Mesyuarat Kedua Penggal Keempat Dewan Negeri Selangor Tahun 2011

11 Julai 2011 hingga 13 Julai 2011

107) JAWATANKUASA MENCEGAH GEJALA SOSIAL

Tahun: 2011

Sesi: 2

Isu: Pentadbiran

Adun: Y.B. Tuan Dr Shafie Bin Abu Bakar

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Pihak JAIS mempunyai Ahli Jawatankuasa mencegah maksiat dan gejala sosial. Demikian juga pihak Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Pembangunan Modal Insan. Apakah tumpuan utama bagi kedua-dua ahli jawatankuasa ini?

    BIL JAWATANKUASA INDUK MENANGANI GEJALA SOSIAL NEGERI SELANGOR JAWATANKUASA MENANGANI GEJALA SOSIAL DI BAWAH JAIS
     
    1. Jawatankuasa Induk menangani Gejala Sosial peringkat Negeri Selangor merancang dasar-dasar dengan mengunakan 5 pendekatan iaitu Pencegahan, Pemulihan,

    Pencelahan, Pembangunan, dan Penguatkuasaan dalam menangani masalah gejala sosial di Negeri Selangor.

    Jawatankuasa Menangani Gejala Sosial (JAIS) merupakan salah satu kompenen dalam Jawatankuasa Induk Menangani Gejala Sosial Negeri Selangor yang berperanan melaksanakan tanggungjawab sebagai perlaksana khususnya dalam bidang Penguatkuasaan.
    2. Berfungsi untuk menyelesaikan masalah gejala sosial secara holistik dan mengembelingkan semua sumber yang ada pada pelbagai jabatan/agensi Kerajaan, Badan Bukan Kerajaan (NGO,s), pimpinan setempat dan aktivis sosial. Bertindak salah satu jawatankuasa perlaksana dengan dibantu oleh ahli daripada Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO’s) Islam dalam melaksanakan kempen atau dakwah kepada masyarakat Islam khususnya.
    BIL JAWATANKUASA INDUK MENANGANI GEJALA SOSIAL NEGERI SELANGOR JAWATANKUASA MENANGANI GEJALA SOSIAL DI BAWAH JAIS  
     
    3. Tumpuan Jawatankuasa ini adalah menyelesaikan masalah gejala sosial pelbagai kaum dan agama yang melibatkan pelajar, remaja dan belia  seperti rempit, zina, dadah, ponteng dan Jenayah. Tumpuan Jawatankuasa ini ialah mencegah gejala sosial khususnya dikalangan umat Islam sebagai tuntutan nahi mungkar demi kesejahteraan ummah.  

    Jawatankuasa Menangani Gejala sosial Negeri Selangor  dan Jawatankuasa Menangani Gejala Sosial di bawah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) juga memberi fokus kepada Kes Pembuangan bayi yang semakin serius. Oleh itu, keduadua jawatankuasa ini bekerjasama dalam melaksanakan Kem Anti Zina yang telah dilancarkan oleh YAB Tan Sri Dato Sri Abdul Khalid Bin Ibrahim, Dato’ Menteri Besar Selangor pada 31 Ogos 2010 dan diteruskan dengan Kempen Anti Zina sempena Sambutan Malam Tahun Baru pada 31 Disember 2011 dan yang terkini pada 13

    Februari 2011 yang lalu. Kempen ini melibatkan pelbagai agensi/jabatan

  2. Tidakkah berlaku duplikasi tugas antara kedua-dua ahli jawatankuasa?

    Jawatankuasa Induk Menangani Gejala Sosial Negeri Selangor memainkan peranan penting dalam usaha menangani gejala sosial di Negeri Selangor secara bersepadu dan berjangka panjang. Peranan utama jawatankuasa ini ialah merangka dasardasar berkaitan dengan langkah menangani  masalah gejala sosial yang berlaku di kalangan masyarakat di Negeri Selangor tanpa mengira kaum dan agama di Negeri Selangor secara menyeluruh. Ahli Jawatankuasanya terdiri daripada pelbagai Jabatan/Agensi Kerajaan serta Badan Bukan Kerajaan (NGO’s)

    Manakala Jawatankuasa Menangani Gejala Sosial di bawah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS)  berperanan mencegah gejala sosial dikalangan masyarakat yang beragama Islam sahaja. Ahli jawatankuasanya terdiri daripada Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO’s) Islam dari seluruh Negeri Selangor.

