Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Dewan Negeri Selangor Tahun 2011
28 Mac hingga 31 Mac 2011 dan 01 April 2011
25) CUKAI TAKSIRAN TAHUNAN PBT
Tahun: 2011
Sesi: 1
Isu: Kerajaan Tempatan
Adun: Y.B. Tuan Yap Ee Wah
Kategori: Bertulis
Sub Soalan
-
Terdapat ramai penghuni dan pemilik hartanah merungut kerana Cukai Taksiran Tahunan hartanah mereka dinaikkan. Adakah ini benar? Jika tidak, kenapa banyak sungutan?
Untuk makluman Yang Berhormat, sehingga kini tiada sebarang kenaikan kadar cukai taksiran telah diluluskan oleh Pihak Berkuasa Negeri. Namun begitu, berdasarkan seksyen 144 Akta Kerajaan Tempatan 1976, Pindaan Senarai Nilaian perlu dilakukan bagi menguatkuasakan cukai taksiran yang merangkumi bangunan yang baru sahaja diluluskan Sijil Kelayakan Menduduki, tanah-tanah kosong yang telah diluluskan penukaran syarat guna tanah dan bangunan-bangunan yang telah terlibat dengan pengubahsuaian. Rungutan oleh pemilik hartanah bahawa terdapat kenaikan cukai ini mungkin adalah disebabkan oleh faktor-faktor seperti yang dinyatakan di dalam seksyen 144 Akta Kerajaan Tempatan
-
Adakah kenaikan cukai taksiran tahunan merupakan salah satu cara bagi kerajaan negeri untuk meningkatkan hasil pendapatan tahunan walaupun ia agak membebankan para pemilik?
Tidak dinafikan bahawa cukai taksiran merupakan hasil utama bagi Pihak Berkuasa Tempatan, namun begitu, PBT tidak boleh dengan sewenang-wenangnya menaikkan kadar cukai taksiran tahunan tanpa mendapatkan kelulusan daripada Pihak Berkuasa Negeri terlebih dahulu. PBT boleh berikhtiar untuk mendapatkan hasil daripada sumber- sumber lain sebagai sokongan bagi menambah pendapatan
-
Adakah Kerajaan Negeri bersimpati dengan beban yang dihadapi oleh pemilik hartanah pada masa kemelesetan ekonomi dan bercadang menurunkan kadar cukai taksiran tahunan?
Kerajaan Negeri sememangnya mengambil berat dan bersimpati dengan beban yang dihadapi oleh pemilik hartanah pada masa kemelesetan ekonomi yang berlaku sekarang. Oleh itu, Kerajaan Negeri telah mengarahkan semua PBT menjalankan kerja- kerja penilaian semula bagi mengenal pasti nilai hartanah-hartanah di Negeri Selangor yang terkini. Namun, di dalam arahan tersebut, Kerajaan Negeri tidak langsung berhasrat untuk menaikkan kadar cukai