keadaan ekonomi global yang masih tenat ?
Prestasi kewangan Kerajaan Negeri Selangor bagi tahun 2009 berakhir dengan
kurangan sebanyak RM65.96 juta berbanding pada tahun 2008 iaitu lebihan sebanyak
RM49.10 juta. Kurangan ini disebabkan oleh hasil yang dipungut sebanyak RM1,763.87
juta adalah kurang berbanding dengan kos belanja mengurus sebanyak RM1,829.82
juta.
Hasil Kerajaan Negeri pada tahun 2009 adalah sebanyak RM1,763.87 juta berbanding
pungutan tahun 2008 berjumlah RM1,516.34 juta iaitu peningkatan sebanyak 16.4%.
Terimaan Bukan Hasil adalah merupakan penyumbang utama sumber hasil iaitu
sebanyak 201.76% diikuti Hasil Cukai 101.85% dan Hasil Bukan Cukai sebanyak
88.90%.
Perbelanjaan Mengurus telah mencapai 92.49% bagi tahun 2009 berbanding jumlah
yang disasarkan. Perbelanjaan Mengurus pada tahun 2009 berjumlah RM1,829.83 juta
berbanding RM1,467.23 juta pada tahun 2008 iaitu peningkatan sebanyak 24.80%
(RM362.60 juta). Pemberian dan Kenaikan Tetap merupakan belanja tertinggi bagi
Kerajaan Negeri iaitu berjumlah RM1,283.09 juta iaitu peningkatan sebanyak 33.70%
berbanding tahun 2008. Manakala perkhidmatan dan bekalan merupakan perbelanjaan
kedua tertinggi iaitu sebanyak RM291.48 juta, diikuti Emolumen sebanyak RM242.94
juta, Aset dan lain-lain sebanyak RM1.20 juta dan RM11.12 juta.