Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Dewan Negeri Selangor Tahun 2011
28 Mac hingga 31 Mac 2011 dan 01 April 2011
80) RUMAH MAMPU MILIK (AFFORDABLE QUALITY HOUSING)
Tahun: 2011
Sesi: 1
Isu: Perumahan
Adun: Y.B. Puan Haniza Binti Mohamed Talha
Kategori: Mulut
Sub Soalan
-
Apakah usaha kerajaan ke arah setiap warga Selangor memiliki rumah termasuk orang bujang?
- Untuk makluman Yang Berhormat, Kerajaan Negeri sentiasa komited dalam menyediakan keperluan kediaman kepada semua golongan masyarakat di Negeri Selangor. Ini termasuklah penyediaan perumahan untuk generasi muda termasuk golongan bujang. Bagi tujuan tersebut, Kerajaan Negeri melalui Dasar Pembangunan Tanah telah menetapkan sebarang pembangunan tanah yang melebihi 10 ekar dalam kawasan Lembah Klang akan dikenakan syarat pembinaan 20% Rumah Kos Rendah, 20% Rumah Kos Sederhana Rendah dan 10% Rumah Kos Sederhana manakala kawasan di Luar Lembah Klang pula akan dikenakan syarat pembinaan 20% Rumah Kos Rendah, 10% Rumah Kos Sederhana Rendah dan 10% Rumah Kos Sederhana. Manakala bagi pembangunan yang kurang daripada 10 ekar (2 hingga kurang 10 ekar) pula, syarat penyediaan 30% rumah kos sederhana akan dikenakan bagi kawasan dalam Lembah Klang. Melalui dasar tersebut ia secara tidak langsung bukan sahaja membantu Kerajaan Negeri dalam menyediakan keperluan perumahan untuk golongan berpendapatan rendah dan sederhana tetapi juga bagi golongan belia. Ini kerana berdasarkan kepada pemerhatian mendapati kebanyakan ekonomi golongan belia khususnya eksekutif muda masih kurang stabil. Purata pendapatan golongan ini adalah di antara RM1,500.00 sehingga RM4,000.00. Pengenalan dasar ini akan dapat memberi peluang kepada mereka memiliki hartanah mampu milik sebelum berkemampuan memiliki perumahan harga tinggi pada masa
Selain daripada itu, bermula tahun 2010 Kerajaan Negeri juga mengambil langkah proaktif dengan memperkenalkan reka bentuk baru rumah mampu milik (affordable home) yang lebih mampan dan kondusif sebagai salah satu pilihan kepada pemaju bagi memastikan menyediakan rumah mampu milik tetap diteruskan. Untuk itu, konsep reka bentuk dan perancangan baru rumah mampu milik tersebut perlu menekan ciri-ciri berikut:
- Reka bentuk rumah mampu milik yang lebih terkini;
- Mengintegrasikan rumah mampu milik dengan rumah-rumah yang lain;
- Mempelbagaikan jenis rumah mengandungi rumah satu bilik, rumah 2 balik dan seterusnya dalam satu blok bangunan;
- Mengambil kira aspek kemapanan dari segi bahan binaannya dan persekitarannya;
- Mampu memberi keselesaan dari segi saiz rumah (saiz minimum 750 kaki persegi);
- Penyediaan kemudahan asas dan awam yang mencukupi seperti kawasan riadah, surau dan sebagainya;
- Menerapkan konsep kejiranan yang baik;
- Kos penyelenggaraan yang murah; dan
- Harga jualan yang dicadangkan hendaklah rendah iaitu tidak melebihi RM100,000.00
- Perolehan keuntungan kepada pemaju tidak melebihi 10%.