Mesyuarat Kedua Penggal Keempat Dewan Negeri Selangor Tahun 2011

11 Julai 2011 hingga 13 Julai 2011

1) PROJEK MRT

Tahun: 2011

Sesi: 2

Isu: Pengangkutan

Adun: Y.B. Tuan Lee Kim Sin

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Apakah peranan dan mekanisme kerajaan negeri dalam perancangan dan pemantauan projek MRT?

    Sehingga kini, Kerajaan Negeri memberikan sepenuh sokongan terhadap cadangan Projek MRT ini setelah diberikan penerangan tentang impak dan kesan daripada projek ini. Projek MRT ini akan memberikan kesan ekonomi yang besar seterusnya membantu pertumbuhan ekonomi di Negeri Selangor. Sehubungan dengan itu, satu jawatankuasa teknikal di peringkat negeri telah diwujudkan bagi melakukan aktiviti pemantauan. Jawatankuasa ini dikelolakan oleh Pengarah Unit Perancang Ekonomi Selangor (UPEN) bersama Pengarah Jabatan Perancang Bandar dan Desa (JPBD).

  2. Apakah pertimbangan dan pengiraan dalam pembayaran pampasan bagi tanah yang diambil?

    Mengikut perenggan 2 Jadual Pertama Akta Pengambilan Tanah 1960, perkara yang mesti dipertimbangkan dan diambil kira oleh Pentadbir Tanah dalam menentukan pampasan iaitu :-

    1. Nilai pasaran tanah berkenaan termasuk bangunan (mengikut harga pasaran). Nilai pasaran berdasarkan tarikh pewartaan tanah di bawah Seksyen 4 atau Seksyen 8 Akta Pengambilan Tanah 1960;
    2. Sebarang kenaikan nilai tanah akibat daripada pengambilan hendaklah ditolak daripada jumlah pampasan yang ditawarkan;
    3. Kerosakan akibat pengasingan (severance) tanah berkenaan dari tanahnya yang lain jika ada yang ditanggung atau mungkin akan ditanggung oleh orang yang berkepentingan;
    4. Kerosakan akibat kesan mudarat (injurious effection) jika ada yang ditanggung atau mungkin akan ditanggung oleh orang yang berkepentingan terhadap hartanya yang lain sama ada harta alih atau tidak alih dengan apa-apa cara lain;
    5. Apa-apa perbelanjaan yang munasabah kerana kena pindah tempat kediaman atau perniagaan akibat pengambilan dan;
    6. Sebarang aku janji yang jelas dan boleh dikuatkuasakan oleh agensi pemohon untuk membina sebarang kemudahan yang akan memberi faedah kepada tanah baki.

    Di samping itu juga, dilampirkan Pekeliling Pengarah Tanah Dan Galian Negeri Selangor berkaitan penentuan pampasan. Pekeliling ini disediakan sebagai garis panduan kepada semua Pentadbir Tanah/Penolong Pentadbir Tanah Daerah di dalam Negeri Selangor berhubung prosiding dan prinsip-prinsip menetapkan nilaian tanah dan pampasan menurut seksyen 12 Akta Pengambilan Tanah 1960 (Akta 486) bagi menjamin keseragaman pelaksanaan prosiding siasatan pengambilan tanah untuk rujukan dan tindakan pihak tuan.

  3. Adakah projek MRT perlu mendapat kelulusan OSC di PBT berkenaan?

    Berdasarkan kepada prosedur biasa, projek MRT ini perlu mendapatkan kelulusan OSC di PBT yang terlibat. Walau bagaimanapun, bagi projek MRT Sungai Buloh – Kajang ini Kerajaan Negeri melalui Unit Perancang Ekonomi Selangor (UPEN), secara dasarnya telah mencadangkan agar permohonan Kebenaran Merancang (KM) dibentangkan terus ke Jawatankuasa Perancang Negeri (SPC) untuk kelulusan. Ini adalah berdasarkan kepada peruntukkan Seksyen 20 A, Akta Perancangan Bandar dan Desa (Akta 172) yang mana ia boleh diguna pakai untuk projek-projek kerajaan.

Lampiran

Tiada Lampiran.