Mesyuarat Kedua Penggal Kelima Dewan Negeri Selangor Tahun 2012

9 Julai 2012 hingga 12 Julai 2012

172) SKIMSEL DAN MIMBAR

Tahun: 2012

Sesi: 2

Isu: Kebajikan

Adun: Y.B. Tuan Khasim Bin Abdul Aziz

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Apakah perancangan kerajaan bagi membantu rakyat untuk mereka yang bukan dari golongan peniaga?

    Kerajaan negeri kini mengamalkan dasar daripada Welfare kepada Workfare. Dasar ini terbuka kepada semua golongan masyarakat tidak hanya kepada golongan peniaga.  Dasar Workfare merupakan dasar yang membantu memastikan rakyat negeri  Selangor  mampu mendapatkan pendapatan melalui program-program yang dirangka kerajaan negeri.  Langkah ini diambil oleh kerajaan negeri bagi mengurangkan jurang kemiskinan dan meningkatkan pendapatan rakyat Selangor di samping memupuk semangat masyarakat agar terus berusaha untuk mengubah nasib mereka.  Ini selari dengan firman Allah didalam Al-Quran “sesungguhnya Allah tidak mengubah apa yang ada pada sesuatu kaum melainkan mereka mengubah apa yang ada pada mereka” (ArRad: 11).  Kerajaan Negeri sentiasa membantu rakyat Selangor dengan membuka peluang dan ruang bagi mereka mengubah taraf hidup mereka daripada berpendapatan rendah kepada berpendapatan lebih baik.  Antara program yang dirangka ialah Program Pinjaman Mikrokredit Miskin Bandar (MiMBAR Selangor).  Pinjaman ini bukan hanya terhad kepada golongan peniaga semata-mata namun dibuka kepada semua rakyat Selangor terutamanya golongan miskin atau berpendapatan rendah bagi memberi peluang kepada mereka menyertai program yang memberikan alternatif kepada mereka dengan bimbingan dan latihan untuk menjana pendapatan.

    MiMBAR Selangor telah merancang beberapa program juga bagi golongan bukan peniaga untuk meraih pendapatan lebih dengan menjalankan beberapa program.  Program yang dikenali sebagai Bantuan Kerja ini telah pun dilaksanakan pada peringkat awal penubuhan MiMBAR Selangor iaitu Pembantu Klinik, Data Entry dan Pekerja Hotel.  Sambutan pada peringkat awal adalah kurang memuaskan, namun program ini telah disusun semula dan mengambil kira faktor workfare yang ingin dilaksanakan oleh kerajaan negeri.  Oleh itu MiMBAR Selangor telah merangka program ini mengikut kesesuaian dan kehendak rakyat.  Program ini merupakan satu program berkumpulan untuk sama-sama menjana pendapatan mereka.  Antaranya adalah seperti:

    i. Pakej Pembersihan Karpet

    Pakej pembersihan karpet masjid yang mana setiap kumpulan akan dibekalkan dengan set mesin vakum.  Setiap kumpulan mempunyai seramai 2 hingga 3 orang khususnya ibu tunggal bagi setiap kumpulan akan bertanggungjawab membersihkan masjid menggunakan pakej yang disediakan. Segala bentuk bantuan teknikal dan latihan akan dipantau oleh pihak Mimbar Selangor dan pihak pembekal bagi memantapkan kemahiran kerja peserta supaya mutu serta kualiti kerja sentiasa berada di tahap prestasi maksimum. Peserta terpilih akan ditempatkan di Masjid pilihan yang telah dipersetujui bersama antara pihak Jabatan Agama Islam Selangor dengan MiMBAR Selangor. Program ini beroperasi mengikut masa luang peserta dan tidak terikat dengan waktu bekerja tetap. Bagi mencapai pendapatan mengikut anggaran yang dicadangkan oleh MiMBAR Selangor, mereka akan bergerak mengikut jadual kerja dan kuantiti kerja yang sepatutnya dilakukan setiap minggu.

