Mesyuarat Pertama Penggal Ketiga Dewan Negeri Selangor Tahun 2010
12 April 2010 hingga 14 April 2010
40) PEMUDAH SELANGOR
Tahun: 2010
Sesi: 1
Isu: Usahawan
Adun: Y.B. Tuan Lau Weng San
Kategori: Bertulis
Sub Soalan
-
Apakah hasil-hasil kajian yang Pasukan Petugas Khas Pemudah Cara Perniagaan (PEMUDAH) Selangor dalam mempertingkatkan kualiti perkhidmatan awam dalam membantu sektor perniagaan di Selangor?
LATAR BELAKANG
Pasukan Petugas Khas Pemudahcara Perniagaan Selangor (PEMUDAH Selangor) telah
ditubuhkan pada 19 Mac 2009 di mana keanggotaannya adalah terdiri daripada sektor
awam dan sektor swasta. Objektif utama PEMUDAH Selangor adalah untuk mengkaji
dan menyelesaikan isu-isu dari sudut kesukaran dan kelewatan yang timbul dalam
penyampaian perkhidmatan. Dalam konteks ini, penyelesaian isu-isu seperti kelewatan
memproses permohonan, kelewatan memberi kelulusan, masalah birokrasi, pengubalan
proses-proses kerja atau isu-isu yang menyentuh sistem penyampaian perkhidmatan
dengan tujuan memudahcarakan urusan perniagaan dengan menyediakan
perkhidmatan yang terbaik oleh sektor awam adalah diutamakan.
Dalam mencapai matlamat ini beberapa focus group ditubuhkan untuk membincangkan
dan memperhalusi isu-isu yang dibangkitkan di PEMUDAH Selangor. Antara contoh
focus group utama yang diwujudkan adalah seperti berikut:
i) Focus Group Kebenaran Pindah Milik Tanah (Consent to Transfer)
ii) Focus Group Hakmilik Strata (Strata Title)
iii) Focus Group Penambahbaikan Pengurusan OSC (One Stop Centre) dan
iv) Focus Group Security And Crime PreventionPENCAPAIAN PEMUDAH SELANGOR
Secara umumnya sejak PEMUDAH Selangor ditubuhkan banyak penambahbaikan dari
aspek tadbir urus yang baik telah dilaksanakan. Antara penambahbaikan yang utama
adalah berkaitan dengan urusan Tanah, urusan One Stop Centre Pihak Berkuasa
Tempatan dan juga urusan Keselamatan.
i. Urusan Tanah
Bagi urusan pentadbiran tanah, keseluruhan proses permohonan pindahmilik Hakmilik
Strata dan Kebenaran Pindahmilik (Consent to Transfer) telah diteliti, dikaji dan
dipendekkan tempoh dari 268 hari kepada 170 hari dan 28 hari kepada 25 hari masingmasing. Ini menunjukkan pengurangan tempoh memproses sebanyak 36.57 peratus
bagi proses permohonan Strata Title dan 10.71 peratus bagi Kebenaran Pindahmilik.
Walau bagaimanapun dalam mencapai tujuan ini, segala permohonan yang
dikemukakan kepada pihak Pejabat Tanah dan Galian Selangor juga perlulah lengkap
dan memenuhi syarat-syarat yang ditetapkan.
Di samping itu, PEMUDAH Selangor juga telah mengambil inisiatif dengan mengkaji
dan telah mencadangkan penambahbaikan Akta Bangunan dan Harta Bersama yang
juga melibatkan cadangan memansuhkan Akta 663 berkaitan pindahmilik Hakmilik
Strata semasa penyerahan kunci. Kertas cadangan ini juga telah dikemukakan kepada
peringkat persekutuan untuk diputuskan.
