Mesyuarat Kedua Penggal Kelima Dewan Negeri Selangor Tahun 2012

9 Julai 2012 hingga 12 Julai 2012

47) KES MALARIA DAN DENGGI

Tahun: 2012

Sesi: 2

Isu: Kesihatan

Adun: Y.B. Tuan Dr Shafie Bin Abu Bakar

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Apakah faktor yang menyebabkan kawasan Hulu Langat mempunyai kes malaria tertinggi seperti laporan dari Pejabat Kesihatan Hulu Langat?

    Sehingga 23 Jun 2012, daerah Hulu Langat telah mencatatkan sejumlah 74 kes malaria. Kebanyakan daripada kes malaria ini berlaku di kalangan pekerja asing yang membawa kuman malaria daripada negara asal mereka dan mencetuskan wabak tempatan apabila nyamuk Anopheles tempatan mengigit pesakit ini.

    Langkah pencegahan malaria jangka masa panjang di daerah ini termasuk mendapat kerjasama daripada majikan tempatan untuk memastikan semua pekerja asing disaring untuk penyakit malaria sebelum memulakan kerja di tempat mereka. Pejabat Kesihatan Daerah Hulu Langat turut menjalankan pemeriksaan darah setiap minggu ke atas pekerja asing yang mengalami demam di kawasan-kawasan berisiko ini.

  2. Bagaimanakah kedudukan Hulu Langat dari keseluruhan kes denggi di Selangor?

    Sehingga 23 Jun 2012, daerah Hulu Langat telah mencatatkan sejumlah 1,186 kes denggi (dengan 2 kematian). Ini merupakan 23% daripada jumlah kes denggi yang dilaporkan di negeri Selangor (5,249 kes denggi) untuk tempoh yang sama pada tahun ini. Tetapi apabila dibandingkan dengan tempoh yang sama untuk tahun 2011, terdapat peningkatan 20% dalam kes denggi yand didaftarkan (988 kes denggi pada tahun 2011) dan kematian (1 kes) di daerah Hulu Langat .

  3. Apakah langkah-langkah pencegahan yang diambil?

    Di antara langkah pencegahan yang penting ialah meningkatkan tahap kebersihan alam sekeliling di daerah Hulu Langat yang masih pada tahap yang tidak memuaskan dan merupakan faktor yang penting dalam penularan demam denggi di daerah ini.

    Antara langkah-langkah yang disyorkan termasuk menggalakkan sikap komuniti untuk membuang sampah dengan teratur, sistem pelupusan sampah domestik/ kebun/ sampah pukal yang efektif, menyediakan tong-tong sampah yang mencukupi di tempat-tempat awam dan tempat tumpuan orang ramai.

    Selain itu, penubuhan skuad denggi dan pasukan COMBI (‘Communication For Behavioral Impact’)  dikalangan persatuan penduduk, agensi kerajaan, agensi swasta dan pertubuhan bukan kerajaan terus digalakkan. Konsep yang diamalkan kini untuk mencegah  jangkitan denggi ialah ‘Kebersihan Setiap Hari (“Everyday Cleanliness”) dan bukan hanya menjalankan aktiviti pembersihan apabila kes atau wabak denggi berlaku.

Lampiran

Tiada Lampiran.