Mesyuarat Kedua Penggal Keempat Dewan Negeri Selangor Tahun 2011

11 Julai 2011 hingga 13 Julai 2011

68) PENCEMARAN AIR LAUT DI PERAIRAN PELABUHAN KLANG

Tahun: 2011

Sesi: 2

Isu: Alam Sekitar

Adun: Y.B. Tuan Badrul Hisham Bin Abdullah

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Amnya Pelabuhan Klang mempunyai 3 pelabuhan iaitu Pelabuhan Barat, Pelabuhan Selatan dan Pelabuhan Utara. Telah terdapat tumpahan minyak yang sering berlaku di 3 pelabuhan tersebut. Apakah tindakan yang boleh diambil oleh Kerajaan Negeri di dalam membendung dan mengelakkan kejadian seumpama ini sering berlaku selain laporan dan aduan dibuat kepada Lembaga Pelabuhan Klang, Jabatan laut dan Jabatan Alam Sekitar

    Kerajaan Negeri dengan kerjasama agensi penguatkuasaan maritim seperti Jabatan Laut Malaysia, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia dan Pasukan Gerakan Marin sentiasa mengadakan pemantauan secara berterusan untuk mencegah serta membendung kejadian pencemaran minyak daripada aktiviti-aktiviti perkapalan sekitar Pelabuhan Klang. Melalui aktiviti pemantauan ini pemeriksaan juga dibuat ke atas kapal bagi memastikan tidak ada sisa minyak atau bahan buangan yang disimpan di dalam kapal dilupuskan secara haram ke dalam laut. Selain dari itu, beberapa langkah kawalan sediada dilaksanakan oleh pihak berkuasa pelabuhan bagi mengurangkan insiden pelanggaran kapal dagang seperti Traffic Separation Scheme (1977), Vessel Traffic Management System (1997) dan Mandatory Ship Reporting System in the Straits of Malacca (STRAIREP 1998).

    Selain dari pencegahan, Pihak Berkuasa Pelabuhan di bawah seliaan Lembaga Pelabuhan Klang juga mempunyai Pelan Tindakan Tumpahan Minyak (Peringkat Setempat)  bagi memastikan penyelaras tindakbalas sekiranya berlaku tumpahan minyak di dalam kawasan pelabuhan (Port Limit). Selain dari itu, pihak berkuasa pelabuhan juga perlu memperlengkapkan kemudahan masing-masing dengan stokpile peralatan kawalan tumpahan minyak yang mencukupi dan mempertingkatkan kemahiran kakitangan dalam kerja-kerja melawan tumpahan minyak. Bagi kes di mana pencemaran minyak telah merebak di pantai dan pelabuhan, Pelan Tindakan Pembersihan Pantai Negeri Selangor akan digerakkan.  Operasi pembersihan minyak peringkat setempat ini akan diterajui oleh Jawatankuasa Pembersihan Pantai Peringkat Daerah yang dipengerusikan oleh Tuan Pegawai Daerah.

  2. Apakah Kerajaan Negeri akan mewujudkan satu badan khas bagi memantau aktiviti di perairan Pelabuhan Klang?

    Agensi-agensi Penguatkuasaan Maritim sediada seperti Jabatan Laut, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia, Pasukan Gerakan Marin, PDRM serta Pihak Berkuasa Pelabuhan mempunyai kepakaran, keanggotaan serta sumber yang mencukupi bagi menjalankan pemantauan, pengawasan (surveillance) serta penguatkuasaan bersepadu bagi membendung dan mencegah pencemaran minyak. Maka, pada masa ini, Kerajaan Negeri Selangor boleh terus menggunakan perkhidmatan agensi-agensi sediada dan belum wujudnya keperluan untuk penubuhan satu badan khas untuk memantau aktiviti di perairan Pelabuhan Klang.

  3. Ini kerana, nasib golongan nelayan yang mencari rezeki di sekitar kawasan perairan Pelabuhan Klang akan terjejas dan apakah ada bantuan yang akan disalurkan oleh Kerajaan Negeri untuk mereka?

    Bagi kes-kes pencemaran minyak yang berpunca daripada kapal dagang di mana identiti kapal diketahui, maka pampasan kerugian yang bersabit dengan pencemaran yang dialami oleh nelayan boleh dituntut di bawah regim tuntutan dan pampasan antarabangsa seperti Civil Liability Convention 1992, International Oil Pollution Compensation Fund 1992 dan International Bunker Convention 2001 tertakluk kepada syarat dan kriteria pampasan yang telah ditetapkan. Tuntutan ini akan diselaraskan oleh Jabatan Alam Sekitar dengan kerjasama Jabatan Laut dan Jabatan Perikanan Negeri.

    Manakala bagi kes-kes pencemaran minyak daripada punca yang diketahui tetapi selain kapal dagang,  maka pampasan kerugian yang bersabit dengan pencemaran yang dialami oleh nelayan boleh dituntut dibawah Seksyen 46E, Akta Kualiti Alam Sekeliling (AKAS) 1974 dan Seksyen 40, Akta Zon Ekonomi Eksklusif (ZEE) 1984 melalui prosiding mahkamah.

    Bagi kes-kes pencemaran minyak di mana punca pencemaran serta pencemar tidak diketahui,  pada masa ini, belum ada mekanisme tuntutan dan pampasan gantirugi kepada para nelayan.

Lampiran

Tiada Lampiran.