Mesyuarat Kedua Penggal Keempat Dewan Negeri Selangor Tahun 2011
11 Julai 2011 hingga 13 Julai 2011
96) PENYIARAN RADIO INTERNET
Tahun: 2011
Sesi: 2
Isu: Pentadbiran
Adun: Y.B. Tuan Haji Saari Bin Sungib
Kategori: Bertulis
Sub Soalan
-
Apakah konsep dan objektif radio internet di bawah CCSB?
Radio Web Selangor (RWS) mula diperkenalkan pada 1 Mac 2011. Tujuannya ialah untuk mempelbagaikan cara persembahan maklumat berhubung Selangor. Ia juga bertujuan mengajak penonton berinteraksi dengan stesen melalui wawancara atau temu bual menggunakan internet.
Radio lebih banyak menyiarkan lagu dan diselang-seli dengan pengumuman atau hebahan maklumat mengenai aktiviti di Selangor. RWS diperkenalkan sebagai satu usaha menarik minat pelayar internet untuk menjalankan aktiviti harian mereka sambil mendengar tanpa perlu sentiasa berada di hadapan komputer.
Pada keseluruhannya tumpuan ketiga-tiga wadah CCSB (Selangorkini, TVselangor dan Radio Web Selangor) ialah – menyebarluaskan aktiviti pemimpin; aktiviti pihak berkuasa tempatan; dan institusi awam yang melaksanakan program Merakyatkan Ekonomi Selangor (MES).
Kesemua ini perlukan kerjasama daripada pejabat DUN dan institusi awam yang melaksanakan program MES untuk mengimarahkan kewujudannya kepada rakyat dan dijadikan tabiat (habit forming).
-
Apakah beza kumpulan yang hendak disasarkan oleh penyiaran TV Selangor berbanding dengan radio internet?
Kedua-duanya kumpulan sasaran perlu menggunakan internet. Bagaimanapun penggunaan radio internet khusus untuk mereka yang lebih cenderung mendengar dan melakukan kerja harian lain. Radio lebih banyak disulami lagu dan interaksi dengan juruhebah. Ia boleh menjadi forum perbincangan mengenai pelbagai isu semasa. TVS lebih khusus bagi mereka yang ingin menonton visual dalam bentuk berita, rencana dan isu ehwal semasa.
-
Berapakah kos yang dikeluarkan oleh Kerajaan Negeri untuk menjayakan radio internet di bawah CCSB?
Tiada peruntukan tambahan diperlukan. Dalam Bajet 2011 CCSB yang diluluskan oleh Lembaga Pengarah pada Januari 2011, memang ada peruntukan untuk memulakan siaran radio (free to air). Bagaimanapun permohonan untuk mendapatkan lesen menggerakkan sebuah stesen radio tidak dapat dipertimbangkan oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia kerana “tidak ada frekuensi FM” yang kosong.
RWS atau radio internet ini tidak memerlukan sumber tenaga manusia tambahan. Kakitangan sedia ada digerakkan untuk melaksanakan program ini. Peralatan tambahan seperti komputer, mixer dan mikrofon dianggarkan RM 26,000.