Mesyuarat Kedua Penggal Keempat Dewan Negeri Selangor Tahun 2011
11 Julai 2011 hingga 13 Julai 2011
22) LESEN INDUSTRI BURUNG WALIT
Tahun: 2011
Sesi: 2
Isu: Kerajaan Tempatan
Adun: Y.B. Puan Gan Pei Nei
Kategori: Bertulis
Sub Soalan
-
Apakah syarat-syarat yang perlu dipatuhi untuk pengurusan industri burung walit diluluskan?
Untuk makluman Y.B Puan, Kerajaan Negeri telah pun mengaplikasikan syarat-syarat yang telah ditetapkan di dalam Garis Panduan Pembangunan Industri Burung Walit yang dikeluarkan oleh Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani. Dalam pada masa yang sama, Kerajaan Negeri juga telah memutuskan agar pengurusan lesen industri berkenaan diletakkan di bawah Undang-undang Kecil Tred, Perniagaan dan Perindustrian buat sementara waktu memandangkan Undang-Undang Kecil Pelesenan Burung Walit masih dalam tindakan pengemaskinian.
Selain itu, Kerajaan Negeri dengan kerjasama PBT telah mengambil inisiatif bagi mewujudkan Garis Panduan Pelesenan Burung Walit Negeri Selangor yang lebih terperinci memandangkan pengurusan pelesenan burung walit adalah perkara baru dalam pentadbiran PBT yang kini menjadi tarikan kepada pengusaha. Secara dasarnya, Kerajaan Negeri telah pun bersetuju dengan garis panduan pengeluaran lesen baru namun perlu ditambah baik dengan mengasingkan isu pemutihan.
Untuk makluman Y.B, Kerajaan Negeri sekali lagi dengan kerjasama PBT telah berjaya mewujudkan Garis Panduan Penguatkuasaan Penternakan dan Perusahaan Burung Walit bagi memastikan tindakan yang diambil oleh PBT ke atas kesalahan pengusaha industri burung walit adalah selaras. Buat masa ini, garis panduan berkenaan telah selesai sebanyak 80% dan masih dalam tindakan pengemaskinian.
-
Senaraikan jumlah hasil lesen burung walid yang diperolehi mengikut pecahan PBT bagi tahun 2000-2011.
Senarai jumlah hasil lesen burung walit yang diperolehi mengikut pecahan PBT bagi tahun 2000-2011 adalah seperti berikut:-
Bil. PBT Jumlah Hasil Lesen (RM) 1. Majlis Bandaraya Shah Alam Tiada 2. Majlis Bandaraya Petaling Jaya Tiada 3. Majlis Perbandaran Klang Tiada 4. Majlis Perbandaran Ampang Jaya Tiada 5. Majlis Perbandaran Subang Jaya Tiada 6. Majlis Perbandaran Selayang Tiada 7. Majlis Perbandaran Kajang 200.00 8. Majlis Perbandaran Sepang Tiada 9. Majlis Daerah Kuala Langat 4,000.00 10. Majlis Daerah Kuala Selangor 123,865.00 11. Majlis Daerah Hulu Selangor Tiada 12. Majlis Daerah Sabak Bernam 781,580.00 Jumlah Keseluruhan 909,645.00 -
Badan manakah yang bertanggungjawab terhadap segala pemantauan dan juga aduan awam dalam pengurusan industri burung walit?
Badan yang bertanggungjawab terhadap segala pemantauan dan juga aduan awam dalam pengurusan industri burung walit adalah Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) dan Pihak berkuasa Tempatan (PBT). Untuk makluman, JPV merupakan jabatan teknikal yang mempunyai kepakaran dalam memberikan panduan, ulasan serta nasihat dalam kawalan industri burung walit manakala PBT adalah bertanggungjawab untuk melesenkan premis industri burung walit dan menguruskan aduan awam, selaras dengan peruntukan undang-undang sedia ada yang diguna pakai oleh PBT seperti pelesenan, kacau ganggu atau penyalahgunaan bangunan.