Mesyuarat Kedua Penggal Keempat Dewan Negeri Selangor Tahun 2011

11 Julai 2011 hingga 13 Julai 2011

9) PRESTASI KEWANGAN NEGERI SELANGOR

Tahun: 2011

Sesi: 2

Isu: Kewangan & Ekonomi

Adun: Y.B. Tuan Ng Suee Lim

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Sila nyatakan secara terperinci bagaimanakah prestasi kewangan Negeri Selangor secara perbandingan sejak 3 tahun yang lepas ?

    Prestasi kewangan Kerajaan Negeri Selangor bagi tahun 2008, 2009, 2010 dan 30 Jun 2011 berakhir masing-masing dengan lebihan/(kurangan) semasa sebanyak RM49.11 juta, (RM65.96 juta), RM124.24 juta dan RM198.95 juta. Kedudukan rizab negeri Selangor (lebihan terkumpul Akaun Hasil Disatukan) seperti pada 30 Jun 2011 adalah berjumlah RM931.20 juta. Rizab negeri Selangor pada tahun 2008, 2009 dan 2010 adalah masing-masing berjumlah sebanyak RM673.97 juta, RM608.01 juta dan RM732.25 juta.

    Kumpulan wang Disatukan yang terdiri dari wang tunai dan pelaburan yang dipegang bagi ketiga-tiga Kumpulanwang Disatukan iaitu Akaun Hasil Disatukan, Akaun Amanah Disatukan dan Akaun Pinjaman Disatukan pada tahun 2008, 2009, 2010 dan 30 Jun 2011 adalah masing-masing berjumlah RM1,424.37 juta, RM1,319.97 juta, 1,586.88 juta dan RM1,767.66 juta dengan peningkatan sebanyak 20.22% dan 11.39% pada tahun 2010 dan 30 Jun 2011 berbanding tahun sebelumnya.

  2. Sila nyatakan setakat manakah tempias kenaikan inflasi terhadap kedudukan kewangan Negeri Selangor secara holistik ?

    Antara punca kenaikan inflasi adalah disebabkan oleh:

    1. kenaikan kos pengeluaran yang berpunca daripada kenaikan harga barang,
    2. ketidakseimbangan antara jumlah permintaan dengan jumlah penawaran barangan dan perkhidmatan pada sesuatu masa tertentu; dan;
    3. peningkatan harga barangan dan perkhidmatan yang diimport dan penurunan kadar pertukaran asing

    Kesan kenaikan inflasi boleh dibahagikan kepada dua (2) jenis iaitu langsung dan tidak langsung. Secara langsung Kerajaan Negeri Selangor tidak menerima kesan ke atas kenaikan kadar inflasi memandangkan sebahagian daripada kos pengeluaran telah diserap dalam bentuk subsidi oleh Kerajaan Pusat dan Kerajaan Negeri tidak terlibat dalam pemberian subsidi.

    Walaubagaimanapun, kenaikan inflasi ini secara tidak langsung boleh meningkatkan lagi kos belanja mengurus dan pembangunan Kerajaan Negeri yang telah dibajetkan disebabkan oleh kenaikan harga barang

    Selain daripada itu pendapatan eksport akan menurun. Ini akan memberi kesan kepada pelaburan dalam Negeri Selangor memandangkan Negeri Selangor merupakan sebuah negeri perindustrian.

    Sekiranya keadaan inflasi berterusan keadaan ini juga boleh menjejaskan hasil Kerajaan Negeri memandangkan rakyat akan lebih mengutamakan perbelanjaan untuk sara hidup berbanding melunaskan cukai terhadap Kerajaan Negeri.

  3. Sila nyatakan apakah langkah-langkah proaktif yang telah dan bakal diambil oleh Kerajaan Negeri bagi memastikan kedudukan kewangan Negeri Selangor sentiasa berada dalam keadaan stabil dan kukuh ?

    Langkah-langkah proaktif yang telah dan bakal diambil oleh Kerajaan Negeri bagi memastikan kedudukan kewangan Negeri Selangor sentiasa berada dalam keadaan stabil dan kukuh adalah seperti berikut:-

    1. Perbendaharaan Negeri 27 April 2011 telah mengeluarkan Pekeliling Perbendaharaan Negeri Selangor Bilangan 6 Tahun 2011 – Garis Panduan Perbelanjaan Berhemah bagi membuat penambahbaikan terhadap garis panduan perbelanjaan berhemah dan langkah-langkah tambahan yang perlu diambil kira ke arah pengurusan perbelanjaan wang awam yang sempurna.dengan menekankan kepada:-
      • value for money;
      • peranan Unit Audit Dalam;
      • kajian pasaran tentang kos perbekalan barangan dan perkhidmatan; dan
      • pelaksanaan sesuatu program/aktiviti/projek selaras dengan jadual pelan tindakan dan jumlah peruntukan yang telah diluluskan. Peruntukan tambahan tidak akan disediakan kecuali bagi keadaan yang mendesak dan kritikal sahaja.

