Mesyuarat Pertama Penggal Ketiga Dewan Negeri Selangor Tahun 2010

12 April 2010 hingga 14 April 2010

96) MASALAH ALAM SEKITAR

Tahun: 2010

Sesi: 1

Isu: Alam Sekitar

Adun: Y.B. Tuan Yap Lum Chin

Kategori: Bertulis

Sub Soalan

  1. Pencemaran alam sekitar di kawasan DUN Balakong kian meruncing tindakan Jabatan Alam Sekitar di PBT bagi memantau kualiti udara,sungai dan sampah-sarap di kawasan tersebut?

    Kawalan pencemaran yang melibatkan premis industri dilaksanakan oleh Jabatan Alam
    Sekitar Selangor berpandukan peruntukan di bawah Akta Kualiti Alam Sekeliling, 1974
    dan Peraturan-Peraturan yang di buat di bawahnya. Kilang-kilang yang gagal mematuhi
    kehendak Akta Kualiti Alam Sekeliling, 1974 dan Peraturan-Peraturan di bawahnya
    sama ada telah menyebabkan pencemaran udara atau air kepada alam sekitar akan
    diambil tindakan undang-undang di bawah Akta tersebut iaitu dengan mengeluarkan
    Notis Arahan, kompaun, tindakan mahkamah dan mengenakan Perintah Larangan
    beroperasi.
    Berdasarkan rekod didapati sebanyak 51 buah kilang di kawasan Balakong yang
    berpotensi melepaskan pencemaran udara dan air. Selain daripada diarah
    melaksanakan kawalan pencemaran udara dan air, pihak kilang juga diarah supaya
    melaksanakan kerja-kerja pengawasan alam sekitar (self monitoring) termasuk
    menjalankan percontohan pelepasan udara dari cerobong dan pelepasan effluen dari
    sistem pengolahan effluen dan mengemukakan laporan pengawasan tersebut secara
    berkala kepada Jabatan Alam Sekitar Negeri Selangor. Pada tahun 2009 sehingga kini
    Jabatan Alam Sekitar Negeri Selangor telah menjalankan sebanyak 58 pemeriksaan
    penguatkuasaan ke atas kilang-kilang di kawasan Balakong. Susulan dari lawatan
    tersebut Jabatan Alam Sekitar Negeri Selangor telah mengeluarkan 21 Notis Arahan di
    bawah Akta Kualiti Alam Sekeliling, 1974 bagi mengarahkan pekilang-pekilang untuk
    meningkatkan keupayaan alat kawalan pencemaran udara dan air bagi mematuhi
    standard pelepasan yang ditetapkan di bawah Akta Kualiti Alam Sekeliling, 1974 dan
    sebanyak 10 kompaun telah dikeluarkan.

    Di samping penguatkuasaan, perancangan pembangunan guna tanah yang tidak serasi
    di kawasan tersebut juga perlu diberi perhatian dan dikawal oleh pihak berkuasa
    tempatan. Pembangunan kawasan perumahan yang terlalu hampir atau bersebelahan
    dengan kawasan perindustrian tanpa zon penampan yang mencukupi juga
    menyebabkan masalah ‘residue pollutant’ lebih ketara dan menjadi punca aduan
    penduduk.

  2. Sungai merupakan satu sumber yang terpenting untuk manusia. Di Dun Balakong terdapat dua batang sungai yang penting, Sungai Langat dan Sungai Balak. Pihak kami mendapati kedua-dua sungai tersebut tidak diselenggarakan dengan sempurna dan akan menyebabkan sungai menjadi kotor. Apakah tahap penyelenggaraan sungai yang dijalankan sekarang memadai?

    Sungai Balak merupakan anak sungai Langat, sungai ini mengalir di dalam kawasan
    perindustrian, pertanian, dan perumahan, justeru itu keadaan sungai tersebut menjadi
    kotor. Dengan peruntukan sebanyak RM 100 000.00 di kawasan tersebut, kerja-kerja
    penyelenggaraan dijalankan di kawasan tersebut sebanyak sekali setahun. Pada masa
    ini jabatan lebih memberi tumpuan kepada kerja-kerja membaik pulih dan penstabilan
    tebing Sungai Balak dan Sungai Langat. Tahap penyelenggaraan yang sedia ada
    sememangnya tidak akan memadai sekiranya tiada kesedaran dan kerjasama daripada
    masyarakat setempat.

Lampiran

Tiada Lampiran.