Mesyuarat Kedua Penggal Keempat Dewan Negeri Selangor Tahun 2011

11 Julai 2011 hingga 13 Julai 2011

231) PERTANDINGAN MEMANCING DAERAH

Tahun: 2011

Sesi: 2

Isu: Industri Asas Tani

Adun: Y.B. Tuan Lee Kim Sin

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Apakah objektif dan kos program pertandingan memancing daerah?

    Objektif bagi program memancing kebiasaannya berbeza mengikut matlamat yang ditetapkan oleh penganjur seperti mengeratkan perpaduan di kalangan masyarakat, merapatkan lagi hubungan pihak berkuasa tempatan dengan penduduk setempat, sempena menyambut ulang tahun, sebagai aktiviti tahunan dan ada juga yang menyasarkan untuk memancing ikan yang memberi kesan kepada ekosistem. Walau bagaimanapun kebiasaannya objektif memancing  adalah untuk merapatkan hubungan dan menggalakkan beriadah.

    Kos program pertandingan pula bergantung kepada hadiah yang ditawarkan oleh pihak penganjur.  Sekiranya besar hadiah yang ditawarkan maka semakin besarlah kos bagi sesuatu penganjur program memancing ditambah pula dengan harga pasaran ikan hidup yang semakin meningkat.  Kebiasaannya kos program pertandingan memancing daerah dianggarkan sebanyak RM 20,000.00 sehingga RM 80,000.00 untuk keperluan hadiah wang tunai, pembelian iakan hidup, logistik dan bayaran petugas sahaja tidak termasuk kos yang lain seperti hadiah cabutan bertuah, t-shirt peserta, makan/minum VIP dan marsyal dan lain-lain.

  2. Adakah program riadah tersebut merupakan sebahagian rancangan memajukan sektor pertanian negeri?

    Program memancing ini sememangnya memajukan sektor pertanian negeri khususnya bagi penternak ikan air tawar kerana setiap kali pertandingan diadakan penganjur kebiasaannya akan memasukan ikan bagi setiap kolam yang dipertandingkan. Di kawasan pentadbiran Majlis Perbandaran Kajang sahaja boleh dianggarkan sebanyak 24 acara program memancing setahun yang menawarkan hadiah utama wang tunai di atas RM 10,000 sehingga RM 30,000. Ini tidak termasuk pertandingan memancing yang menawarkan hadiah utama wang tunai di bawah RM 10,000.  Jadi sememangnya program ini dapat memajukan sektor pertanian negeri.

     

  3. Berapakah jumlah bilangan peserta dan perbelanjaan pengurusan tersebut?

    Jumlah peserta bergantung kepada hadiah utama wang tunai yang ditawarkan. Secara purata sekiranya hadiah utama wang tunai berjumlah RM 20,000 ke atas boleh dianggarkan kehadiran peserta seramai 800 sehingga 1500 peserta dalam satu-satu masa bergantung kepada keadaan cuaca dan kawasan program yang dilaksanakan.  Perbelanjaan pengurusan di antara RM 20,000 sehingga RM 80,000 bagi setiap penganjuran.

Lampiran

Tiada Lampiran.