    ii. Program Pembungkusan Semula Produk

    Program pembungkusan semula produk yang menyasarkan golongan ibu tunggal dan orang kurang upaya yang mempunyai kesukaran berniaga kerana tiada kesempatan atau kemampuan untuk keluar dari rumah untuk bekerja. Melalui projek ini, peserta projek akan membungkus semula jeruk ke dalam bungkusan-bungkusan 100 gram setiap satu, di mana peralatan menimbang dan plastik pembungkus akan disediakan oleh pihak MiMBAR Selangor.  Jeruk yang sudah dibungkus akan dihantar semula ke MiMBAR untuk dipasarkan kepada peserta-peserta yang berminat mendapatkan produk jeruk dalam bungkusan siap sedia.

    iii. Pakej Produk dalam Mikrokredit

    Bagi membantu peserta meningkatkan pendapatan tambahan disamping mempelbagaikan produk, MiMBAR Selangor mengambil inisiatif dengan menawarkan produk-produk bantuan niaga. Produk-produk yang telah dipakejkan mempunyai permintaan dan pasaran yang luas. Pakej yang ditawarkan adalah untuk memberi pendedahan secara langsung kepada peserta bagi menambah pendapatan yang mana tidak hanya bergantung kepada satusatu jenis pekerjaan atau perniagaan sahaja.  Tambahan pula peserta yang terpilih tidak akan dipaksa untuk mengambil pakej produk tersebut memandangkan dasar MiMBAR Selangor sentiasa memberi peluang kepada semua peserta berminat untuk mengambil kesempatan yang diberikan.  MiMBAR Selangor tidak mengamalkan syarat seperti program Multilevel Marketing (MLM) yang sedia ada.  Setiap pakej yang ditawarkan mempunyai nilai keuntungan yang berbeza.  Peserta akan diberikan taklimat tentang anggaran keuntungan setiap pakej dan produk bagi memudahkan perancangan peserta-peserta.  Pakej ini dianggarkan mempunyai nilai pulangan melebihi bantuan yang ditawarkan iaitu RM500 dan memperoleh keuntungan sehingga RM200.

    iv. Pakej Perkhidmatan Mesin Jualan Layan Diri (Vending Machine)

    Pakej Perkhidmatan Mesin Jualan Layan Diri (Vending Machine) ditawarkan kepada golongan yang berminat.  Peserta-peserta yang tidak berniaga tetapi mempunyai kemahiran menghasilkan produk makanan diberikan peluang untuk untuk menjual  produk-produk tersebut di setiap vending machine yang akan dikeluarkan di sekolah-sekolah asrama agama dan bangunan kerajaan. Keseluruhan program atau projek di bawah MiMBAR Selangor ini membantu kerajaan negeri Selangor mencapai polisi workfare iaitu berdikari untuk berpendapatan.

  2. Bagaimanakah langkah seterusnya untuk membantu peniaga-peniaga tersebut di dalam keadaan yang sentiasa berdaya saing ini?

    MiMBAR Selangor menyediakan ruang dan peluang kepada pesertapesertanya terutama dalam usaha mendidik mereka ke arah berilmu dan berdaya saing.  Peniaga-peniaga ini akan dipantau dengan diberikan latihan dan kursus khas berpandukan kepada keperluan pengetahuan dan kemahiran yang perlu ada pada mereka ini.  Mereka akan diajar berkaitan asas perniagaan, kursus kewangan, teknik pemasaran dan kemahiran-kemahiran tambahan lain bagi memantapkan lagi perniagaan masing-masing supaya di akhirnya nanti ianya dapat membantu mereka keluar dari tahap peniaga golongan industri kecil dan sederhana.  Selain daripada latihan dan kursus yang disediakan, Program Bantuan Niaga MiMBAR Selangor juga memberikan peluang kepada peniagapeniaga kecil menjana pendapatan sampingan isi rumah dengan mendapatkan untuk jualan yang tinggi melalui penawaran produk-produk yang mempunyai kualiti yang baik dan nilai yang setanding dengan pasaran sedia ada.  Produkproduk ini kini mempunyai permintaan yang tinggi kerana harganya yang jauh lebih murah.

Lampiran

Tiada Lampiran.