Mesyuarat Kedua Penggal Keempat Dewan Negeri Selangor Tahun 2011
11 Julai 2011 hingga 13 Julai 2011
209) KAWAL SELIA PANGSAPURI KOS RENDAH
Tahun: 2011
Sesi: 2
Isu: Perumahan
Adun: Y.B. Tuan Lee Kim Sin
Kategori: Mulut
Sub Soalan
-
Adakah kerajaan mempunyai rancangan untuk memperolehi semula (reprosess) unit-unit yang melanggar syarat-syarat perolehan?
Untuk makluman Yang Berhormat, tindakan untuk memperolehi semula unit-unit rumah kos rendah yang dimiliki tanpa mengikut prosedur tidak perlu dlakukan oleh Kerajaan Negeri pada masa ini. Ini kerana Kerajaan Negeri telah mempunyai dasar yang jelas dan proses yang ketat untuk orang awam memiliki rumah kos rendah di Negeri Selangor. Selain dari itu, pindah milik rumah kos rendah hanya boleh dibuat selepas 5 tahun dari tarikh perjanjian jual beli ditandatangani. Pendaftaran dan penawaran rumah kos rendah juga mestilah melalui Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor sahaja.
Walau bagaimanapun, memang diakui terdapat unit-unit yang tidak memenuhi keperluan dan dasar Kerajaan Negeri bagi pemilikan rumah kos rendah. Perkara ini disebabkan kelonggaran telah diberikan kepada setinggan-setinggan untuk membolehkan mereka memiliki rumah kos rendah walaupun pendapatan bulanan mereka melebihi syarat ditetapkan atau telah memiliki rumah sendiri. Dasar setinggan ketika itu adalah untuk menyelesaikan masalah setinggan di tapak dengan menawarkan pembelian rumah kos rendah kepada mereka.
-
Apakah rancangan kerajaan untuk memastikan pemilik unit-unit pangsapuri (dan rumah) kos rendah mematuhi syarat-syarat yang ditetapkan?
Beberapa langkah telah diambil oleh Kerajaan Negeri bagi memastikan hanya golongan yang layak sahaja memiliki rumah kos rendah (RKR) di Negeri Selangor. Mulai Mac 2008, Kerajaan Negeri telah menetapkan hanya mereka yang mendaftar dengan Lembaga Perumahan Dan Hartanah Selangor (LPHS) sahaja layak membeli rumah kos rendah. Dasar baru ini telah menetapkan 100% nama pembeli RKR mestilah menggunakan senarai nama daripada Sistem Pendaftaran Permohonan Rumah (SPPR) yang berpusat di LPHS. Dasar ini bagi menggantikan dasar pembahagian kuota pembeli RKR terdahulu di mana sebanyak 50% dari Sistem Pendaftaran Terbuka Berpusat RKR dan 50% lagi dari perakuan Jawatankuasa Tanah Daerah (JKTD). Penetapan ini membolehkan LPHS mengawal sepenuhnya nama pembeli di samping pengagihan RKR dapat dilaksanakan dengan adil dan telus.
Selain wajib berdaftar dengan LPHS, satu jawatankuasa yang dikenali sebagai Jawatankuasa Pemilihan Senarai Nama Pemohon Rumah Kos Rendah Negeri Selangor yang dianggotai oleh LPHS sebagai urusetia, Pejabat Tanah Daerah berkaitan dan wakil UPEN telah ditubuhkan bagi menyenarai pendek dan memperakukan nama-nama pembeli sebelum dihantar kepada Y.B. Setiausaha Kerajaan Negeri untuk kelulusan. Nama-nama pemohon yang telah diluluskan akan dipaparkan dalam laman web LPHS dan sekiranya ada bantahan terhadap mana-mana nama yang dipamerkan ianya akan disiasat. Sekiranya didapati benar maka tawaran RKR kepada pemohon tersebut akan dibatalkan.
Pemaju-pemaju yang membangunkan RKR di Negeri Selangor juga mestilah mematuhi dasar pemilikan rumah kos rendah ini dengan memastikan senarai nama pembeli hanya diperolehi daripada LPHS. Pemaju-pemaju yang ingkar atau enggan mendaftar dengan LPHS berhubung penjualan RKR akan dikenakan denda sebanyak RM500.00 bagi setiap nama yang tidak berdaftar dalam Sistem Pendaftaran Permohonan Rumah (SPPR). Dasar ini ditetapkan bagi mengelak berlakunya penyelewengan pembelian dan penjualan RKR di lokasi-lokasi tumpuan terutamanya di Daerah Petaling, Gombak, Hulu Langat dan sebagainya.
-
Adakah kerajaan boleh pertimbangkan perlaksanaan sistem kawal selia perolehan unit-unit pangsapuri(dan rumah) kos rendah di MBSA & MBPJ?
Kerajaan Negeri tidak perlu melaksanakan sistem kawal selia perolehan unit-unit rumah kos rendah di kawasan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) atau Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) kerana dasar pemilikan rumah kos rendah yang ketat digunapakai sekarang meliputi semua permohonan di Negeri Selangor. Malahan setiap pemaju yang membangunkan rumah kos rendah dikehendaki menggunakan 100% nama-nama pemohon yang berdaftar di LPHS.