Mesyuarat Kedua Penggal Keempat Dewan Negeri Selangor Tahun 2011

11 Julai 2011 hingga 13 Julai 2011

89) PEMOTONGAN AIR

Tahun: 2011

Sesi: 2

Isu: Infrastruktur & Kemudahan Awam

Adun: Y.B. Tuan Badrul Hisham Bin Abdullah

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Inisiatif kakitangan Syarikat Bekalan Air Selangor (SYABAS) melancarkan Tabung Budi telah dapat membantu mereka yang mengalami tunggakan bil air menikmati bekalan air semula. Mengapakah Kerajaan Negeri mahu menghalang Tabung Budi yang bertujuan murni?

    Pelaksanaan Tabung Budi adalah bercanggah dengan tanggung jawab dan obligasi SYABAS di bawah Perjanjian Konsesi yang telah ditandatangani oleh SYABAS dan Kerajaan Persekutuan serta Kerajaan Negeri Selangor. Di bawah Perjanjian tersebut, tidak ada sebarang peruntukkan yang membenarkan SYABAS mengutip apa-apa bayaran dari pengguna atau mana-mana pihak selain dari mengutip dan menyimpan caj yang masih berhutang oleh pengguna di dalam kawasan pembekalan air sahaja.

    Tindakan SYABAS menubuhkan Tabung Budi dan mengutip sumbangan dari orang ramai bagi tujuan membayar caj bekalan air adalah juga bertentangan dengan syaratsyarat yang ditetapkan di dalam lesen yang telah dikeluarkan kepada SYABAS. SYABAS sebagai pemegang lesen hanya diberikan kuasa untuk mengutip dan menyimpan caj yang masih berhutang oleh pengguna di dalam kawasan pembekalan air.

    Selain itu, tindakan SYABAS mewujudkan Tabung Budi seolah-olah ingin  menentang dasar yang dibuat oleh Kerajaan Negeri Selangor pada masa ini dan mengeruhkan hubungan baik yang telah terjalin di antara Kerajaan Negeri dan SYABAS. SYABAS sebagai syarikat yang telah diberikan konsesi bagi pengagihan air bersih dalam Negeri Selangor yang mengambil alih Perbadanan Urus Air Selangor (PUAS) sewajarnya akur kepada arahan dari Kerajaan Negeri dan menyokong penuh dasar-dasar yang dibuat oleh Kerajaan Negeri (Government of the day) dan bukannya menentang dasar yang dibuat.

  2. Apakah inisiatif Kerajaan Negeri untuk mengatasi masalah bil air pengguna yang tertunggak?

    Dalam mencapai hasrat untuk Merakyatkan Ekonomi Selangor, kepentingan rakyat adalah merupakan keutamaan di dalam setiap perkhidmatan yang disediakan oleh Kerajaan Negeri Selangor termasuk di dalam perkhidmatan air. Dalam hal ini, Kerajaan Negeri Selangor telah melaksanakan pemberian air 20 meter padu percuma kepada semua pengguna domestik yang mempunyai meter individu. Bagi pengguna domestik di pangsapuri pula, pemberian air percuma ini diberikan melalaui kaedah kupon.  Kos bagi 20 meter padu percuma tersebut ditanggung oleh Kerajaan Negeri Selangor. Air percuma sebanyak 20 meter padu tersebut dapat digunakan oleh 4 orang di dalam sesebuah keluarga. Walaupun pada dasarnya pemberian air percuma merupakan sumbangan kecil dari Kerajaan Negeri Selangor, namun ini dapat meringankan kos air di dalam setiap keluarga di mana sebahagian kos ditanggung oleh Kerajaan Negeri.

    Adalah menjadi tanggung jawab setiap individu sebagai pengguna air  untuk menanggung kos penggunaan air.

  3. Adakah masih ramai pengguna yang mengalami masalah bil air tertunggak?

    Mengikut rekod SYABAS, pada ketika ini tidak ramai pengguna yang mempunyai meter individu  menghadapi masalah bil tertunggak.  Ini adalah kerana pada ketika ini, SYABAS melaksanakan tindakan aktif mengeluarkan notis kepada mana-mana pengguna yang mempunyai bil tertunggak dan tindakan memotong bekalan air akan dibuat oleh SYABAS sekiranya tunggakan  tersebut tidak diselesaikan oleh pengguna dalam tempoh yang telah ditetapkan.

    Walau bagaimanapun, masalah bil tertunggak lebih banyak dihadapi oleh pengguna yang menetap di pangsapuri terutamanya pangsapuri kos rendah dan kos sederhana yang masih menggunakan meter air pukal dan pihak pengurusan pangsapuri tersebut  gagal menjelaskan bayaran bil air kepada SYABAS mengikut tempoh yang ditetapkan.

    Oleh itu ,  bagi penghuni di pangsapuri yang masih menggunakan meter pukal, adalah sewajarnya mendesak pihak pengurusan untuk mengambil inisiatif bagi menukar meter pukal kepada meter individu bagi mengelakkan masalah bil tertunggak  dan pada masa yang sama dapat menikmati pemberian 20 meter padu air percuma yang diberikan oleh Kerajaan Negeri Selangor di dalam melaksanakan dasar Merakyatkan Ekonomi Selangor.

Lampiran

Tiada Lampiran.