Mesyuarat Pertama Penggal Ketiga Dewan Negeri Selangor Tahun 2010

12 April 2010 hingga 14 April 2010

89) ZOO NEGARA

Tahun: 2010

Sesi: 1

Isu: Pelancongan

Adun: Y.B. Tuan Haji Saari Bin Sungib

Kategori: Bertulis

Sub Soalan

  1. Zoo Negara adalah sebuah pusat pelancongan bertaraf dunia yang berada di Negeri Selangor. Apakah sumbangan Zoo Negara yang berada di dalam Negeri Selangor secara langsung kepada ekonomi dan sumber pendapatan negeri?

    Zoo Negara yang telah berusia hampir 47 tahun, merupakan antara produk pelancongan
    popular dan menjadi pilihan pengunjung sama ada dalam dan luar negara. Zoo Negara
    bukan sekadar produk pelancongan semata-mata bahkan merupakan lokasi bagi kajian,
    penyelidikan dan pembelajaran terutama berkaitan bidang zoology. Maka tidak hairanlah
    Zoo Negara amat dikenali bukan sahaja di Malaysia, tetapi juga di peringkat
    antarabangsa.
    Sumbangan dan peranan Zoo Negara kepada ekonomi dan pendapatan negeri
    Selangor perlu dilihat dalam skop yang lebih luas dan tidak hanya berbentuk aliran tunai
    semata-mata. Dengan reputasi kukuh selama hampir 47 tahun kedatangan pelancong
    dalam dan luar negara sangat menggalakkan. Terletak di dalam kawasan pentadbiran
    Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ), ia turut berperanan sebagai pelengkap
    kepada pakej pelancongan setempat yang melibatkan beberapa destinasi lain seperti
    Bukit Tabur, FINAS dan beberapa kawasan pelancongan lain.
    Ini telah memberikan kesan langsung kepada pembangunan dan kepesatan sektor
    pelancongan di negeri Selangor. Seperti produk-produk pelancongan lainnya, dengan
    reputasi yang dibina, ia telah menarik kemasukan pelancong ke negeri ini. Ini
    memberikan impak kepada penawaran dan perkhidmatan hotel, peruncitan, borong,
    restoran dan ruang niaga.
    Selain itu, kedatangan pelancong terutama dari luar negara telah menggalakkan tukaran
    wang asing, cukai barangan dan perkhidmatan, menggalakkan perkembangan teksi dan
    kereta sewa. Walaupun sumbangan Zoo Negara tidak dapat dilihat secara langsung,
    tetapi dengan penjenamaan dan reputasi kukuh serta promosi yang berterusan, Zoo
    Negara akan terus menjadi nadi penting kepada pembangunan dan kemajuan pesat
    sektor pelancongan di negeri Selangor.

  2. Bagaimana kewujudan Zoo Negara telah memberi peluang pekerjaan serta sumbangan dalam meningkatkan pendapatan penduduk tempatan?

    Tidak dapat dinafikan bahawa, kewujudan Zoo Negara telah sedikit sebanyak
    memberikan kesan dan sumbangan kepada peningkatan peluang-peluang ekonomi
    serta pendapatan penduduk setempat. Perkembangan dan peningkatan ketibaan
    pelancong ke Zoo Negara telah mewujudkan peluang-peluang perniagaan kepada
    penduduk. Ini dibuktikan melalui kewujudan ruang-ruang niaga (gerai makanan) di
    sekitar Zoo Negara dan Jalan Hulu Kelang. Kewujudan ruang niaga ini adalah sebagai
    memenuhi permintaan pengunjung yang memerlukan kawasan rehat dan menjamu
    selera sebelum dan setelah berkunjung ke Zoo Negara.
    Kewujudan Zoo Negara juga telah membuka peluang-peluang pekerjaan kepada
    penduduk sekitar. Dengan kepesatan dan pembangunan Zoo Negara yang semakin
    berkembang, ia telah memberikan manfaat daripada aspek penawaran dan keperluan
    tenaga kerja sedia ada dan tambahan.

  3. Apakah langkah-langkah yang telah diambil oleh kerajaan untuk memanfaatkan industri pelancongan negeri dengan wujudnya Zoo Negara dalam Negeri Selangor?

    Kerajaan Negeri Selangor sentiasa peka terhadap keperluan produk-produk
    pelancongan di seluruh negeri ini. Memandangkan reputasi Zoo Negara selama hampir
    47 tahun, ia telah menjadi antara daya tarikan utama pelancong ke negeri Selangor. Zoo
    Negara bukan sekadar produk pelancongan semata-mata bahkan turut berperanan
    menjadi pusat pendidikan, penyelidikan, konservasi dan rekreasi kepada pencinta alam
    semula jadi. Dengan fungsi dan peranan yang pelbagai, tidak hairanlah Zoo Negara
    akan terus menjadi antara tumpuan dalam senarai destinasi dan produk yang menjadi
    pilihan pelancong.
    Langkah paling utama Kerajaan Negeri ialah melalui program promosi yang berterusan
    sama da dalam dan luar negara. Promosi yang berterusan adalah sangat penting untuk
    mengekalkan momentum dan ingatan pelancong (terutamanya pelancong asing)
    terhadap tarikan di negeri Selangor. Ini telah dapat dibuktikan dengan pertambahan
    ketibaan pelancong yang semakin meningkat saban tahun. Bukan sahaja tumpuan
    terhadap Zoo Negara semata-mata bahkan kepada semua produk pelancongan yang
    terdapat di negeri ini.
    Kerajaan Negeri melalui Tourism Selangor akan terus bekerjasama dengan agensiagensi pelancongan, media (cetak dan elektronik), pengiklanan yang lebih agresif dan
    serta badan bukan kerajaan sektor pelancongan untuk memastikan perkembangan dan
    kemajuan industri pelancongan di negeri ini. Setiap tahun, sebanyak dua (2) kali
    perjumpaan bersama NGO dan key-palyers pelancongan negeri Selangor diadakan
    untuk membuka ruang dialog berkaitan penambahbaikan dan pembangunan sektor
    pelancongan di negeri Selangor. Ini turut melibatkan pemerhatian dan menilai semua
    potensi-potensi produk pelancongan di negeri ini termasuklah Zoo Negara. Hal ini
    sangat penting untuk mengkaji kelebihan-kelebihan yang boleh dieksploitasi dan
    memperbaiki kelemahan-kelemahan sedia ada.
    Kewujudan Zoo Negara juga memberikan peluang kepada Kerajaan Negeri dalam
    mempromosi dan memperluaskan skop baru pelancongan iaitu ekopelancongan,
    pelancongan pendidikan, kajian dan penyelidikan (R & D) serta menggalakkan
    pelancongan domestik. Ini kerana, di Malaysia, Zoo Negara merupakan antar Zoo
    terawal yang ditubuhkan dan menjadi penanda ras kepada pembangunan zoo-zoo lain
    di seluruh negara. Ini akan menggalakkan kedatangan pengunjung dalam negara
    terutamanya pelajar-pelajar sekolah, Institusi Pengajian Tinggi, golongan profesional
    dan para pencinta alam. Secara tidak langsung, ini akan memberikan gambaran yang
    sangat positif terhadap perkembangan sektor pelancongan di Selangor yang lebih
    pelbagai.

Lampiran

Tiada Lampiran.