ii. Urusan One Stop Centre
PEMUDAH Selangor juga telah mengambil langkah-langkah proaktif dalam
menambahbaik dan memantapkan lagi urusan One Stop Centre (OSC) di semua Pihak
Berkuasa Tempatan Selangor selain daripada garis panduan pelaksanaan OSC sedia
ada dari persekutuan. Isu yang ketara dibangkitkan di PEMUDAH Selangor adalah
berkaitan dengan tempoh proses permohonan di OSC yang juga melibatkan ulasan
jabatan-jabatan teknikal untuk mendapatkan kelulusan. Untuk itu, PEMUDAH Selangor
telah memperhalusi isu ini dan antara langkah-langkah telah diambil untuk menangani
isu ini adalah seperti:-
1) semua jabatan teknikal telah diwajibkan untuk memberi ulasan teknikal dalam
tempoh 14 hari kepada OSC.
2) Tiada syarat-syarat tambahan boleh dikenakan kepada Pemaju/Pemohon
setelah kelulusan bersyarat diberikan kepada mereka
3) Segala permohonan akan ditolak serta merta sekiranya permohonan yang
dikemukakan kepada OSC adalah tidak lengkap atau tidak memenuhi syaratsyarat yang ditetapkan.
Segala penambahbaikan yang telah dilaksanakan dalam urusan OSC juga telah
dikelilingkan melalui Pekeliling Setiausaha Kerajaan Negeri Bilangan 3 Tahun 2009 dan
Surat Pekeliling Setiausaha Kerajaan Negeri Bilangan 1 Tahun 2009.
iii. Urusan Keselamatan
Dalam penyampaian perkhidmatan yang efisyen dari aspek keselamatan kepada
masyarakat, PEMUDAH Selangor telah menubuhkan Focus Group Security And Crime
Prevention yang dipengerusikan oleh Ketua Polis Selangor, Y.Bhg Dato’ Abdul Khalid
Bin Abu Bakar. Dalam focus group ini langkah-langkah dalam menangani jenayah di
Selangor sedang diteliti dan diusahakan. Buat masa ini, semua Pihak Berkuasa
Tempatan juga telah diwajibkan untuk melibatkan pihak polis dalam mesyuarat teknikal
perancangan pembangunan di negeri Selangor. Ini supaya pihak polis akan mendapat
pendedahan awal tentang pembangunan sesuatu kawasan dan dapat bertindak awal
untuk tujuan perancangan mereka bagi kawasan yang baru dibangunkan.
Selain daripada itu, aspek keselamatan di kawasan perumahan juga dititikberatkan.
Dalam kaitan ini, PEMUDAH Selangor sedang mengusahakan pengubalan satu Akta
yang lebih jelas berkaitan dengan Skim Komuniti Berpengawal bagi tujuan keselamatan
di sesuatu kawasan perumahan.
iv. KESIMPULAN
PEMUDAH Selangor merupakan satu platform yang strategik untuk membincangkan
isu-isu yang berkaitan dengan penambahbaikkan penyampaian perkhidmatan dengan
kolaborasi sektor awam dan juga sektor swasta. Umpamanya saranan pihak Real Estate
and Housing Developers’ Association (REHDA) di PEMUDAH Selangor untuk
menaikkan harga perolehan hartanah kepada warga asing sebanyak RM 250,000
selaras dengan kedudukan ekonomi semasa, telah dipertimbangkan dan diluluskan
oleh MMKN. Selain itu penyediaan Garis Panduan Perancangan dan Pembangunan
Kawasan Bukit dan Tanah Tinggi telah dipercepatkan untuk memudahkan pihak pemaju
untuk merancang pembangunan dan berurusan dengan kerajaan. Di samping itu,
beberapa isu yang dibangkitkan oleh sektor swasta berkaitan dengan penyampaian
perkhidmatan sedia ada sedang dikaji untuk penambahbaikan. Pada tahun ini skop
PEMUDAH Selangor juga akan diperluaskan untuk menangani isu-isu semasa yang
timbul di peringkat Small Medium Industries. Secara amnya kerajaan negeri melalui
PEMUDAH Selangor akan terus menpergiatkan lagi usaha-usaha untuk menambahbaik
penyampaian perkhidmatan yang sedia ada di jabatan/agensi negeri Selangor.