Mesyuarat Pertama Penggal Ketiga Dewan Negeri Selangor Tahun 2010

12 April 2010 hingga 14 April 2010

19) HASIL BATUAN

Tahun: 2010

Sesi: 1

Isu: Tanah & Sumber Alam

Adun: Y.B. Datuk Haji Johan Bin Abdul Aziz

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Selain hasil pasir biasa dan pasir sungai, negeri Selangor juga ada hasil seperti batu granit, batu kapur dan tanah merah. Adakah kerajaan negeri bercadang untuk mewujudkan syarikat lain yang akan menguruskan hasil-hasil batuan ini?

    1. Buat masa ini Kerajaan Negeri tidak bercadang untuk mewujudkan syarikat lain yang akan menguruskan hasil-hasil batuan kerana pada ketika ini Kerajaan Negeri memberi tumpuan khusus melalui anak syarikat kerajaan negeri,  Kumpulan Semesta Sdn. Bhd. kepada aktiviti perlombongan pasir  sebagai sumber dan penyumbang utama hasil bahan batuan kepada Kerajaan Negeri dalam merealisasikan agenda Merakyatkan Ekonomi Selangor (MES).
  2. Sampai bilakah sumber hasil batuan di Selangor dapat bertahan?

    1. Pada tahun 2008, pengeluaran agregat di negeri Selangor adalah sebanyak 22.2 juta metrik tan. Walau bagaimana pun, jumlah pengeluaran ini hanya mampu menampung 85 peratus (%) daripada keseluruhan permintaan untuk negeri Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya iaitu sebanyak 30 juta tan

    Dianggarkan, sehingga akhir tahun 2009, rizab batuan yang masih terdapat di kuari-kuari di negeri Selangor yang boleh di ekstrak adalah sebanyak 350 juta metrik tan. Sekiranya diambil kira kadar pengeluaran tahunan  semasa  (2008) iaitu 22.2 juta metrik tan, dilihat rizab ini hanya  mampu bertahan untuk  tempoh  16 tahun akan datang.

    Walau bagaimanapun, bergantung pada lokasi dan saiz kuari, dijangkakan bagi kuari batuan granit yang sedang beroperasi di negeri Selangor, jangka hayat mengikut keperluan semasa hanya mampu menampung permintaan industri pembangunan untuk tempoh 20 tahun sahaja lagi. Bagaimanapun  jika permintaan meningkat kepada 200% dalam masa 10 tahun akan datang, jangka hayat kuari-kuari seperti di kawasan Hutan Simpan Bukit Lagong hanya mampu bertahan untuk tempoh 10 tahun sahaja. Unjuran  ini  berdasarkan  kepada peningkatan jumlah penduduk, lonjakan permintaan kepada kadar pengeluaran per kapita serta pembangunan pesat di Lembah Kelang dan kini melangkau ke daerah Gombak (Rawang dan Selayang) serta daerah  Hulu  Langat (Kajang dan Cheras).

     

     

     

    Untuk kawasan kuari yang lain, peningkatan permintaan batuan agregat boleh menyebabkan jangka hayat kuari granit adalah dianggarkan kurang dari  15  tahun. (penggunaan semasa agregat batuan negeri Selangor ialah 4.3 tan per kapita, negara ialah 2.9 tan per kapita).

Lampiran

Tiada Lampiran.