Mesyuarat Kedua Penggal Kelima Dewan Negeri Selangor Tahun 2012

9 Julai 2012 hingga 12 Julai 2012

116) PENGUMPULAN AIR HUJAN

Tahun: 2012

Sesi: 2

Isu: Infrastruktur & Kemudahan Awam

Adun: Y.B. Tuan Haji Saari Bin Sungib

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Apakah Kerajaan Negeri merancang untuk menggalakkan orang ramai menjalankan program pengumpulan air hujan secara domestik?

    Kerajaan Negeri amat menggalakkan orang ramai menjalankan program pengumpulan air hujan secara domestik. Melalui Lembaga Urus Air Selangor, pengumpulan air hujan ini akan dilaksanakan di 3 buah komuniti yang pertama pada tahun 2013 mengikut perancangan di dalam Pelan Strategik Lembaga Urus Air Selangor 2012-2016. 3 buah komuniti ini serta kawasan pelaksanaannya akan dikenalpasti berdasarkan reka bentuk sistem pengumpulan air hujan yang sedang dihasilkan supaya bersesuaian dengan struktur bangunan dimana ianya akan digunakan.

  2. Apakah langkah-langkah promosi dan insentif yang dirancang oleh Kerajaan Negeri bagi menggalakkan orang ramai melaksanakan projek ini?

    Antara langkah promosi dan insentif yang dijalankan oleh Lembaga Urus Air Selangor bersama Pejabat YB. Elizabeth Wong adalah dengan mengadakan Pertandingan Inovasi Sistem Penuaian Air Hujan Negeri Selangor 2012 bagi menggalakkan penglibatan orang awam, pelajar dan juga sektor swasta di dalam usaha mengitar semula air hujan. Pertandingan ini telah dijalankan pada bulan Mac dan April 2012.

    Sejumlah peserta daripada Institut Pengajian Tinggi Awam dan Swasta serta syarikat-syarikat jurutera perunding dijemput untuk menyertai pertandingan ini dengan menghasilkan inovasi sistem penuaian air hujan yang kreatif, ekonomi dan praktikal. Insentif berbentuk hadiah wang tunai diberikan kepada peserta yang menghasilkan reka bentuk yang memenuhi kriteria-kriteria tersebut. Hasil daripada laporan dan reka bentuk sistem yang dipilih ini, ianya akan dijadikan reka bentuk rujukan dan boleh digunakan bagi pelaksanaan pengumpulan air hujan di Negeri Selangor.

  3. Apakah Kerajaan Negeri mempunyai rancangan untuk mewujudkan Òpilot projectÓ pengumpulan air hujan secara domestik?

    Kerajaan Negeri melalui Lembaga Urus Air Selangor telah meluluskan pemasangan Sistem Penuaian Air Hujan (SPAH) di dua pusat komuniti sebagai Pilot Project iaitu di :

    1. Komuniti Al-Husna, Seksyen 20 Shah Alam (dalam pembinaan).
    2. Komuniti Al-Bakri Bukit Naga, Seksyen 31 Shah Alam (penghasilan rekabentuk)

    Air hujan yang dikumpulkan akan digunakan untuk tujuan pencucian lantai, penyiraman tanaman dan untuk air siraman tandas (flushing).  Komuniti akan mendapat faedah penjimatan penggunaan air terawat dari bekalan paip Syabas selain mengurangkan kos bil air terawat.

Lampiran

Tiada Lampiran.