    Langkah-langkah perbelanjaan berhemah adalah merangkumi had perbelanjaan Pegawai Pengawal,had perbelanjaan penyediaan makanan, pemberian cenderamata, penganjuran bengkel/seminar/mesyuarat/kursus/acara majlis/upacara keraian, sambutan majlis-majlis rasmi, perjalanan dalam negeri dan luar negara, pewujudan jawatan, pembelian harta modal dan inventori, sewa dan pengubahsuaian ruang pejabat, penggunaan utiliti dan bekalan pejabat, elaun lebih masa dan pendahuluan diri/pendahuluan pelbagai.

    1. Mewujudkan Jawatankuasa Pengurusan Tunai Kerajaan Negeri. Pewujudan Jawatankuasa Pengurusan Tunai Kerajaan Negeri telah berjaya membantu Kerajaan Negeri dalam menguruskan lebihan tunai dengan lebih efisen disamping memberi pulangan faedah yang optimum.  Bagi tahun 2008, 2009 dan 2010, Kerajaan Negeri telah berjaya mengutip sebanyak RM20 juta berbanding RM14 juta pada tahun 2007 hasil daripada faedah keatas pelaburan;
    2. Meneruskan pelaksanaan Operasi Bersepadu Mengutip Hasil Tanah (Ops. Kutip 2011) dengan kerjasama di antara Perbendaharaan Negeri Selangor, semua

    Pejabat Tanah dan Daerah, Pejabat Tanah dan Galian Selangor dan Pusat ICT

    Selangor sebagai satu pasukan. Di antara pendekatan yang dilaksanakan melalui Ops. Kutip adalah seperti berikut:-

    • Polisi ‘Knock Door’ iaitu dengan menghantar notis tuntutan dan surat peringatan terus kepada penunggak-penunggak tegar;
    • mengadakan siri perbincangan bersama penunggak-penunggak tegar bagi menyelesaikan cukai tanah tertunggak;
    • memberikan peluang kepada penunggak untuk membayar secara ansuran berjadual dengan syarat pembayaran dibuat secara konsisten; dan
    • sekiranya penunggak tegar tersebut masih tidak menjelaskan cukai tanah tertunggak, Pejabat Tanah dan Daerah tanpa teragak-agak akan terus menguatkuasakan Notis 6A, Notis Tuntutan Hasil Tertunggak dan sekiranya dalam tempoh 3 bulan ia masih tidak dijelaskan maka seterusnya Notis 8A, Rampasan Tanah akan dilaksanakan.
    1. Kerajaan Negeri terutamanya melalui Pejabat Tanah dan Daerah sentiasa berusaha meningkatkan kutipan cukai tanah melalui beberapa kaedah iaitu:-
      • Mengenalpasti serta mengasingkan semua hakmilik (tertunggak) yang bermasalah agar tindakan susulan dapat diambil;
      • Membuka kaunter kutipan di luar pejabat bagi Pejabat Tanah Daerah di kawasan pedalaman;
      • Membuka kaunter pada waktu rehat; dan
      • Menambahkan saluran / kaedah pembayaran secara online dan pusat pembayaran di kaunter PBT.
    2. Kerajaan Negeri juga berusaha menangani tunggakan hasil cukai tanah dengan menubuhkan Jawatankuasa Kerja Mengurangkan Tunggakan Cukai Tanah di Peringkat Negeri yang dipengerusikan oleh Y.B. Dato’ Mohd. Arif bin Ab. Rahman, Pegawai Kewangan Negeri Selangor dan di Peringkat Daerah ianya dipengerusikan oleh Pegawai Daerah. Jawatankuasa tersebut berfungsi untuk melaksanakan kutipan tunggakan cukai tanah secara holistik yang melibatkan penunggak tegar dan penyelesaian hakmilik yang terlibat dengan permasalahan tanah di semua Pejabat Daerah.

     

Lampiran

Tiada Lampiran.