Mesyuarat Kedua Penggal Kelima Dewan Negeri Selangor Tahun 2012

9 Julai 2012 hingga 12 Julai 2012

167) PENDIDIKAN PERCUMA IPT DI NEGERI SELANGOR

Tahun: 2012

Sesi: 2

Isu: Pendidikan

Adun: Y.B. Tuan Yap Ee Wah

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Penasihat Ekonomi Kerajaan Negeri mencadangkan pendidikan percuma di IPT adakah cadangan ini munasabah?

    Pendidikan adalah keperluan asas dan sudah tentu menjadi tanggungjawab sesebuah kerajaan untuk memastikan semua rakyat diberi akses kepada pendidikan.

    Secara prinsipnya Kerajaan Negeri bersetuju untuk menyediakan pendidikan percuma di IPT, selari dengan manifesto Pakatan Rakyat berdasarkan beberapa prinsip dan kaedah yang telah dikenal pasti. Kerajaan Negeri Selangor boleh melaksanakan pendidikan percuma dengan syarat Kerajaan Negeri diberi peluang untuk menguruskan sendiri  hasil dan sumber Negeri. Ini kerana Negeri Selangor kini telah menyumbang pendapatan KDNK sebanyak 23% daripada jumlah pendapatan Kerajaan Persekutuan.

  2. Jika ya, kenapa dan mengapa Kerajaan Negeri tidak menyediakan pendidikan percuma di IPT yang dimiliki oleh kerajaan negeri Selangor?

    Kerajaan Negeri tidak menyediakan pendidikan percuma di IPT yang dimiliki oleh Kerajaan Negeri Selangor, adalah disebabkan oleh faktor berikut :

    1. Kerajaan Negeri kini fokus untuk menyelesaikan masalah yang sedia ada di IPT Selangor seperti masalah hutang yang dihadapi oleh pihak UNISEL,iaitu masalah “ hutang lapuk “ kos pembinaan bangunan UNISEL dan sebagainya.
    2. Masalah yuran pengajian di KUIS yang tinggi akibat daripada perjanjian pembinaan kolej kediaman yang berpihak kepada pihak pemaju dan membebankan pihak pentadbiran KUIS dan menyebabkan pihak pentadbiran terpaksa mengenakan kadar yuran pengajian yang tinggi kepada para pelajar.

    Kerajaan Negeri perlu fokus kepada penyelesaian permasalahan di atas, ini kerana jika masalah ini dapat diselesaikan dengan segera ia turut membantu Kerajaan Negeri Selangor untuk menyediakan Pendidikan percuma kepada IPT Selangor. Selain itu, usaha untuk menyediakan pendidikan percuma ini juga berkait rapat dengan soal pengurusan sumber dan hasil negeri, yang kini masih di dalam kawalan Kerajaan Pusat. Ini kerana ia memberi kesan kepada perolehan pendapatan Kerajaan Negeri yang tidak dapat dimanfaatkan secara terus oleh Kerajaan Negeri Selangor

  3. Adakah cadangan pendidikan percuma ini hanya merupakan retorik politik Penasihat Ekonomi Kerajaan Negeri sahaja?

    Jawatankuasa Mengkaji Soalan Dewan yang bermesyuarat pada 22 Jun 2012 telah menolak soalan ini.

Lampiran

Tiada Lampiran.