Mesyuarat Kedua Penggal Kelima Dewan Negeri Selangor Tahun 2012
9 Julai 2012 hingga 12 Julai 2012
16) KECURIAN PASIR
Tahun: 2012
Sesi: 2
Isu: Tanah & Sumber Alam
Adun: Y.B. Tuan Wong Koon Mun
Kategori: Mulut
Sub Soalan
-
Adakah kerajaan negeri mengakui terdapat kelemahan aspek penguatkuasaan bagi mengawal industri ini?
Pihak Berkuasa Negeri sentiasa melaksanakan tindakan penguatkuasaan bagi mengawal industri pasir di Negeri Selangor. Ini bertujuan bagi memastikan aktiviti pengeluaran pasir ini dijalankan secara sah dan efisien. Pada tahun 2012, sehingga bulan Jun sebanyak 358 operasi penguatkuasaan oleh Pejabat Tanah dan Galian Selangor serta Pejabat Tanah Daerah telah dijalankan dan sebanyak 51 dilakukan ke atas jentera dan lori serta perampasan tanah juga telah dilakukan ke atas tanah-tanah berimilik yang terlibat dengan aktiviti pencurian pasir ini.
Sehingga tahun 2012, bilangan tindakan siasatan dan pengenaan kompaun adalah berjumlah 102 kes. Sebanyak 55 kes sedang dalam tindakan manakala baki sebanyak 47 kes telah berjaya diselesaikan. Kerajaan Negeri juga memandang serius aktiviti kecurian pasir ini dan berusaha membanterasnya dengan penuh komited. Jumlah kompaun yang dikutip bermula tahun 2008 hingga Jun 2012 adalah berjumlah RM1,271,751.00.
Tindakan penguatkuasaan seperti Ops Statik dan rondaan berkala juga dilakukan di kawasan yang berpotensi berlakunya kecurian pasir. Ini bagi memastikan tiada ketirisan hasil berlaku. Hasil kutipan royalti yang diterima oleh Pihak Berkuasa Negeri bagi tahun 2012 (sehingga Jun) adalah berjumlah RM4,953,582.67.
Pihak Berkuasa Negeri melalui Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Ke 20/2012 yang diadakan pada 30 Mei 2012 telah meluluskan cadangan mewujudkan lima (5) jawatan kontrak iaitu jawatan Pegawai Perancang Bandar dan Desa, Pegawai Undang-Undang, Pegawai Penilaian, Juruukur Bahan dan Penolong Pegawai Tanah di Pejabat Tanah Dan Galian Selangor bagi tujuan pemantauan dan pengawalan tanah kerajaan.
-
Apakah faktor-faktor menyebabkan ia masih berlaku dan bagaimanakah mekanisme efektif untuk membanteras masalah ini?
Antara faktor-faktor yang menyumbang kepada masalah kecurian pasir adalah disebabkan oleh permintaan yang tinggi daripada pengguna yang terlibat di dalam sektor pembinaan serta harga yang ditawarkan tinggi berbanding bekalan yang diterima dari luar Negeri Selangor. Bagi mengatasi masalah aktiviti pengeluaran pasir secara tidak sah berleluasa, Pejabat Tanah dan Galian Selangor serta Pejabat Tanah Daerah menjalankan pemantauan dan operasi bersepadu bersama jabatan-jabatan teknikal seperti Jabatan Mineral dan Geosains, Jabatan Alam Sekitar, Jabatan Pengairan dan Saliran, Lembaga Urus Air Selangor, RELA dan lain-lain jabatan yang berkaitan. Pejabat Tanah Daerah juga menjalankan. Selain itu, dengan pembukaan lombong-lombong baru pada masa akan datang dijangka penawaran bekalan adalah mencukupi untuk kegunaan domestik.
Di dalam membanteras kegiatan aktiviti pengeluaran pasir secara tidak sah di Negeri Selangor, Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) ke 21/2010 yang diadakan pada 16 Jun 2010 telah bersetuju agar ganjaran sehingga RM5,000.00 diberikan kepada mana-mana individu atau pasukan yang berjaya merampas barang/jentera yang terlibat dengan aktiviti pengeluaran pasir secara tidak sah.
Selain itu, bagi memastikan aktiviti ini tidak tidak berleluasa, Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) ke 38/2010 yang diadakan pada 20 Oktober 2010 telah memutuskan supaya ganjaran sebanyak RM5,000.00 hingga RM20,000.00 diberikan kepada Pejabat Tanah Daerah yang melakukan tindakan perampasan tanah untuk pelanggaran syarat di bawah Seksyen 128 KTN 1965 bagi tanah berimilik yang terlibat dengan aktiviti pengeluaran pasir secara tidak sah. Dengan adanya insentif ini, ianya dapat membantu di dalam tindakan penguatkuasaan dan seterusnya membanteras kegiatan ini berleluasa.
-
Apakah kerajaan negeri mengutamakan keuntungan semata-mata berbanding penguatkuasaan?
Kerajaan Negeri tidak hanya mengutamakan keuntungan semata-mata dan percaya industri pasir ini perlu ditadbir urus dengan lebih sistematik dengan penubuhan Kumpulan Semesta Sdn. Bhd. Ini bagi memastikan hasil pendapatannya dinikmati oleh semua rakyat Negeri Selangor melalui program ‘Merakyatkan Ekonomi Selangor’. Justeru itu, tindakan penguatkuasaan juga perlulah seiring bagi memastikan Kerajaan Negeri tidak mengalami kerugian akibat daripada aktiviti pengeluaran pasir secara tidak sah.