Mesyuarat Kedua Penggal Keempat Dewan Negeri Selangor Tahun 2011
11 Julai 2011 hingga 13 Julai 2011
45) WIFI Ð KEMUDAHAN JALUR LEBAR SECARA PERCUMA
Tahun: 2011
Sesi: 2
Isu: Sains, Teknologi & ICT
Adun: Y.B. Tuan Manoharan A/l Malayalam
Kategori: Mulut
Sub Soalan
-
Bilakah Kerajaan Negeri Selangor akan melancarkan WIFI percuma bagi kegunaan rakyat di seluruh Negeri Selangor?
Kerajaan Negeri Selangor telah melancarkan fasa pertama WIFI percuma pada bulan April 2010 yang lalu. Perancangan Kerajaan Negeri adalah untuk melancarkan lebih banyak lagi inisiatif WiFi sama ada daripada inisiatif kerajaan negeri atau pelaburan pihak swasta (PFI) bermula pada suku keempat tahun 2011.
-
Apakah langkah-langkah yang telah diambil setakat ini bagi tujuan pelancaran WIFI secara percuma bagi seluruh Negeri Selangor?
Kerajaan Negeri telah menyenaraikan dua(2) kategori perkhidmatan WiFi untuk rakyat negeri Selangor iaitu secara berpusat (manage services) dan tidak berpusat (standalone). Bagi kategori pertama iaitu perkhidmatan secara berpusat, kerajaan negeri telah dan sedang menilai kertas cadangan daripada pihak pembekal perkhidmatan internet (ISP) utama di negara kita iaitu Telekom Malaysia, Jaring dan TIME. Tiga ISP ini dipilih berdasarkan kepada kekuatan dan keupayaan syarikat yang besar untuk memastikan perkhidmatan yang akan diberikan nanti lebih stabil, dan kualiti perkhidmatan yang terbaik, penyelenggaraan serta khidmat lepas jualan yang baik. Selain itu Kerajaan negeri juga memberikan peluang yang sama kepada semua ISP dan tidak ada isu eksklusif atau monopoli dan ia diharap dapat mewujudkan suasana persaingan yang sihat.
-
Berapakah anggaran kos yang terlibat bagi tempoh setahun yang terpaksa ditanggung oleh Kerajaan Negeri Selangor bagi menyediakan kemudahan WIFI secara percuma tersebut?
Anggaran kos yang terlibat bagi tempoh setahun yang terpaksa ditanggung oleh Kerajaan Negeri Selangor bagi menyediakan kemudahan WiFi secara percuma adalah bergantung pada beberapa faktor seperti :
- Bilangan lokasi
- Tempoh sewaan perkhidmatan,
- Kemudahan yang boleh ditawarkan oleh Kerajaan Negeri serta
- Pelan perniagaan kreatif yang boleh diberikan oleh ISP kepada kerajaan negeri dalam mewujudkan situasi menang-menang kepada semua pihak.
Kerajaan negeri mendapati kos sewaan yang telah ditawarkan adalah sebanyak RM 18,000.00 hingga RM 30,000.00 setahun bagi satu lokasi kawasan perkhidmatan WiFi dengan kapasiti talian utama (backhaul) sebanyak 4Mbps. Kadar sewaan ini adalah mengikut kadar Syarikat ISP yang menawarkan perkhidmatan ini. Walaubagaimanapun Kerajaan terus membuka peluang yang luas kepada mana-mana syarikat ISP untuk bersaing dan memberikan kadar sewa yang kompetitif dan mutu perkhidmatan yang lebih baik.