Mesyuarat Pertama Penggal Ketiga Dewan Negeri Selangor Tahun 2010
12 April 2010 hingga 14 April 2010
73) HARI TANPA BEG PLASTIK
Tahun: 2010
Sesi: 1
Isu: Alam Sekitar
Adun: Y.B. Tuan Yap Lum Chin
Kategori: Bertulis
Sub Soalan
-
Bagaimanakah kerajaan negeri mempromosikan program ini?
Sebagai usaha untuk mempromosikan kempen ini kepada rakyat Selangor,
pengiklanan kempen dijalankan melalui laman web Negeri Selangor, banner dan
bunting yang dipasang di sekitar negeri Selangor, dan risalah-risalah mengenai
kempen “Hari Tanpa Beg Plastik” yang diedarkan.
Selain itu, penglibatan media juga amat penting bagi menghebahkan kempen ini
kepada semua rakyat Negeri Selangor melalui surat khabar dan media
elektronik. Saya selaku pengerusi Jawatankuasa Tetap Hal Ehwal Pengguna
turut menjalankan aktiviti “turun padang” pada hampir setiap hari Sabtu ke
tempat-tempat tertentu sebagai usaha untuk meningkatkan komitmen semua
pihak bagi memastikan keberkesanan kempen.
Pihak Berkuasa Tempatan di bawah Kerajaan Negeri juga menjalankan
program-program kecil mengenai kempen ini di daerah masing-masing sebagai
promosi kempen. -
Adakah kerajaan negeri bercadang untuk melanjutkan program ini melebihi satu hari dalam seminggu?
Ya, Kerajaan Negeri sememangnya bercadang untuk melanjutkan kempen ini
melebihi satu hari dalam seminggu sekiranya kempen ini didapati berjaya
selepas tempoh percubaan selama 6 bulan (Jun 2010) dan juga berdasarkan
permintaan daripada orang ramai untuk menambahkan hari kempen ini. -
Apakah pencapaian yang telah dicapai setakat ini?
Berdasarkan pemantauan Kerajaan negeri terhadap kempen “Hari Tanpa Beg
Plastik” ini sejak berkuat kuasa pada 9 Januari 2010., 54 pengusaha telah
menyertai kempen ini setakat Mac 2010 berbanding hanya beberapa pasar raya
pada Januari 2010. Peningkatan bilangan pengusaha yang terlibat dalam
kempen ini menunjukkan para pengusaha juga menitik beratkan isu alam sekitar
di Negeri Selangor di samping menjalankan perniagaan.
Berdasarkan statistik pengurangan beg plastik secara keseluruhan Negeri
Selangor, sebanyak lebih kurang 2 juta beg plastik berjaya dikurangkan setakat
Mac 2010 hasil daripada kempen “Hari Tanpa Beg Plastik” ini.