Mesyuarat Kedua Penggal Keempat Dewan Negeri Selangor Tahun 2011
11 Julai 2011 hingga 13 Julai 2011
165) RUMAH MAMPU MILIK RM 100,000
Tahun: 2011
Sesi: 2
Isu: Perumahan
Adun: Y.B. Tuan Ng Suee Lim
Kategori: Mulut
Sub Soalan
-
Sila nyatakan apakah matlamat utama perlaksanaan projek rumah mampu milik di Negeri Selangor khususnya di Lembah Klang ?
Matlamat utama pelaksanaan Projek Perumahan Mampu Milik Konsep Baru di Negeri Selangor adalah seperti berikut:
- Memberi pilihan kepada rakyat Negeri Selangor khususnya golongan berpendapatan rendah dan sederhana untuk mendapatkan rumah yang lebih selesa pada harga yang mampu dimiliki dalam lingkungan RM85,000 berpatutan sehingga RM120,000. Laporan Indeks Harga Rumah Malaysia yang dikeluarkan oleh Pusat Maklumat Harta Tanah Negara (NAPIC), Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta Kementerian Kewangan Malaysia mendapati purata harga jualan rumah di Negeri Selangor pada tahun 2009 adalah RM272,285 seunit dan meningkat kepada RM301,443 seunit pada tahun 2010.
- Membantu golongan berpendapatan sederhana iaitu pendapatan di bawah RM5,000 sebulan khususnya golongan muda di bawah umur 35 tahun memiliki rumah pertama yang lebih selesa. Kajian mendapati penduduk di Negeri Selangor terdiri daripada 40% berpendapatan kurang RM2,500.00, 40% berpendapatan RM2,500.00 hingga RM5,000.00 dan 20% lagi berpendapatan melebihi RM5,000.00.
- Memberi pilihan kepada pemaju untuk menyediakan rumah mampu milik konsep baru di samping keperluan penyediaan rumah kos rendah.
-
Sila nyatakan apakah perbezaan di antara rumah mampu milik Kerajaan Negeri Selangor dengan yang dilaksanakan oleh Kerajaan Persekutuan ?
Antara Perbezaan ketara di antara rumah mampu milik yang dilaksanakan Kerajaan Negeri Selangor dengan yang dilaksanakan oleh Kerajaan
Persekutuan adalah seperti berikut:
Perbezaan Kerajaan Negeri Kerajaan Persekutuan Kelayakan Pendapatan Pendapatan isirumah di bawah RM5,000 sebulan Pendapatan isirumah di bawah RM6,000 sebulan Harga Jualan Di bawah RM120,000 seunit
Antara RM150,000 hingga RM300,000 seunit. Saiz Rumah 850 – 1,000 kaki persegi 850 – 1,400 kaki persegi. Kumpulan Sasaran 1. Tidak memiliki rumah kecuali bagi mereka yang memiliki RKR lebih 5 tahun. 2. Keutamaan untuk golongan berikut:
– Golongan di bawah
35 tahun.
– Warga emas.
– Golongan Kelainan Upaya (OKU).
Terbuka kepada pembeli pertama. Kebenaran Pindah milik Selepas 5 tahun Selepas 10 tahun -
Sila senaraikan lokasi-lokasi yang sudah dikenalpasti bagi perlaksanaan projek tersebut dan jumlah bilangan unit yang ditawarkan serta apakah kriteria minima yang ditetapkan ?
Dalam tempoh 5 tahun (2011 – 2016) Kerajaan Negeri melalui PKNS telah mensasarkan untuk membina sejumlah kira-kira 11,000 unit rumah mampu milik dan tambahan 10,000 unit lagi untuk tempoh 5 tahun yang berikutnya.
Di samping projek perintis di Seksyen 3, Bandar Baru Bangi, PKNS juga telah mengenalpasti lokasi-lokasi bagi pelaksanaan Projek Perumahan Mampu Milik Selangor seperti di Seksyen U10 Shah Alam, Kg. Temenggong di Gombak, Taman Sains Selangor 2 di Sepang, Kota Puteri di Kuala Selangor, Antara Gapi dan Bernam Jaya di Hulu Selangor.
Bagi memastikan pengagihan rumah mampu milik ini hanya untuk golongan sasaran, beberapa kriteria pemilihan telah ditetapkan iaitu:
- Warganegara Malaysia.
- Berumur 18 tahun ke atas
- Pemohon (suami / isteri) tidak mempunyai sebarang jenis rumah kediaman di Selangor. Namun, pemohon yang telah memiliki RKR selama lima (5) tahun ke atas boleh memohon rumah mampu milik sebagai rumah kedua.
- Pemohon bujang yang mempunyai tanggungjawab keluarga boleh memohon.
- Berdaftar di Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor.
- Pembelian rumah ini adalah untuk didiami dan bukan untuk disewa.
- Pindah milik hanya akan dibenarkan selepas 5 tahun dengan kebenaran Pihak Berkuasa Negeri (PBN).