Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Dewan Negeri Selangor Tahun 2011
28 Mac hingga 31 Mac 2011 dan 01 April 2011
62) PELABURAN ASING
Tahun: 2011
Sesi: 1
Isu: Pelaburan
Adun: Y.B. Tuan Lee Kim Sin
Kategori: Bertulis
Sub Soalan
-
Apakah usaha dan hasil kerajaan dalam menggalakkan pelaburan asing dalam industri teknologi hijau dalam tahun 2010?
- Kerajaan Negeri Selangor menyedari akan kebaikan teknologi hijau yang mesra alam dan menggunakan karbon pada tahap yang rendah. Kerajaan Negeri berpendapat bahawa pengenalan kepada polisi pembangunan berterusan yang merangkumi pengurangan atau pencegahan serta adaptasi perlu
Pada masa ini, Kerajaan Negeri Selangor dalam usaha penggalakan ke arah industri yang lebih mesra alam melalui sektor industri bio-teknologi dan sektor industri teknologi hijau. Kerajaan Negeri percaya aktiviti perindustrian yang berteraskan teknologi hijau mampu bersaing di dunia pembuatan dan perindustrian.
Kerajaan Negeri tidak meletakkan zon khas kepada mana-mana industri yang berasaskan teknologi hijau. Walau bagaimanapun, sebagai satu langkah permulaan, Kerajaan Negeri akan memfokuskan kawasan perindustrian di Selangor Science Park 2 (SSP2) di Sepang sebagai perintis dalam menggalakkan pelaburan sektor perindustrian yang berasaskan teknologi hijau. Kerajaan Negeri percaya, usaha ini akan terus digarap dari masa ke masa agar sektor industri hijau berkembang di negeri ini.
Pada tahun 2010, Kerajaan Negeri Selangor melalui SSIC Berhad dan Jabatan Alam Sekitar Negeri Selangor telah menganjurkan “Seminar on Green Economy”. Objektif utama penganjuran seminar ini adalah untuk memberikan pendedahan kepada para pelabur domestik dan asing mengenai cabaran, potensi dan masa depan industri teknologi hijau. Langkah ini dapat mempromosikan kepada para pelabur bahawa Kerajaan Negeri amat menggalakkan perkembangan industri teknologi hijau di negeri Selangor.
-
Apakah usaha dan insentif daripada kerajaan dalam pembekalan sumber manusia berprofesional dalam penarikan pelaburan asing?
- Dalam pembekalan sumber manusia berprofesional, pihak Kerajaan Negeri melalui SSIC Berhad sentiasa bekerjasama dengan institusi-institusi pengajian tinggi di Selangor dengan menyalurkan maklumat-maklumat keperluan bidang-bidang terkini yang memerlukan tenaga kerja
Ini kerana dengan melahirkan lebih ramai tenaga manusia profesional akan dapat meyakinkan para pelabur asing untuk memilih Selangor sebagai destinasi pelaburan utama mereka.
-
Apakah kemudahan infrastruktur dan kewangan yang disediakan untuk menggalakkan pelaburan asing?
- Kemudahan Infrastruktur
Dalam menggalakkan pelaburan asing, Kerajaan Negeri melalui Pihak Berkuasa Tempatan sentiasa mengambil berat dan prihatin dalam menyelenggara dan menaik taraf kemudahan infrastruktur di kawasan-kawasan perindustrian di seluruh negeri Selangor.
Kemudahan Kewangan
Bagi kebiasaannya kemudahan kewangan seperti “soft loan” adalah dikhaskan kepada pelabur domestik, manakala pelabur asing adalah digalakkan membawa masuk sumber kewangan mereka sendiri dan sekali gus ianya akan menjana ekonomi negeri dan negara.
Sekiranya syarikat asing memerlukan pinjaman kewangan bagi membiayai projek pelaburan, mereka boleh memohon terus daripada bank-bank tempatan dan asing dan ianya tertakluk kepada peraturan dan syarat-syarat kelayakan pembiayaan.