Mesyuarat Kedua Penggal Keempat Dewan Negeri Selangor Tahun 2011
11 Julai 2011 hingga 13 Julai 2011
145) ANGGOTA PENGUATKUASA MPK YANG TIDAK MENCUKUPI
Tahun: 2011
Sesi: 2
Isu: Kerajaan Tempatan
Adun: Y.B. Tuan Dr Abdul Rani Bin Osman
Kategori: Mulut
Sub Soalan
-
MPK adalah di antara PBT yang mempunyai keluasan yang besar wilayah pentadbirannya. Sesungguhnya Jabatan penguatkuasa mempunyai tugasan yang amat berat dari segi penguatkuasaan undang-undangnya. Apakah peranan pihak kerajaan untuk menangani kekurangan pegawai penguatkuasa MPK?
Sehingga tahun 2011, jumlah kakitangan penguatkuasa di Jabatan Penguatkuasaan MPK adalah seramai 228 orang yang terdiri dari 07 pegawai, 13 anggota pembantu penguatkuasa kanan, 203 anggota pembantu penguatkuasa, 03 pembantu tadbir serta 02 pemandu. Jika dilihat dari segi keluasan wilayah yang berukuran lebih kurang 574 km persegi, kekuatan anggota sedia ada tidak mencukupi untuk menjalankan tugas-tugas penguatkuasaan di bawah kawasan pentadbiran Majlis. Bagi menangani kekurangan anggota, pihak Majlis melalui Badan Berkuasa Melantik akan membuat penambahan kakitangan di Jabatan Penguatkuasaan. Pertambahan keluasan pentadbiran Majlis hampir 3 kali ganda pada 2005 merupakan suatu cabaran baru dengan pertambahan anggota penguatkuasa akan membolehkan tindakan penguatkuasaan lebih efektif dan efisien.
-
Apakah langkah penambahbaikan yang dijalankan untuk memantapkan pengurusan jabatan ini?
Langkah penambahbaikan yang dilaksankan oleh pihak Majlis antaranya membuat perancangan operasi tahunan secara berkala bagi menjalankan tugasan secara bersistematik. Piagam pelanggan yang diwujudkan di peringkat Jabatan iaitu menyelesaikan tindakan aduan awam dalam tempoh 48 jam akan dapat mengurangkan aduan orang awam. Majlis juga telah melaksanakan sistem pengurusan berkualiti MS ISO 9001 : 2008 iaitu Kawalan Perniagaan, Kawalan Pembangunan Tanah & Infrastruktur, Penguatkuasaan Undang-Undang, Penilaian & Kadaran dan Aktiviti Sokongan serta Pentadbiran.
Dalam menambah ilmu pengetahuan di kalangan anggota-anggota penguatkuasa, beberapa latihan, kursus, seminar dan bengkel telah diberikan kepada anggota penguatkuasa sama ada secara dalaman dan kursus luaran. Agensi yang seringkali bekerjasama dengan Majlis seperti ILKAP, PULAPES, ILPBT, KPKT dan agensi-agensi swasta yang menganjurkan latihan-latihan berkaitan penguatkuasaan dan latihan seni mempertahankan diri.