Mesyuarat Kedua Penggal Keempat Dewan Negeri Selangor Tahun 2011
11 Julai 2011 hingga 13 Julai 2011
146) PEMBERDAYAAN (EMPOWERMENT) WANITA SELANGOR
Tahun: 2011
Sesi: 2
Isu: Wanita & Keluarga
Adun: Y.B. Puan Haniza Binti Mohamed Talha
Kategori: Mulut
Sub Soalan
-
Apakah dasar yang dilaksanakan oleh kerajaan negeri Selangor yang membuktikan wanita diberdayakan?
Pelan Tindakan Wanita Selangor telah dirangka untuk pemberdayaan wanita Selangor ke arah pembangunan masyarakat madani. Kerajaan negeri Selangor berhasrat agar wanita Selangor mendapat kesejahteraan menyeluruh tanpa mengenal darjat,pangkat atau status mereka. Wanita sejahtera secara kolektif boleh menghasilkan fenomena positif terhadap bidang ekonomi, sosial, politik, undang-undang, perundangan, alam sekitar,relasi gender (hubungan lelaki-wanita), kekeluargaan dan usaha-usaha problemsolving di peringkat individu, keluarga, masyarakat, negara dan antarabangsa. Sehubungan dengan itu antara dasar yang dilaksanakan bagi mempemberdayakan wanita adalah seperti berikut:
- Pemberdayaan wanita dalam bidang ekonomi
Golongan sasaran adalah suri rumah, warga industri, wanita usahawan, wanita muda, remaja perempuan, wanita terpinggir dan wanita ibu tunggal. Di mana program ini menjadi tumpuan Jawatankuasa Tetap Hal Ehwal Wanita Selangor. Contohnya suri rumah yang berada dalam tahap kemiskinan kerajaan negeri Selangor akan memperkenalkan skim pemberdayaan wanita suri rumah dalam bentuk jaminan yang memelihara keuntungan kewangan suri rumah. Wanita warga industri juga akan dibantu dari masa ke semasa untuk meningkatkan kemahiran mereka dan menceburi bidang-bidang yang boleh memberikan mereka economic independence menerusi peluang-peluang keusahawanan.
Begitu juga wanita usahawan merupakan tunggak pembangunan ekonomi negeri Selangor, golongan ini dipertingkatkan menerusi program mentor-mentee dan menetapkan dana khusus untuk menubuhkan, membangunkan dan mengembangkan perniagaan mereka.
Sementara golongan wanita terpinggir tidak ketinggalan diberi perhatian dalam program-program pembangunan dan pemberdayaan ekonomi menurut kesesuaian cara hidup dan kemahiran sedia ada seperti kursus kemahiran jangka pendek masakan, jahitan atau kraftangan.
Melalui Jawatankuasa Hal Ehwal Wanita Selangor golongan wanita ibu tunggal turut dibantu melalui skim mikrokredit atau insuran di samping akses terhadap peluang-peluang perniagaan dan bantuan kewangan.
- Pemberdayaan Keluarga
Golongan sasaran pemberdayaan keluarga dari wanita kerjaya di mana ramai wanita dalam bidang pekerjaan memerlukan sistem sokongan dalam memelihara keluarga. Menyedari kepentingan dan keperluan itu, sistem sokongan dalam bentuk penjagaan anak-anak bagi ibu-ibu yang bekerja akan diwujudkan. Seperti elaun anak ke taska, kemudahan cuti bersalin 90 hari, cuti isteri bersalin 14 hari dan cuti kematian suami 30 hari.
- Meningkatkan kemahiran dan jati diri wanita
Pembinaan jati diri wanita adalah diutamakan dalam rangka mencapai Pelan Tindakan Wanita Selangor. Golongan ini diberi tumpuan adalah mereka di bawah paras kemiskinan. Program jati diri ini telah dilaksanakan pada golongan ibu tunggal setiap tahun.
- Kesihatan
Sasaran kepada semua golongan wanita terutama untuk memberi perlindungan mangsa-mangsa rogol, mangsa-mangsa pemerdagangan manusia dan keganasan rumah tangga. Melindungi pekerja-pekerja wanita daripada bahayabahaya yang berkaitan pekerjaan dan member sokongan kesihatan emosi dan fizikal untuk warga emas. Kerajaan negeri Selangor telah mewujudkan OSCC (One Stop Crisis Centre) dan Skim Kesihatan Wanita (mammogram )
- Pemberdayaan Wanita dalam Komuniti
Pusat Komuniti Wanita ini bertujuan menjadi pusat perkembangan potensi wanita dalam komuniti di negeri Selangor. Ia terbuka kepada seluruh wanita agar dapat didedahkan dengan berbagai pengalaman,ilmu pengetahuan dan kemahiran. Sehingga kini terdapat 18 buah Pusat Komuniti Wanita DUN yang aktif.
- Pemberdayaan wanita dalam memahami hak-hak mereka
Program sedia ada seperti kempen OSCC(One Stop Crisis Centre) akan diteruskan bagi menangani kes-kes penderaan dan keganasan seksual dan rumah tangga. Begitu juga Badan Sokongan Keluarga (Family Support Authority) akan diwujudkan untuk menguatkuasakan dan melaksanakan perintah mahkamah berhubung dengan nafkah,hadanah,pengurusan harta kanak-kanak dan perintah lain.
