Mesyuarat Kedua Penggal Keempat Dewan Negeri Selangor Tahun 2011

11 Julai 2011 hingga 13 Julai 2011

207) BANGUNAN TEATER NEGERI SELANGOR

Tahun: 2011

Sesi: 2

Isu: Adat Istiadat & Warisan

Adun: Y.B. Tuan Dr Shafie Bin Abu Bakar

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Bangunan Teater Negeri Selangor di Shah Alam telah disiapkan sejak Ogos 2008. Apakah yang menghalang teater berkenaan daripada beroperasi?

    Bangunan Teater Diraja Shah Alam masih belum dapat beroperasi sepenuhnya disebabkan oleh kerja-kerja penambahbaikan yang perlu dilakukan oleh pihak Kerajaan Negeri bersama-sama pihak Majlis Bandaraya Shah Alam berdasarkan ulasan-ulasan auditan yang telah dilakukan oleh Jabatan Audit Negara dan Tetuan ArchiCenter Sdn Bhd. Kerja-kerja penambahbaikan tersebut perlu dilaksanakan sebelum bangunan teater beroperasi untuk memastikan perjalanan operasi bangunan teater ini dapat berjalan dengan lancar dan secara optimum.

    Mesyuarat MTES pada 9.6.2011 telah bersetuju untuk melantik MBSA sebagai ‘care taker’ untuk mentadbir, menyelaras dan menyelenggara bangunan tersebut untuk tempoh 6 bulan mulai dari 1hb Julai 2011 sehingga 31hb Disember 2011 dengan peruntukkan sebanyak RM1.3 juta.

  2. Apakah cadangan pengisian yang akan dilakukan?

    Pihak Kerajaan Negeri di bawah kelolaan Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kebajikan Hal Ehwal Wanita, Sains, Teknologi Dan Inovasi Y.B Rodziah bin Ismail sedang dalam tindakan untuk menentukan “End-User” bangunan tersebut. ‘End User’ bagi bangunan teater ini akan menyediakan perancangan pengisian dan aktiviti bagi menampung kos operasi dan penyelenggaraan bangunan ini.

  3. Mengapakah seni binaannya seperti ÔPerut perahu tertangkup atau terbalikÕ?

    Rekabentuk bangunan ini telah di ilhamkan daripada konsep “Kipas Merafak Sembah” di mana dua bilah kipas ditemukan dibahagian hujung bagi membentuk bumbung Bangunan Teater. Rekabentuk tersebut telah direka oleh Tetuan Shams Architect dan dibentangkan di dalam beberapa Mesyuarat Tindakan Ekonomi Negeri Selangor sepanjang tahun 2003-2004 untuk tujuan pengesahan dan persetujuan rekabentuk.

    1.0        KOS PEMBINAAN BANGUNAN TEATER NEGERI SELANGOR

    Cadangan pembinaan teater ini adalah merupakan sebuah projek dibawah peruntukan Kerajaan Negeri Selangor dan diserahkan kepada Majlis untuk perlaksanaan  kerja-kerja pembinaan dan seterusnya perlu diserahkan semula kepada Kerajaan Negeri.  Projek ini adalah merupakan sebuah projek yang dilaksanakan secara runding terus diantara Kerajaan Negeri Selangor dan Tetuan Kembang Serantau Sdn Bhd sebagai kontraktor ‘Turnkey’.  Bagi melengkapkan perlaksanaan projek ini Tetuan Kembang Serantau Sdn Bhd telah melantik perunding-perunding yang terdiri daripada Tetuan Shams Architect, Megajati Consult (M&E /Consultant), HZ (M&E Theatre Consultant), DRSA Consulting (C&S Consultant), Halim Associates (Quantity Surveyor) dan Sitescapes (Landscape Consultant).  Pada peringkat awal rekabentuk, bangunan teater ini telah dicadangkan untuk dibina di atas sebuah tapak berkeluasan 5 ekar, di Jalan Platinum 7/52, Seksyen 7, Shah Alam dengan konsep rekabentuk “Kipas Merafak Sembah”. Walaubagaimanapun tapak cadangan ini telah diubah ke Seksyen 14, Shah Alam.

