Mesyuarat Kedua Penggal Kelima Dewan Negeri Selangor Tahun 2012

9 Julai 2012 hingga 12 Julai 2012

23) CADANGAN TAPAK PERKUBURAN BERSEPADU DI DAERAH SEPANG

Tahun: 2012

Sesi: 2

Isu: Tanah & Sumber Alam

Adun: Y.B. Tuan Yap Ee Wah

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Kenapa dua bidang tanah di Daerah Sepang dicadangkan oleh Kerajaan Negeri untuk tapak perkuburan bersepadu?

    Tapak perkuburan adalah salah satu kemudahan asas yang penting disediakan seiring dengan penyediaan kemudahan asas lain di dalam sebarang perancangan pembangunan. Keperluan tapak perkuburan di sesuatu negeri semakin meningkat dengan kadar perbandaran yang pesat dan peningkatan penduduk yang tinggi. Negeri Selangor yang mengalami kadar perbandaran yang pesat dan pertumbuhan penduduk yang tinggi juga mengalami isu penawaran tapak perkuburan yang terhad.

    Oleh yang demikian, perancangan kepada penyediaan tapak perkuburan perlu diberi perhatian sejajar dengan hasrat Kerajaan Negeri Selangor untuk menjadi sebuah negeri idaman, maju, sejahtera dan berkebajikan. Selain penawaran tapak-tapak perkuburan semasa, keperluan kepada tapak-tapak baru perlu dikenalpasti untuk menampung keperluan pertambahan penduduk di masa hadapan. Untuk tujuan ini, pendekatan baru di dalam perancangan tapak perkuburan seperti Konsep Perkuburan Wilayah Bersepadu akan dilaksanakan bagi memastikan tapak perkuburan dapat disediakan selaras dengan tahap pembangunan dan keperluan penduduk Selangor di masa akan datang khususnya bagi PBT-PBT yang berjiran dan kekurangan tanah.

    Konsep perkuburan wilayah bersepadu dicadangkan untuk dilaksanakan di Negeri Selangor mengikut lokasi dan wilayah-wilayah kedudukan PBT. Bagi setiap zon wilayah, beberapa tapak perkuburan wilayah bersepadu perlu dikenal pasti mengikut kewujudan tapak, kadar kemudahsampaian dan kemudahan aksesibiliti yang dicadang dikongsi bersama antara PBT yang berhampiran bagi memenuhi keperluan penduduk setempat dan PBT berjiran.

    Sebagai langkah awal, dua tapak perkuburan dicadangkan di Daerah Sepang dengan keluasan sejumlah 202 hektar (500 ekar) telah dikenal pasti berpotensi untuk dibangunkan sebagai tapak perkuburan wilayah bersepadu di Negeri Selangor. Ini sebagai perkongsian antara keperluan Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ), Majlis Perbandaran Sepang (MPSp) dan Majlis Daerah Kuala Langat (MDKL).

    Dari segi gunatanah semasa, kedua-dua tapak tersebut adalah tapak pertanian. Manakala bagi zon gunatanah mengikut Rancangan Tempatan MPSp

    (Pengubahan 1), tapak tersebut telah dizonkan  sebagai perkuburan.

    Dengan dua (2) tapak baru yang dicadangkan sebagai perkuburan wilayah bersepadu di Majlis Perbandaran Sepang (MPSp) itu, ianya berupaya untuk menampung keperluan bagi tapak perkuburan di MBPJ, MPSJ dan MDKL sehingga tahun 2048.

    Perkongsian kegunaan tapak-tapak cadangan antara PBT-PBT tersebut telah diambilkira berdasarkan kepada lokasi dan kawasan tadahan yang sesuai diliputi untuk PBT-PBT berjiran.

    Untuk tujuan itu, kawasan tadahan (catchment areas) bagi setiap tapak perkuburan yang dicadangkan adalah bersesuaian dengan anggaran kira-kira 45 minit perjalanan atau jarak lingkungan radius 30 km dengan menggunakan rangkaian jalan raya atau lebuh raya.

    Kedua-dua tapak di Sepang ini sebagai Perkuburan Wilayah Bersepadu (PWB) telah diluluskan di dalam Mesyuarat MMKN ke 24/2011 pada 6 Julai 2011.

  2. Kenapa Daerah Sepang dipilih sebagai tapak perkuburan bersepadu untuk penduduk Selangor Selatan dan Wilayah Persekutuan ?

    Sama seperti SUB(a)

  3. Apakah perkembangan semasa cadangan tapak perkuburan ini?

    Sebagai proses makluman umum dan perundingan, beberapa sesi taklimat telah diadakan yang meliputi pelbagai pihak, iaitu:

    1. Taklimat Keperluan Tapak Perkuburan kepada ADUN, Ahli Parlimen, Orang Besar Daerah, Pihak Berkuasa Tempatan, Pejabat Tanah dan Daerah (PTD) dan Jabatan-Jabatan Teknikal pada 16 Ogos 2011,
    2. Taklimat Keperluan Tapak Perkuburan kepada Penganut Kristian kawasan Wilayah Persekutuan dan Kuala Langat, dan Gabungan Persatuan Kubur Cina Wilayah Persekutuan dan Selangor pada 5 April 2012, dan
    3. Majlis Dialog bersama penduduk Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) – Kawasan Bukit Gasing pada 5 Jun 2012.

    Pada masa sama, siri perbincangan bersama Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN), Pejabat Tanah dan Galian (PTG), Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), Jabatan Perancangan Bandar dan Desa Negeri Selangor (JPBD) dan Pejabat Tanah dan Daerah (PTD) untuk memperincikan perancangan dalam meneruskan proses perolehan tanah bagi tapak perkuburan wilayah bersepadu (PWB) tersebut akan diadakan

Lampiran

Tiada Lampiran.