Beberapa Enakmen akan diwujudkan dalam persidangan Dewan Undangan Negeri seperti keganasan terhadap wanita, kesaksamaan Gender dan Dasar berkaitan memberikan minimum 30% kedudukan pimpinan dalam pentadbiran negeri.
Di samping memberi perlindungan mengenai hak-hak dan perlindungan kepada wanita dari consumer.
- Pemberdayaan wanita muda dan remaja perempuan
Golongan ini yang berumur 13-35 tahun juga diberi perhatian dengan member ilmu pengetahuan dan kemahiran khususnya dalam kerjaya, kekeluargaan,kesihatan, kemahiran seni dan budaya serta sukan.
Pengetahuan yang cukup akan memastikan bahawa golongan ini berdaya untuk membuat pilihan terbaik bagi masa depan mereka.
- Bidang-bidang lain Pemberdayaan Wanita
Meliputi wanita dan alam sekitar, wanita media, wanita intelektual dan juga pemerdagangan manusia. Di mana Jawatankuasa Hal Ehwal Wanita Selangor akan sentiasa memberi sokongan di dalam penglibatan wanita contohnya pelancaran Majlis Anti Pemerdagangan Manusia (MAPMAS) pada 10 Januari 2011 di mana isu pemerdagangan manusia harus ditangani secara tegas dan bijaksana.
-
Bagaimana sistem dan budaya pentadbiran Kerajaan Negeri Selangor dapat memberi hak yang sama kepada wanita serta melindungi wanita daripada diskriminasi?
Pelan Tindakan Wanita Selangor (PTWS) 2010-2025 adalah menjadi tunggak dalam pentadbiran kerajaan negeri Selangor. Memandangkan penduduk wanita Selangor seramai 2,553,100 atau 49% merupakan peratus yang tertinggi di Malaysia maka kepentingan hak-hak dan kebajikan wanita Selangor akan sentiasa menjadi panduan dalam proses merancang. Justeru itu ianya akan ditempatkan di dalam gerak kerja, pengurusan dan pentadbiran Kerajaan Negeri Selangor. Ianya bertepatan dengan misi PTWS ialah memberdaya wanita ke arah membangunkan masyarakat madani yang menjamin keadilan untuk semua rakyat.
Oleh itu sistem dan budaya pentadbiran Kerajaan negeri Selangor hari ini memberi wanita hak yang sama dan melindungi wanita daripada diskriminasi melalui mekanisme berikut:
- Majlis Permuafakatan Wanita Selangor (MPWS)
Majlis ini bertindak sebagai badan penasihat kepada Pengerusi Jawatankuasa Tetap Hal Ehwal Wanita Selangor dengan memberi pandangan dan khidmat kepakaran terhadap isu-isu dan jalan penyelesaian, jangka pendek dan panjang yang dihadapi oleh wanita-wanita di Selangor. Semua jentera dan agensi kerajaan memberi komitmen dan melaksanakan tindakan tanpa sebarang diskriminasi. Di mana ahli-ahlinya terdiri daripada para aktivis dan pemimpin wanita badan=badan bukan kerajaan (NGO), ahli-ahli akademik dan profesional dan individu yang pakar dalam pelbagai bidang.
- Sekretariat Jawatankuasa Hal Ehwal Wanita Selangor
Sekretariat ini berfungsi menyelaras, memantau dan memastikan bahawa segala perancangan dan tindakan ke arah mencapai objektif tercapai.
- Minimum 30% Pembuat Keputusan dan Kepimpinan Kepada Wanita
Keperluan warga Selangor akan dikenal pasti secara lebih sistematik dan tersusun supaya pengagihan yang adil terhadap sumber dan hasil negeri Selangor dapat dilaksanakan dengan lebih baik menerusi gender-seggregated data ( hasil dari Gender Budgeting Budget Gender). Di samping itu, usaha-usaha selaras dengan keprihatinan menghapuskan sebarang bentuk penganiayaan dan keganasan terhadap wanita akan diberi tumpuan.
- Pengaruh Utamakan Gender
Kesedaran gender menerusi pengaruh utamakan gender akan menghasilkan kesaksamaan gender dan keadilan sosial. Pengaruh utamakan gender juga akan menghasilkan komposisi barisan pembuat keputusan di berbagai peringkat dalam pentadbiran negeri Selangor menjadi lebih adil.
Bagaimanapun proses pengenalan berkaitan dasar dan operasi gender dalam pentadbiran negeri harus difahami oleh semua kakitangan seperti dibekalkan dengan tools yang sesuai. Begitu juga dengan Gender Budgeting akan dimulai dengan projek rintis dalam beberapa bahagian pentadbiran kerajaan negeri Selangor. Oleh itu di dalam pentadbiran kerajaan negeri Selangor masyarakat harus diberi kefahaman juga mengenai gender Audit analisis gender, penghapusan diskriminasi gender di dalam wanita dan maskuliniti .
Beberapa perkara lain yang dapat memberi hak yang sama kepada wanita serta melindungi wanita daripada diskriminasi oleh kerajaan negeri Selangor adalah Penubuhan Institut Kajian Keluarga dan Gender, Perspektif Gender dalam pakej rangsangan RM50 bilion negeri Selangor dan gender dalam pentadbiran dan pengurusan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).Di samping pewujudan Database seperti Portol ibu tunggal ( Portal e-bu) dan Laman web wanita Selangor yang akan menjadi jaringan maklumat bersama.