Mesyuarat Kedua Penggal Kelima Dewan Negeri Selangor Tahun 2012

9 Julai 2012 hingga 12 Julai 2012

241) RANCANGAN TEMPATAN

Tahun: 2012

Sesi: 2

Isu: Kerajaan Tempatan

Adun: Y.B. Puan Hannah Yeoh Tseow Suan

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Apakah pendirian Kerajaan Negeri dalam pengenaan syarat pendengaran awam untuk projek pembangunan di Selangor walaupun PBT telah mempunyai Rancangan Tempatan?

    Berdasarkan peruntukan subseksyen 21(6) Akta Perancangan Bandar dan Desa 1976 (Akta 172) mewajibkan PBT untuk menyampaikan notis bertulis kepada pemunya tanah berjiran berkenaan hak mereka untuk membuat bantahan terhadap suatu permohonan Kebenaran Merancang sekiranya pemajuan itu terletak di dalam kawasan yang tiada Rancangan Tempatan. Pada masa kini, keseluruhan kawasan PBT dan Daerah di Negeri Selangor ini, telah mempunyai Rancangan Tempatan yang telah diwartakan oleh Kerajaan Negeri.

    Akta 172 ini juga, tidak mensyaratkan pendengaran awam bagi kawasan PBT yang telah mempunyai Rancangan Tempatan. Jelas berdasarkan peruntukan undang-undang, bahawa sesi pendengaran awam bukanlah menjadi syarat wajib bagi permohonan Kebenaran Merancang.

  2. Jika jawapan (a) adalah tidak memerlukan pendengaran awam, bagaimanakah Kerajaan Negeri memenuhi konsep 'Local Agenda 21' yang mementingkan perbincangan bersama?

    Antara program ‘Local Agenda 21’ adalah menggalakkan penyertaan orang awam dalam proses membuat keputusan. Berdasarkan amalan semasa, Kerajaan Negeri sentiasa mengutamakan prinsip Kebertanggungjawaban dan Ketelusan. Dengan itu, walaupun menurut Akta 172, pendengaran awam tidak perlu dijalankan bagi kawasan-kawasan yang telah ada Rancangan tempatan, namun Kerajaan Negeri sentiasa menggalakkan pelaksanaan sesi pendengaran awam atau “Town Hall Meeting” bagi projek-projek pembangunan yang berskala besar, memberi impak atau melibatkan kepentingan awam.

    Malahan di dalam proses penyediaan Rancangan Tempatan, orang awam telah dilibatkan sejak dari mula penyediaan sesebuah Rancangan Tempatan. Perkara ini juga adalah selari dengan peruntukan Akta 172, dimana orang ramai dan pihak-pihak berkepentingan (stake holders) perlu dilibatkan di dalam proses penyediaan Rancangan Tempatan bermula dari peringkat Publisiti Awal iaitu hebahan bagi menyatakan bahawa suatu kajian sedang dijalankan bagi menyediakan Rancangan Tempatan di kawasan berkenaan (peruntukan seksyen 12A).

    Orang awam juga perlu sekali lagi dilibatkan dalam Program Publisiti Draf Rancangan Tempatan (subseksyen 14(1)) bagi membolehkan orang ramai menyemak draf yang disediakan dan mengemukakan sebarang cadangan atau bantahan ke atas draf berkenaan. Bantahan dan cadangan ini kemudiannya akan dibentang di dalam Jawatankuasa Siasatan Tempatan dan Pendengaran Awam yang akan menimbangkan bantahan-bantahan berkenaan sebelum draf Rancangan Tempatan tadi dimuktamadkan.

    Bagi kawasan yang telah mempunyai Rancangan Tempatan, di mana tiada pendengaran awam dibuat, orang awam atau pemilik tanah berjiran yang terkilan, masih boleh mengemukakan bantahan kepada sesuatu kelulusan Kebenaran Merancang bagi mana-mana projek pembangunan melalui Lembaga Rayuan yang ditubuhkan mengikut peruntukan Seksyen 36 Akta Perancangan Bandar dan Desa 1976.

    Jelas di sini bahawa, konsep ‘Local Agenda 21’ yang mementingkan perbincangan bersama, sememangnya telah dilaksanakan melalui peruntukan Akta Perancangan Bandar dan Desa 1976.

Lampiran

Tiada Lampiran.