Mesyuarat Kedua Penggal Kelima Dewan Negeri Selangor Tahun 2012
9 Julai 2012 hingga 12 Julai 2012
181) PUSAT PEMBERDAYAAN WANITA SELANGOR
Tahun: 2012
Sesi: 2
Isu: Wanita & Keluarga
Adun: Y.B. Tuan Mohamed Azmin Bin Ali
Kategori: Mulut
Sub Soalan
-
Apakah Pusat Pemberdayaan Wanita Selangor telah berjaya mencapai matlamat untuk pemberdayaan wanita?
Pusat Wanita Berdaya (dahulunya dipanggil Pusat Komuniti Wanita) telah mula beroperasi sejak 2010 yang lalu. Sehingga kini wujud dua puluh satu (21) Pusat Wanita Berdaya (PWB). Konsep utama ketika itu ialah membekalkan peralatan kepada PWB dengan latihan yang singkat agar wanita boleh mengaktifkan kegiatan meningkatkan ekonomi, khususnya dan mencambah kegiatan-kegiatan lain yang boleh berkembang daripada kegiatan aktiviti ekonomi sedemikian. Beberapa PWB yang berjaya termasuklah di DUN Lembah Jaya, Ijok, Hulu Kelang, Selat Klang, Sijangkang dan Batu Caves.
Suatu pendekatan yang segar dan menyeluruh perlu diambil bagi memastikan
PWB mencapai sepenuhnya hasrat Pemberdayaan Wanita Selangor. Proses Pemberdayaan Wanita Selangor perlu dihasilkan melalui beberapa fasa yang akan menghasilkan kesedaran, kefahaman, penghayatan, hubungan jalin, kebolehupayaan, daya saing dan jati diri, kemampuan memilih dan membuat keputusan berdasarkan maklumat dan ilmu yang perlu serta menghasilkan keupayaan dan ketrampilan yang mampu mendorong individu di sekelililng mereka ke arah menghayati prinsip-prinsip masyarakat madani. Justru, Pemberdayaan Wanita Selangor bukan saja memberi kebaikan kepada wanita tetapi kepada seluruh masyarakat.
Proses dan fasa tersebut memerlukan perancangan dan implementasi dalam jangkamasa yang bersesuaian. Mekanisme perlaksanaannya ialah menerusi Pusat Wanita Berdaya. Adalah dijangkakan dengan peruntukkan sebanyak
RM30 juta Geran Selangorku, seramai 200,000 ribu wanita akan menikmati berbagai usaha memberdaya wanita Selangor. Pemberdayaan Wanita menekankan unsur bimbingan dan latihan, mentor-mentee, kesinambungan program, kebajikan kepada bekerja (welfare to workfare), kepekaan gender, dan keberhasilan yang boleh dikembangkan secara berdikari oleh wanita berdaya kepada wanita lain tanpa bantuan lanjut dari kerajaan Selangor.
Pemberdayaan Wanita Selangor akan memberikan lebih banyak pilihan dan variasi kepada semua golongan wanita selain dari bidang kebiasaan, asuhan kanak-kanak, masakan dan jahitan. Sebanyak tiga puluh lima (35) PWB akan dibuka tahun ini bagi melengkapkan bilangan kewujudannya di setiap DUN di negeri Selangor. Peruntukan permulaan sebanyak RM1,330,000 telah diserahkan kepada Jawatankuasa Tetap Hal Ehwal Wanita Negeri Selangor pada 6 Julai yang lalu.
Dua belas bidang fokus termasuklah ekonomi, kesihatan, keluarga, kerjaya dan pekerjaan, sukan dan rekreasi, pendidikan dan latihan, sosial, budaya dan agama, hak, keselamatan dan undang-undang, politik dan pembuatan keputusan, melonjak daya upaya wanita intelektual dan profesional, pengarus utamaan gender, teknologi, sains dan alam sekitar. Manakala dua belas golongan sasaran wanita ialah wanita bekerja dan sektor informal, suri rumah, wanita muda, remaja perempuan, wanita orang asal, wanita luar bandar dan ladang, wanita warga emas, ibu tunggal, wanita industri, wanita miskin, wanita migran, dan wanita OKU.
-
Adakah Kerajaan Negeri bersedia untuk menubuhkan Women Development Corporation supaya badan ini dapat menyediakan program pemberdayaan wanita melalui struktur organisasi yang jelas dan melibatkan golongan profesional?
Kerajaan negeri telah mewujudkan suatu struktur yang jelas, menggembling jaringan masyarakat dan jentera kerajaan negeri sedia ada serta penubuhan Majlis Permuafakatan Wanita Selangor (MPWS) yang melibatkan golongan aktivis, ahli-ahli politik, individu yang berkepakaran, ahli-ahli profesional, badanbadan bukan kerajaan dan sektor swasta. Ia dilihat sebagai struktur yang menjimatkan kos pengoperasian, dan berupaya mensosialisasi informasi, kegiatan dan usaha-usaha pemberdayaan wanita Selangor dengan baik dan berkesan.
Sekarang ini tiada keperluan dalam konteks untuk menubuhkan satu badan yang menguruskan pembangunan wanita walaupun Kerajaan Persekutuan di bawah Jabatan Pembangunan Wanita Negeri tidak memberi kerjasama dengan Kerajaan Negeri Selangor.
Walau bagaimanapun, tidak dinafikan isu pembangunan wanita amat penting dilaksanakan. Sebab itu, Kerajaan Negeri Selangor di bawah Jawatankuasa Tetap Hal Ehwal Wanita yang menitikberatkan program-program “pemberdayaan wanita” telah lengkap menyediakan pelan tindakan wanita untuk perlaksanaan melalui Pusat Wanita Berdaya di 56 lokasi DUN bagi memastikan program sosialisasi “pemberdayaan wanita” sampai ke akar umbi.