Mesyuarat Kedua Penggal Keempat Dewan Negeri Selangor Tahun 2011

11 Julai 2011 hingga 13 Julai 2011

20) PENULARAN PENYAKIT BERJANGKIT DAN BERBAHAYA

Tahun: 2011

Sesi: 2

Isu: Kesihatan

Adun: Y.B. Tuan Badrul Hisham Bin Abdullah

Kategori: Bertulis

Sub Soalan

  1. Penyakit berjangkit dan berbahaya boleh mengancam nyawa seseorang yang menghidapnya tidak kira umur, jantina, kaum dan bangsa. Apakah tindakan Kerajaan Negeri bagi meningkatkan lagi tahap kebersihan dan prasarana serta kemudahan awam di setiap kawasan bandar, kampung dan pendalaman bagi mengelakkan penularan penyakit berjangkit dan berbahaya?

    Tindakan meningkat tahap kebersihan dan prasarana serta kemudahan awam bagi mengelakkan penularan penyakit berjangkit dan berbahaya termasuklah:-

    • Program Communication for Behavioral Impact (COMBI) telah dilaksanakan dan akan terus diperluaskan lagi. Program ini digerakkan oleh kesedaran komuniti berfokus kepada aspek kebersihan persekitaran serta di dalam dan di luar rumah agar bebas dari pembiakan nyamuk pembawa penyakit seperti denggi.
    • Kajian sanitasi pusat perlancungan terpilih telah dilakukan setiap tahun di semua daerah. Aspek yang diperhatikan adalah aspek sanitasi seperti bekalan air, pelupusan sampah, air limbah dan kebersihan tandas.
    • Bagi kawasan luar bandar, sanitasi persekitaran sememangnya dipantau oleh daerah. Ini meliputi aspek pengawasan dan bekalan air selamat, air limbah, pelupusan sampah serta tandas curah. Manakala bagi kawasan bandar pula, kebersihan dan prasarana adalah di bawah kawalan pihak berkuasa
    • Pengawasan kawalan mutu air minum dipantau melalui persampelan air di stesen-stesen persampelan air Syabas dan di loji rawatan air. Sebarang perlanggaran akan dimaklum kepada operator untuk langkah penambahbaikan.
  2. Apakah langkah-langkah pencegahan jangka pendek dan jangka panjang dari Kerajaan Negeri di dalam membendung penularan penyakit berjangkit dan berbahaya?

    Langkah pencegahan jangka pendek dan jangka panjang untuk membendung penularan penyakit berjangkit

    • Langkah pencegahan jangka pendek:
    • Penguatkuasaan undang-undang (Akta Kawalan penyakit Berjangkit 1988, Akta Kawalan penyakit Bawaan Vektor 1975, Akta Makanan 1983 dan Peraturan-peraturan Makanan 1985) ke atas mana-mana individu atau industri atau institusi yang menyebabkan penularan penyakit. Contoh: Penutupan premis makanan yang kotor atau menyebabkan penularan penyakit bawaan makanan dan air seperti tifoid, kolera dan keracunan makanan; penutupan tadika yang terlibat dengan wabak HFMD; penutupan institusi yang terlibat dengan wabak penyakit respiratori; kompaun bila terdapat pembiakan nyamuk aedes, dan sebagainya.
    • Pengesanan awal penyakit berjangkit dan pemberian rawatan yang bersesuaian
    • Kawalan vektor pembawa penyakit melalui aktiviti fogging dan larviciding
    • Aktiviti pengurangan risiko seperti methadone replacement therapy serta program pertukaran jarum suntikan bagi penagih dadah untuk program pencegahan penyakit HIV.
    • Vaksinasi yang memberi perlindungan jangka pendek bagi penyakitpenyakit seperti Tifoid, influenza dan meningococcal meningitis (bagi jemaah haji).
    • Langkah jangka panjang
    • Perlindungan jangka panjang melalui vaksinasi terhadap penyakit cegahan vaksin seperti polio, difteria, measles, rubella, mumps dan sebagainya.
    • Meningkatkan kesedaran setiap individu mengenai pentingnya memahami dan mengambil tindakan wajar ke atas diri dan keluarga mereka dalam pencegahan penyakit-penyakit berjangkit dan berbahaya. Ini dilakukan melalui pendidikan kesihatan berterusan sebagai contohnya  COMBI
  3. Nyatakan statistik terkini penyakit berjangkit dan berbahaya di dalam Negeri Selangor khususnya di Pelabuhan Klang?

    Statistik penyakit berjangkit Negeri Selangor

    Lima (5) penyakit berjangkit utama Negeri Selangor dan Daerah Klang:

    Bil. Selangor Daerah Klang
    1. Demam denggi/denggi berdarah Demam denggi/denggi berdarah
    2. Tuberkulosis Tuberkulosis
    3. Keracunan makanan Keracunan makanan
    4. HIV/AIDS Penyakit jangkitan kelamina
    5. Campak (measles) Penyakit  tangan, kaki dan mulut

Lampiran

Tiada Lampiran.