    Pada 16hb. Mac 2003 persembahan rekabentuk telah dibuat oleh Tetuan Kembang Serantau Sdn Bhd kepada Majlis Mesyuarat Tindakan Ekonomi Negeri Selangor (MTES).  Mesyuarat juga mengehendaki cadangan ini boleh memuatkan seramai 1500 orang penonton. Perunding juga diingatkan supaya membuat rekabentuk dengan terperinci dan Kerajaan Negeri Selangor tidak akan menanggung sebarang tambahan kos pembinaan yang berpunca dari kelalaian perunding. Majlis Mesyuarat Tindakan Ekonomi Negeri Selangor (MTES) telah menetapkan bangunan teater akan dibina di atas sebuah tapak milik Persatuan Bekas Perajurit Cawangan Selangor, di belakang Hotel Grand Blue Wave, Jalan 14/1, Seksyen 14, Shah Alam. Walaubagaimanapun sehingga kini pihak PKNS masih lagi dalam proses perancangan semula susun atur dan menyelesaikan isu hakmilik tapak teater dan kawasan persekitarannya untuk kelulusan pejabat tanah.

    Pada 17hb. Oktober 2003, Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri melalui mesyuarat MMKN ke 22/2003  telah mengemukakan surat kelulusan untuk melantik Tetuan Kembang Serantau Sdn Bhd secara runding terus dan Majlis Bandaraya Shah Alam diminta mengeluarkan surat niat dan pada 5hb. Mac 2004 Kembang Serantau Sdn Bhd menyerahkan ‘Dokumen Asas Rekabentuk’ kepada Majlis Bandaraya Shah Alam.

    Pada 13hb. Februari 2004 Kembang Serantau Sdn Bhd. telah membentangkan perkembangan rekabentuk kepada Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri. Dalam pembentangan tersebut  Kembang Serantau Sdn Bhd telah mengemukakan cadangan 1500 tempat duduk penonton dengan anggaran kos pembinaan sebanyak RM79,139,208.00 seperti yang diminta oleh Mesyuarat MTES pada 16hb. Mac 2003 berbanding cadangan asal 800 tempat duduk penonton dengan anggaran kos pembinaan sebanyak RM43,838,000.00. Walaubagaimanapun Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri sebaliknya bersetuju mengekalkan kapasiti 800 tempat duduk penonton dengan kos pembinaan RM43,838,000.00 sahaja. Pada 8hb. Mac 2004 , satu sesi pembentangan perkembangan rekabentuk dan perancangan kerja dibentangkan kepada Mesyuarat Pengurusan Majlis.  Pada dasarnya mesyuarat bersetuju dengan jadual perancangan kerja bermula pada 5hb. Disember 2004 dan tarikh siap pada 4hb. Jun 2007 dan pihak Kembang Serantau Sdn Bhd sebagai kontraktor diminta menyegerakan kerja-kerja pembinaan.

    Pada 8hb. dan 17hb. September 2004 Pejabat Perbendaharaan Negeri Selangor telah mengeluarkan surat kelulusan bagi pembinaan bangunan Teater ini dan surat kelulusan bagi perlantikan Kembang Serantau Sdn Bhd secara runding terus dengan kos perlaksanaan tidak melebihi RM43,838,000.00. Kembang Serantau Sdn Bhd telah diberi pemilikan tapak dan memulakan kerja-kerja pembinaan pada 5hb. Disember 2004.

    Di atas permintaan Jabatan Kebudayaan Negeri Selangor sebagai “End-User” bangunan ini, penambahan kos bagi arahan perubahan (V.O) untuk kerja-kerja ‘rear projection system’ dan ubahsuai ruang latihan berjumlah RM700,000.00 telah diluluskan oleh MMKN Bil 12/2007 pada  30hb. Mei 2007.

    2.0       PERJAWATAN

    2.1 Pelantikan Majlis Bandaraya Shah Alam sebagai ‘Care-Taker’ Bangunan Teater Di Raja Shah Alam.

    Di dalam Mesyuarat Tindakan Ekonomi Negeri Selangor ( MTES ) yang bersidang pada 9 Jun 2011, mesyuarat telah bersetuju untuk melantik Majlis Bandaraya Shah Alam ( MBSA ) sebagai ‘Care Taker’ Bangunan Teater Diraja Shah Alam untuk tempoh selama 6 bulan sahaja dan pihak Majlis Bandaraya

    Shah Alam mencadangkan tempoh ini bermula dari 1hb Julai 2011 sehingga 31hb Disember 2011.

