Mesyuarat Kedua Penggal Kelima Dewan Negeri Selangor Tahun 2012

9 Julai 2012 hingga 12 Julai 2012

156) LANTIKAN NAZIR DAN AJK

Tahun: 2012

Sesi: 2

Isu: Hal Ehwal Islam

Adun: Y.B. Tuan Dr Abdul Rani Bin Osman

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Sebelum Pilihanraya Umum ke 12 pada Mac 2008, bagaimanakah proses pemilihan atau pelantikan Nazir dan AJK masjid-masjid di jalankan di Negeri Selangor ?

    Proses pencalonan pegawai dan jawatankuasa masjid bagi sesi pelantikan 20062009 dan sesi-sesi sebelumnya dilaksanakan melalui pencalonan oleh Ketua Kampung atau JKKK dan sebelum tauliah pelantikan MAIS dikeluarkan, senarai nama pencalonan ini akan ditapis dan disemak semula melalui Mesyuarat Jawatankuasa Pemilihan Pegawai Masjid dan Jawatankuasa Kariah Daerah (JKPD) dan Mesyuarat Jawatankuasa Kariah MAIS.

  2. Selepas 2008, apakah peranan yang dimainkan oleh JAIS dalam pemilihan atau pelantikan Nazir dan AJK masjid di seluruh Negeri Selangor ?

    Di dalam meningkatkan kredibiliti dan kualiti program pengimarahan masjid, mulai sesi pelantikan tahun 2009-2012, JAIS mengesyorkan cadangan kepada Mesyuarat MAIS supaya mengambil pendekatan baru dengan memberikan ruang kepada ahli kariah melalui mesyuarat agung khas pencalonan bagi mengemukakan senarai calon-calon yg difikirkan layak dan sesuai untuk dilantik sebagai pegawai dan jawatankuasa masjid.

  3. Sejauh manakah peranan ADUN atau Penyelaras DUN dalam pemilihan atau lantikan Nazir dan AJK Masjid di Negeri Selangor ?

    ADUN dan Penyelaras Dun bagi kawasan ADUN bukan Islam berperanan sebagai Ahli Mesyuarat Jawatankuasa Pemilihan Pegawai Masjid dan Jawatankuasa Kariah Daerah (JKPD) serta berperanan bersama ahli mesyuarat menyemak, menapis dan memilih calon-calon yang difikirkan layak dan sesuai untuk dilantik sebagai Pegawai dan Jawatankuasa Masjid.

Lampiran

Tiada Lampiran.