Mesyuarat Kedua Penggal Keempat Dewan Negeri Selangor Tahun 2011
11 Julai 2011 hingga 13 Julai 2011
80) BANGUNAN TERBENGKALAI
Tahun: 2011
Sesi: 2
Isu: Kerajaan Tempatan
Adun: Y.B. Tuan Dr. Mohd Nasir Bin Hashim
Kategori: Mulut
Sub Soalan
-
Terdapat projek blok kedai di persimpangan Jalan Lapangan Terbang Subang dan Jalan Subang ÐSg.Buloh (belakang Stesen minyak Caltex) yang terbengkalai untuk beberapa tahun . Siapakah pemilik projek ini dan kenapakah ianya terbengkalai ?
Untuk makluman Y.Berhormat, projek terbengkalai tersebut melibatkan cadangan pembinaan sebanyak 59 unit kedai pejabat 3 tingkat di atas hakmilik HS(D) 110996 hingga HS(D) 111054, Seksyen U3, Sungai Buloh yang dibangunkan oleh Tetuan Kumpulan Bumiklas Sdn Bhd. Berdasarkan rekod LPHS, saya difahamkan pengarah syarikat ketika itu adalah Mat Nadzari Bin Ahmad Dahlan dan En. Abdul Razak Bin Mohd Adnan. Walaubagaimanapun, syarikat tersebut telah digulung oleh Mahkamah dan Mahkamah telah melantik Ferrier Hodgson Sdn Bhd MH sebagai pelikuidasi pada 19.11.2007. Berdasarkan rekod carian Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) pada 2008 mendapati syarikat tersebut mempunyai jumlah hutang yang besar dan kemungkinan besar projek tersebut terbengkalai disebabkan oleh masalah kewangan.
-
Apakah perancangan Kerajaan Negeri untuk menghidupkan semula projek tersebut , memandangkan lokasi tersebut amat strategik dan mempunyai nilai pasaran yang tinggi ?
Memandangkan projek ini di bawah pelikuidasi maka adalah menjadi tanggungjawab pelikuidasi untuk mengambil tindakan pemulihan tersebut. Walaubagaimanapun, Kerajaan Negeri di bawah penubuhan Jawatankuasa Pemulihan Projek Terbengkalai (JPPT) yang dipengerusikan oleh saya sendiri amat perihatin dengan masalah tersebut dan berusaha merancang untuk menghidupkan semula projek tersebut dengan mengadakan perbincangan bersama ‘pelikuidasi terbabit bagi mencari kaedah terbaik dalam memulihkan projek yang terbengkalai.
Pada masa ini, pelikuidasi iaitu Ferrier Hodgson MH Sdn Bhd memaklumkan bahawa pihaknya sedang berusaha memulihkan semula projek ini dengan mengadakan perbincangan dengan pelbagai pemaju penyelamat dan mendapatkan persetujuan pembeli melalui proses penstrukturan semula syarikat di bawah peruntukan Seksyen 176 Akta Syarikat 1965.