Mesyuarat Kedua Penggal Keempat Dewan Negeri Selangor Tahun 2011
11 Julai 2011 hingga 13 Julai 2011
27) PERUMAHAN TERBENGKALAI
Tahun: 2011
Sesi: 2
Isu: Perumahan
Adun: Y.B. Datuk Mohd Isa Bin Abu Kasim
Kategori: Bertulis
Sub Soalan
-
Terdapat banyak projek perumahan terbangkalai di Negeri Selangor ini salah satu ialah Projek Pembesaran Kampung Koskan, Sungai Choh. Pembeli yang terlibat telah menghadapi pelbagai masalah sejak sembilan tahun lalu untuk mendiami rumah mereka kerana tidak disiapkan oleh pemaju. Apakah tindakan yang telah diambil oleh Kerajaan Negeri terhadap projek perumahan pembesaran Kampung Koskan ini dan Bolehkah dijelaskan apakah status dan kemajuan projek tersebut ?
- Untuk makluman Berhormat, beberapa siri mesyuarat telah diaturkan oleh LPHS, Pejabat Tanah Hulu Selangor, Majlis Daerah Hulu Selangor, termasuk jabatan teknikal seperti JPS, TNB dan SYABAS dan kontraktor projek iaitu Ehsanibu Sdn Bhd bagi tujuan mempercepatkan kaedah pemulihan projek tersebut dengan mengenakan syarat minima bagi membolehkan projek disambung semula.
Selain itu, Kerajaan Negeri juga telah mengambil tindakan ke atas kontraktor terbabit dengan mendapatkan nama-nama Ahli Lembaga Pengarah tersebut daripada Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) untuk disenaraihitamkan dan diedarkan kepada semua Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan turut dipaparkan dalam laman web Lembaga Perumahan Dan Hartanah Selangor (LPHS) Di samping itu nama-nama pemaju yang disenaraihitamkan tersebut tidak akan dibenarkan untuk melaksanakan apa-apa pembangunan di Negeri Selangor termasuk membuat permohonan untuk pembangunan tanah walaupun mereka hanya berperanan sebagai salah seorang pemilik syer sahaja di bawah syarikat pemaju lain.
Berdasarkan laporan terkini daripada kontraktor terbabit memaklumkan permohonan kebenaran untuk membangunkan pencawang TNB di atas tanah kerajaan bagi membekalkan bekalan elektirk kepada tapak projek ini telah mendapat persetujuan daripada Pejabat Tanah Hulu Selangor. Sehingga kini, kontraktor terbabit masih berusaha mendapatkan kelulusan daripada Jabatan Teknikal seperti JPS, TNB dan SYABAS bagi mempercepatkan usaha pemulihan projek tersebut. Berdasarkan kemajuan kerja di tapak mendapati pembinaan bangunan telah mencapai 85% siap iaitu bagi pembeli-pembeli yang telah diluluskan pinjaman sahaja manakala pembeli-pembeli yang masih belum mendapat kelulusan pinjaman peratus penyiapan adalah berbeza. Walaubagaimanapun, kerja-kerja pembinaan ditapak adakalanya berjalan semula dan adakalanya terhenti sementara, ini menyebabkan pemulihan projek ini mengambil masa yang panjang dan meningkatkan kos pemulihan.
-
Bagaimanakah Kerajaan Negeri membantu pembeli untuk mendapatkan hak sebagai pembeli dan pemilik rumah tersebut ?
Kerajaan Negeri akan mengambil beberapa langkah pro aktif ke arah membantu pembeli-pembeli projek yang terbengkalai bagi mendapatkan hak sebagai pembeli dan pemilik rumah tersebut adalah seperti berikut :
- Membantu pembeli menubuhkan jawatankuasa bertindak supaya tindakan yang diambil dapat diselaraskan dengan pihak berkuasa dan badan yang terlibat di mana persetujuan untuk memulihkan perlu diperoleh daripada sekurangkurangnya 85% daripada pembeli.
- Bagi projek terbengkalai di bawah Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) ia akan dirujuk kepada KPKT untuk mendapatkan surat pengesahan projek terbengkalai supaya pembeli dapat berurusan dengan pihak bank bagi penyusunan semula pembiayaan pinjaman manakala bagi kes yang tidak berdaftar di bawah KPKT, LPHS akan mengeluarkan surat pengesahan projek terbengkalai tersebut.