    2.2 Peruntukkan Yang Dimohon Dan Peruntukkan Yang Diluluskan Oleh Perbendaharaan Negeri Selangor

    Di dalam Mesyuarat Tindakan Ekonomi Negeri Selangor ( MTES ) Bil 15/2011 yang telah disahkan oleh Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Ke 22  yang bersidang pada 22hb Jun 2011, mesyuarat telah bersetuju untuk pihak Majlis Bandaraya Shah Alam menjadi ‘care taker’ untuk mentadbir, mengurus dan menyelenggara Bangunan Teater Di Raja Shah Alam.  Mesyuarat juga bersetuju memohon pihak Majlis Bandaraya Shah Alam menyediakan struktur asas (skeleton structure) bagi tenaga kerja yang akan menjalankan  tugas-tugas di bangunan tersebut. Seramai lima (5) orang kakitangan pengurusan Teater Diraja Shah Alam akan dilantik bertugas selama enam (6) bulan.

    Di dalam kertas kerja asal Cadangan Pentadbiran, Pengurusan, Penyelenggaraan Dan Operasi Bangunan Teater DiRaja Shah Alam, pihak Majlis memohon peruntukkan sebanyak RM 1,766,840.00 . ( Ringgit Malaysia: Satu Juta Tujuh Ratus Enam Puluh Enam Ribu Lapan Ratus Empat Puluh Sahaja ) bagi melaksanakan tanggungjawab sebagai ‘care-taker’ bagi tempoh selama enam (6) bulan dengan sebelas (11) orang kakitangan. Walaubagaimanapun pihak Perbendaharaan Negeri Selangor hanya memperuntukkan sebanyak RM1,283,500.00 ( Ringgit Malaysia: Satu Juta

    Dua Ratus Lapan Puluh Tiga Ribu Lima Ratus Sahaja ) kerana peruntukkan

    yang dipertimbangkan adalah hanya bagi kos-kos baik pulih, utiliti bulanan dan keperluan peralatan yang mendesak sahaja. Pihak Perbendaharaan Negeri Selangor berpendapat cadangan pengambilan kakitangan baru untuk tempoh enam (6) adalah kurang praktikal.

    Justeru itu pihak Majlis Bandaraya Shah Alam telah mengkaji semula struktur organisasi dengan mengambilkira ulasan Mesyuarat Exco-MTES Bil 15/2011 bertarikh 9hb Jun 2011  mengenai pengujudan struktur asas dan keperluan yang diperlukan bagi menyokong struktur tersebut berfungsi dengan optimum. Oleh yang demikian kos yang diperlukan bagi perlaksanaan tanggungjawab tersebut adalah sebanyak RM1,587,460.00. ( Ringgit Malaysia: Satu Juta Lima Ratus Lapan Puluh Tujuh Ribu Empat Ratus Enam Puluh Sahaja ) iaitu pertambahan sebanyak RM303,960.00 ( Ringgit Malaysia: Tiga Ratus Tiga Ribu Sembilan Ratus Enam Puluh Sahaja ) dari peruntukkan yang diluluskan oleh pihak Perbendaharaan Negeri. Cabutan keputusan Kertas Exco-MTES tersebut juga menyatakan;

    ‘Peruntukan akan diluluskan berdasarkan kepada perjawatan yang diluluskan dan kerja-kerja penyelenggaraan yang akan dilaksanakan’.

    2.3       Perlantikan Kakitangan

    Majlis Bandaraya Shah Alam melalui Jabatan Khidmat Pengurusan akan mengenal pasti dan melantik kakitangan secara kontrak untuk menguruskan bangunan teater ini yang mempunyai kemahiran dalam bidang tertentu seperti pentadbiran, pengurusan, penyelenggaraan, operasi dan lain-lain tugas yang dinyatakan mengikut skop dan justifikasi jawatan. Cadangan Struktur Organisasi dan Pengurusan Teater DiRaja Shah Alam tersebut akan dianggotai oleh lima (5) orang kakitangan yang diketuai oleh Penyelia Bangunan Teater ( Jurutera- J41 ) dan dibantu dua (2) orang Juruteknik (J17), seorang (1) Pembantu Tadbir (N17) dan pengawal (N1) yang akan bertanggungjawab memastikan pengurusan, penyelenggaraan dan operasi bangunan tersebut diselia dan diurustadbir secara berhemah dan tersusun. Unit Kejuruteraan Mekanikal dan Elektrikal, Unit Kejuruteraan Awam dan Unit Pentadbiran juga akan ditubuhkan dibawah carta organisasi tersebut bertujuan memastikan setiap aspek penyelenggaraan dan urusan bangunan teater ini dirancang dan diselia seperti yang akan dijadualkan kelak.

