Mesyuarat Kedua Penggal Keempat Dewan Negeri Selangor Tahun 2011
11 Julai 2011 hingga 13 Julai 2011
83) KHUTBAH JUMAAT
Tahun: 2011
Sesi: 2
Isu: Hal Ehwal Islam
Adun: Y.B. Dato' Mohd Shamsudin Bin Lias
Kategori: Mulut
Sub Soalan
-
Khutbah Jumaat yang disampaikan seharusnya terkawal dan bebas daripada unsur- unsur politik selaras dengan Titah arahan Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan Selangor untuk menjamin keharmonian para jemaah beribadah. Mengapakah masih wujud pembaca Khutbah tanpa teks yang disediakan oleh Jabatan Agama Islam (JAIS) ?
Jabatan Agama Islam Selangor telah menyediakan teks khutbah Jumaat setiap minggu kepada semua masjid dan surau yang diberi kebenaran solat Jumaat. Arahan untuk membaca teks khutbah Jumaat kepada masjid-masjid sentiasa dikeluarkan dari masa ke semasa. Dalam melaksanakan arahan tersebut, tidak dinafikan terdapat beberapa buah masjid yang tidak membaca teks khutbah Jumaat. Sebagai tindakan, JAIS telah memanggil Nazir-nazir masjid berkenaan untuk diberi nasihat dan tindakan tegas boleh diambil sekiranya perlu. Dalam hal ini, tindakan pemantauan sentiasa dilaksanakan untuk memastikan arahan tersebut dipatuhi.
-
Mengapakah teks Khutbah yang disediakan pada 10 Jun 2011 berunsurkan politik membela seorang Pemimpin Pakatan Rakyat ?
Setiap teks khutbah Jumaat akan disemak melalui Jawatankuasa Panel Khutbah yang dianggotai oleh Pengarah sebagai Pengerusi dan anggotanya terdiri daripada Timbalan Mufti, Pegawai JAIS dan pakar hadis dan bahasa. Berhubung dengan teks khutbah Jumaat yang disediakan pada 10 Jun 2011, ia disemak oleh Jawatankuasa tersebut dan ia diluluskan untuk dibaca. Jawatankuasa khutbah berpandangan kandungannya tidak ada unsur politik dan tidak menyentuh mana-mana pihak. Kandungannya menjurus kepada tanggungjawab mendidik umat Islam mengenai bahaya fitnah dan qazaf dan kesannya kepada diri dan umat Islam keseluruhannya.