- LPHS juga akan mengadakan perbincangan dengan pemaju terbabit bersama semua jabatan teknikal termasuk pihak bank sekiranya projek tersebut berdaya maju dan boleh dipulihkan dengan tujuan mempercepatkan pemulihan projek di samping mengenakan syarat minima bagi membolehkan projek disambung semula dengan kos tambahan yang kecil tanpa mengabaikan isu-isu keselamatan.
- Bagi pemaju yang menghadapi masalah kewangan, LPHS akan mengatur pertemuan dengan pembiaya-pembiaya bagi melihat pendekatan yang sesuai dalam membantu pemaju-pemaju menstrukturkan semula pembiayaan titian (bridging loan) supaya projek boleh diteruskan. Sekiranya masih gagal dan terdapat pemaju/kontraktor berwibawa yang berminat memulihkan projek berkenaan LPHS akan mengemukakan cadangan pemulihan tersebut kepada KPKT untuk membuat keputusan.
- Bagi pemaju-pemaju yang sedang dalam proses atau telah digulung, perbincangan dengan pihak Jabatan Insolvensi Malaysia akan diaturkan dari masa ke semasa untuk menyemak sama ada Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor (LPHS) boleh mencadangkan mana-mana ‘liquidator’/Pegawai Penerima yang berwibawa bagi mempercepatkan pemulihan semula projek terbengkalai. Bagi projek-projek yang telah diletakkan di bawah ‘liquidator’/Pegawai Penerima pula perbincangan akan dijalankan bersama ‘liquidator’/Pegawai Penerima terbabit bagi mencari kaedah terbaik dalam memulihkan projek yang terbengkalai.
- Bagi projek yang boleh dipulihkan di mana melibatkan kenaikan kos, LPHS akan melantik Juruukur Bahan untuk menilai semula kos pemulihan projek tersebut yang bertujuan untuk memaklumkan kos tambahan yang perlu ditanggung oleh pembeli sekiranya projek itu ingin diteruskan.
- Penubuhan Jawatankuasa Pemulihan Projek Terbengkalai (JPPT) yang terdiri daripada Y.B. Penasihat Undang-Undang, Pengarah Eksekutif LPHS, Pembantu EXCO Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Setinggan, Pejabat Penasihat Ekonomi Negeri Selangor, Jabatan Kerja Raya, Pengarah Tanah dan Galian Selangor, Pejabat Tanah dan Daerah berkaitan, Pihak Berkuasa Tempatan berkaitan, Jabatan Perancang Bandar dan Desa, Jabatan Insolvensi / Liquidator, Jawatankuasa Pembeli/Pemilik Rumah dan Bank terlibat yang mana dipengerusikan oleh saya sendiri bagi membincangkan dan mendapatkan kerjasama semua pihak dalam memulihkan projek terbengkalai. Jawatankuasa ini akan membuat penilaian semula projek terbengkalai sama ada projek tersebut berdaya maju dan boleh dipulihkan. Setakat ini sebanyak 9 projek terbengkalai telah dikenalpasti berpotensi untuk dipulihkan.
- Kerajaan Negeri juga sebagai tindakan terakhir telah mengambil tindakan perampasan beberapa keping tanah atas faktor wujud pelanggaran peruntukkan di bawah Kanun Tanah Negara 1965 seperti kegagalan membayar cukai tanah di bawah S.100 KTN dan pelanggaran syarat kegunaan tanah atau syarat tersirat di bawah S.129 KTN bagi memastikan hak pembeli terhadap hartanah mereka terjamin.
-
Adakah Kerajaan Negeri akan berusaha untuk mendapat pampasan untuk diberikan kepada pembeli-pembeli tersebut ?
Seperti Yang Berhormat sedia maklum pembelian sesebuah rumah atau hartanah adalah melalui perjanjian jual beli di antara pemaju dan pembeli. Dalam erti kata lain satu kontrak telah ditandatangani oleh kedua-dua belah pihak dan sekiranya berlaku “breach of contract” maka pihak terlibat perlu membawa kes mereka ke mahkamah. Begitu juga keadaannya apabila pembeli-pembeli rumah mereka terbengkalai. Kerajaan Negeri tidak mempunyai “locus standi” untuk mengambil apa-apa tindakan terhadap mana-mana pihak yang terlibat.