Mesyuarat Kedua Penggal Keempat Dewan Negeri Selangor Tahun 2011
11 Julai 2011 hingga 13 Julai 2011
120) PENGEMASKINIAN DATA GUNATANAH PIHAK BERKUASA TEMPATAN
Tahun: 2011
Sesi: 2
Isu: Kerajaan Tempatan
Adun: Y.B. Dato' Subahan Bin Kamal
Kategori: Mulut
Sub Soalan
-
Pada 18 Mei 2011 Jawatankuasa Surau Taman Prima Selayang telah dimaklumkan secara bertulis oleh Pengarah Jabatan Perancang Bandar, Majlis Perbandaran Selayang (MPS) bahawa Lot 1244 Taman Prima Selayang tidak dapat disokong untuk pembinaan surau oleh kerana tapak yang dipohon adalah kawasan rizab gerai sedangkan di atas tapak yang sama sedang dibangunkan kilang menyimpan bahan sejuk beku kepunyaan individu. Apakah norma masa yang diambil untuk mengemas kini data tanah dalam sistem Pihak Berkuasa Tempatan setelah sesuatu perubahan status kepada tanah dilakukan.
Pihak PBT hanya menggunakan Rancangan Pemajuan iaitu Rancangan Struktur dan Rancangan Tempatan sebagai rujukan menetapkan zoning gunatanah. Sesuautu lot tanah yang hendak dibuat perubahan status gunatanah wajib mematuhi zoning gunatanah yang telah ditetapkan di dalam Rancangan Struktur dan Rancangan Tempatan.
Bagi MPS yang telah mempunyai Rancangan Tempatan MPS 2020. Setiap pemilik tanah yang ingin membuat perubahan status gunatanah mestilah mematuhi zoning gunatanah yang telah ditetapkan didalam Rancangan Tempatan MPS 2020.
-
Tidakkah Jabatan Perancang Bandar Pihak Berkuasa Tempatan dirujuk atau dimaklumkan jika berlaku kes-kes perubahan guna tanah supaya tidak memberi maklumat yang tidak tepat kepada orang awam.
Bagi kes ini pihak mps maklum akan status gunatanah tersebut dan jelas selaras dengan pelan tatatur Taman Prima Selayang yang diluluskan di mana tapak tersebut adalah bagi tujuan gerai dan di dalam kategori perniagaan serta perkhidmatan.
Dalam hal ini pihak Jawatankuasa Surau Taman Prima Selayang tidak merujuk atau mendapatkan maklumat terperinci status tanah tersebut terlebih dahulu dengan MPS sebelum mengemukakan permohonan surau sehingga menyebabkan salah andaian tapak tersebut sebagai tapak surau.
Hakikatnya tiada sebarang perubahan status gunatanah yang berlaku ke atas tapak tersebut dan ianya adalah kekal sebagai tapak gerai dan diketegorikan sebagai perniagaan serta perkhidmatan.
-
Bilakah status Lot Tanah 1244 bertukar menjadi milik individu dan atas alasan apa kawasan itu dibenarkan pembangunan kilang sedangkan kawasan itu adalah kawasan perumahan.
Berkaitan pertukaran status pemilikan sesuatu tanah (Lot 1244) ini, MPS tidak memperolehi maklumat yang terperinci kerana ianya di bawah tanggungjawab Pejabat Tanah Daerah Gombak. Status pemilikan tapak tersebut hanya diketahui semasa permohonan permit bangunan sementara diterima oleh MPS pada 22hb.Okt.2010 bagi pendirian “ Cadangan Membina 1 Unit Bangsal Terbuka Dan 1 Unit Kabin Untuk Pejabat di atas Lot HS(M) 18869, PT 30826, Taman Prima Selayang, Batu 8 Jalan Ipoh, Mukim Batu, Daerah Gombak, Majlis Perbandaran Selayang” dan telah diluluskan dengan syarat tertakluk kepada ulasan jabatan teknikal berkaitan.
Kelulusan bersyarat diberikan adalah atas faktor bangunan yang hendak dibina merupakan bangunan sementara sahaja di atas tapak/tanah yang telah menjadi milik persendirian. Semakan terkini MPS terhadap geran yang dikemukakan oleh pemilik/pemohon didapati syarat nyatanya adalah gerai/perniagaan dan bangunan yang didirikan itu bukanlah kilang yang mutlak.