Mesyuarat Kedua Penggal Kelima Dewan Negeri Selangor Tahun 2012

9 Julai 2012 hingga 12 Julai 2012

125) TERNAKAN SIPUT SEDUT

Tahun: 2012

Sesi: 2

Isu: Industri Asas Tani

Adun: Y.B. Dato' Mohd Shamsudin Bin Lias

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Apakah usaha-usaha Kerajaan Negeri Selangor untuk memastikan habitat siput sedut di dalam hutan bakau di kawasan persisiran pantai di Negeri Selangor sentiasa terpelihara dan tidak mengalami kepupusan?

    Kawasan hutan bakau BUKAN dalam bidang kuasa Jabatan Perikanan. Sehubungan dengan itu, tiada sebarang usaha ke arah pemuliharaan yang berkaitan siput sedut.

  2. Adakah Kerajaan Negeri membantu pengusaha-pengusaha penternak siput sedut tersebut? Jika ada berapakah jumlah peruntukan yang diluluskan dan bilangan pengusaha siput sedut tersebut yang dibantu?

    Siput Sedut boleh diperolehi secara semulajadi di kawasan paya bakau di seluruh Malaysia. Sumber siput sedut yang ada di pasaran adalah hasil dari kutipan di kawasan hutan bakau sama ada dalam negara mahupun luar negara. Setakat ini, tiada projek ternakan siput sedut secara kecil-kecilan mahupun komersial yang dilaksanakan. Semuanya bergantung kepada sumber semulajadi.

    Memandangkan potensinya yang baik dalam pasaran, pada akhir tahun 2009, Jabatan Perikanan Negeri Selangor telah memulakan inisiatif untuk melihat potensi ternakan siput sedut dengan melaksanakan Projek Percubaan Ternakan Siput Sedut. Projek ini dilaksanakan di tiga tempat (Sungai Yu, Tanjung Karang, Tok Muda, Klang dan Pulau Carey, Kuala Langat) dan ia diusahakan oleh tiga (3) individu yang berminat. Sebanyak RM30,021 telah dibelanjakan bagi merealisasikan projek ini. Pada tahun 2010, projek ini diteruskan dengan kos tambahan sebanyak RM11,800 dan satu kajian khas berkaitan biologi telah dijalankan oleh pegawai penyelidik Jabatan. Pada tahun 2011, Projek Percubaan Ternakan Siput Sedut ditamatkan atas dasar projek tidak berdaya saing, memandangkan harga pasaran antara RM6.00-RM8.00/kg berbanding kitaran hidup siput sedut yang panjang bagi tujuan ternakan (anggaran tempoh: setahun bagi mencapai peringkat dewasa).

Lampiran

Tiada Lampiran.