Mesyuarat Kedua Penggal Keempat Dewan Negeri Selangor Tahun 2011
11 Julai 2011 hingga 13 Julai 2011
206) ZON BERSIH
Tahun: 2011
Sesi: 2
Isu: Alam Sekitar
Adun: Y.B. Tuan Ng Suee Lim
Kategori: Mulut
Sub Soalan
-
Sila nyatakan bagaimanakah pencapaian dan keberkesanan kempen Zon Bersih yang dilaksanakan oleh setiap PBT ?
Pencapaian dan keberkesanan kempen zon bersih di peringkat PBT adalah memuaskan di mana objektif utama program untuk menyampaikan maklumat mengenai kepentingan menjaga kebersihan di kalangan masyarakat dilihat mula memberi kesan dan mendapat maklum balas yang positif daripada Ahli Majlis, penduduk, NGO dan agensi luar. Ini dapat dilihat melalui penglibatan komuniti penduduk dan peniaga dalam melaksanakan aktiviti kemasyarakatan dan program gotong royong di mana kerjasama yang diperolehi amat memuaskan. Penglibatan secara langsung Ahli Majlis Zon bersama-sama PBT memainkan peranan penting melalui usaha dan inisiatif Ahli Majlis di kawasan itu sendiri yang sering mengadakan perbincangan dan perjumpaan bagi mengatasi masalah aduan oleh masyarakat setempat.
Kesemua usaha- usaha tersebut adalah berdasarkan kriteria penilaian Zon Bersih yang menjadi asas rujukan PBT dalam meningkatkan aspek kebersihan, keindahan landskap, kemudahan awam, infrastruktur, aduan setempat melalui program- pogram yang dirancang dan dilaksanakan di peringkat PBT masingmasing dan merupakan sasaran utama dalam perlaksanaan Zon Bersih.
-
Sila nyatakan apakah bentuk usaha yang dijalankan oleh pihak Kerajaan Negeri bagi menyelesaikan masalah kebersihan Pekan dan juga Bandar-bandar ?
Kerajaan Negeri melalui Pihak Berkuasa Tempatan telah menjalankan pelbagai usaha dan langkah- langkah bagi menangani serta menyelesaikan masalah kebersihan di PBT khususnya. Antaranya adalah seperti berikut:-
- Pemantauan secara berkala termasuk kerja-kerja pembersihan yang dilakukan oleh pihak kontraktor.
- Aktiviti gotong royong.
- Menambah papan tanda mengenai kesedaran menjaga kebersihan.
- Menambah tong sampah di sekitar kawasan PBT
- Meningkatkan penguatkuasaan dan mengeluarkan kompaun terhadap pihak yang malanggar peraturan kebersihan.
- Menubuhkan Unit Aduan bagi memantau kesalahan berkaitan kebersihan yang dilakukan oleh orang awam.
-
Sila perjelaskan apakah punca utama yang menyebabkan kawasan Zon Bersih hanya bersih ketika waktu kempen sahaja ?
Pihak Kerajaan Negeri telah mengenal pasti beberapa faktor yang boleh menyumbangkan sebagai punca utama menyebabkan kawasan Zon Bersih hanya bersih ketika waktu kempen sahaja antaranya ialah :-
- Kurangnya kesedaran mengenai tujuan dan kepentingan program Zon Bersih oleh masyarakat setempat.
- Budaya dan kesedaran untuk menjaga kebersihan di Tempat Awam masih lemah.
- Promosi dan maklumat pelaksanaan program Zon Bersih sepanjang tempoh berjalan perlu lebih kerap diwar-warkan.
- Tidak membuat hubungan secara langsung dengan pihak sekolah yang boleh memainkan peranan bagi memastikan kesedaran penjagaan kebersihan boleh disemai dari usia muda.
- Masalah kekurangan sumber kewangan dan tenaga kerja untuk melaksanakan program secara berterusan di samping pemantauan dari masa ke semasa.