    Oleh yang demikian, Kedua-dua Jawatankuasa tersebut mempunyai bidang dan tanggungjawab yang berbeza dan tidak berlaku duplikasi dari segi tugas malah kedua-dua jawatankuasa ini bekerjasama dalam melaksanakan program dan aktiviti mencegah gejala sosial.

    Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) merupakan perlaksana terutamanya dalam bidang penguatkuasaan dalam menangani gejala sosial di Negeri Selangor khususnya berkaitan dengan maksiat di kalangan umat Islam.

  3. Adakah dengan wujudnya kedua-dua ahli jawatankuasa ini, gejala maksiat dan sosial berkurangan di negeri Selangor?

    Pada tahun (2010) sebanyak 31 Program Menangani Gejala Sosial (GeMS) telah berjaya dilaksanakan antaranya Program Karnival GeMS di daerah – daerah dan Kursus Jati Diri Remaja GeMS.

    Kejayaan pelaksanaan GeMS dimantapkan lagi dengan perlaksanaan Program Kempen Anti Zina yang telah dilancarkan oleh YAB Dato’ Menteri Besar Selangor pada 31 Ogos 2010 sempena sambutan kemerdekaan. Susulan itu, beberapa siri program Anti Zina telah diadakan di seluruh daerah di Negeri Selangor dan diselaraskan oleh Pejabat Daerah di setiap daerah dan pencapaian adalah seperti berikut :

    Program Jumlah tangkapan Kawasan / Daerah
       
    Anti Zina Siri I Tiada tangkapan Petaling
    Anti Zina Siri II 135 kes 9 Daerah
    Anti Zina Siri III 81 kes 9 Daerah

    Berdasar statistik di atas menunjukkan bahawa jumlah kes penangkapan bagi kes berkaitan dengan jenayah syariah mencatatkan penurunan. Hal ini membuktikan perlaksanaan Kempen Anti Zina telah memberi satu impak kepada masyarakat mengenai bahaya zina kepada masyarakat khususnya dan amnya kepada Negeri Selangor. Walaubagaimana pun statistik Kempen Anti Zina Siri 1 menunjukan tiada tangkapan direkodkan kerana Kempen Anti Zina Siri satu  merupakan satu permulaan dan hanya pencegahan dilakukan dimana risalah mengenai bahayanya zina diedarkan kepada masyarakat di Daerah Petaling.

    Pada tahun (2011) sehingga Jun sebanyak 10 Program menangani gejala sosial (GeMS) Negeri Selangor  telah dijalankan dan program ini memberi fokus kepada remaja dan belia yang berisiko tinggi untuk terjebak dalam masalah gejala sosial. Program menangani gejala sosial (GeMS) dijalankan di kawasan-kawasan tumpuan remaja dan belia seperti di Dataran Shah Alam, Pantai Morib dan Dataran Tonggak 10, Sabak Bernam. Sambutan daripada remaja dan belia amat menggalakkan di tempat-tempat tersebut, dan mereka terdiri daripada penunggang motosikal, remaja berbasikal, dan sebagainya.

    Kejayaan Jawatankuasa Menangani Gejala Sosial Negeri Selangor dapat dikukuhkan lagi berdasarkan kepada statistik Polis Diraja Malaysia dengan Kadar Jenayah secara keseluruhannya di Negeri Selangor adalah stabil dan terkawal berdasarkan indikator indeks jenayah  yang menunjukkan penurunan sebanyak 8.38 % dari 1 Januari 2011 sehingga 7 Jun 2011. Hal ini membuktikan kempen kesedaran serta pengupayaan kolektif komuniti dalam Jelajah GeMS yang melibatkan Majlis Dialog GeMS dengan penyertaan semua pimpinan tertinggi di setiap daerah di Negeri Selangor  yang terdiri daripada Pegawai Daerah, Ketua Jabatan/Agensi Kerajaan, ADUN/ Penyelaras Pusat Khidmat Masyarakat, Penghulu, Ketua Kampung, AJK Masjid, Pengerak Belia Tempatan, dan Ketua Komuniti telah memberi kesedaran kepada masyarakat mengenai bahayanya gejala sosial dan pentingnya mencegahkan dan menanganinya. Oleh itu, dengan wujudnya Jawatankuasa Menangani Gejala Sosial Negeri Selangor menyumbang kepada penurunan Kadar Jenayah Sivil dan Jenayah Syariah di Negeri Selangor.

Lampiran

Tiada Lampiran.