    Ingin dicadangkan selepas tamat tempoh 6 bulan tersebut pihak Majlis Bandaraya Shah Alam menjadi ‘care-taker’, Pegawai dan Kakitangan seramai lima (5) org ini diserapkan di dalam satu badan yang boleh dipanggil ‘Royal Teater Incorporated’ yang akan diwujudkan oleh Kerajaan Negeri seperti yang dicadangkan oleh YB Dato’ Menteri Besar didalam Meyuarat MTES bertarikh 13hb Mei 2011 yang lalu.

    2.4       Implikasi Kewangan

    Untuk memastikan pengurusan , penyelenggaraan dan operasi di bangunan teater berjalan dengan lancar seperti yang direncanakan, Kerajaan Negeri  perlu membantu untuk menyediakan peruntukan bagi pembayaran emolumen kakitangan yang terdiri dari kakitangan Pengurusan dan Profesional (Jurutera), kakitangan sokongan 4 ( Juruteknik, Pembantu Tadbir dan Pengawal ) berjumlah RM10,410.00 sebulan yang membawa jumlah RM62,460.00 ( Ringgit Malaysia : Enam Puluh Dua Ribu Empat Ratus Enam Puluh  Sahaja ) untuk tempoh enam (6) bulan seperti yang dicadangkan.

    3.0       KOS MENAMBAHBAIK

    3.1       KERJA-KERJA BAIK PULIH

    Kertas Laporan Kajian Audit oleh Architect Centre dan Kerja-kerja Baikpulih Bangunan Teater DiRaja Shah Alam telah disediakan bersama-sama Unit Perancang Ekonomi Negeri ( UPEN ) Selangor di dalam Mesyuarat Tindakan Ekonomi Negeri Selangor (Exco- MTES) Bil 12/2011 bertarikh 5hb Mei 2011 dimana pihak Majlis Bandaraya Shah Alam memerlukan peruntukkan sejumlah RM868,500.00 ( Ringgit Malaysia : Lapan Ratus Enam Puluh Lapan Ribu Lima Ratus Sahaja ) bagi kerja-kerja baikpulih hasil dari penemuan kajian audit oleh Architect Centre.

    3.2       PEMBAYARAN BIL UTILITI BULANAN

    Selain daripada kos pembaikkan ‘one-off’ tersebut pihak Majlis Bandaraya Shah Alam memerlukan peruntukkan bagi kos penyelenggaraan dan pembayaran bil utiliti bulanan bagi bangunan teater tersebut. Ia melibatkan pembayaran bil kepada penggunaan elektrik, air dan bil TNEC (kemudahan ‘distric cooling system’) berjumlah RM333,000.00 ( Ringgit Malaysia: Tiga Ratus Tiga Puluh Tiga Ribu Sahaja ) untuk tempoh enam (6) bulan seperti yang dicadangkan.

    4.0       KOS PERABOT

    Untuk mewujudkan persekitaran dan ruang kerja yang kondusif bagi Bangunan Teater DiRaja Shah Alam , pembelian peralatan dan perkakas pejabat serta perabot di ruang menunggu orang kenamaan perlu disediakan dengan segera. Antara perkara-perkara yang perlu disegerakan  adalah bilik Penyelia Bangunan Teater, ruang kerja kakitangan , pembelian peralatan pejabat, penyediaan litar CCTV dan penyediaan perabot dan peralatan  keperluan ruang menunggu orang kenamaan ( VIP Holding Room ) . Peruntukkan yang diperlukan adalah sebanyak RM323,500.00  ( Ringgit Malaysia : Tiga Ratus Dua Puluh Tiga Ribu Lima Ratus Sahaja )

Lampiran

Tiada Lampiran.