Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Dewan Negeri Selangor Tahun 2011
28 Mac hingga 31 Mac 2011 dan 01 April 2011
65) PROJEK USAHA SAMA ANTARA KERAJAAN NEGERI DAN SEKTOR SWASTA
Tahun: 2011
Sesi: 1
Isu: Pentadbiran
Adun: Y.B. Puan Gan Pei Nei
Kategori: Mulut
Sub Soalan
-
Senaraikan jenis projek dan jumlah nilai projek usaha sama antara Kerajaan Negeri Selangor dan sektor swasta daripada tahun 2007-2011?
- Kerajaan Negeri Selangor sangat menggalakkan usaha sama dengan pihak swasta sama ada Kerajaan Negeri Selangor dan anak syarikat Kerajaan Negeri Dalam tempoh tahun 2007 hingga 2011, terdapat sebanyak 26 jenis projek telah dilaksanakan secara usaha sama Kerajaan Negeri Selangor dan anak syarikat bersama pihak swasta yang di anggarkan bernilai Ringgit Malaysia : Satu Bilion Empat Ratus Lima Puluh Empat Juta Lima Ratus Tujuh Empat Ratus Ribu Dua Ratus Sembilan Puluh Dan Empat Puluh Enam Sen (RM1,454,574,290.46). Projek-projek ini melibatkan pembangunan hartanah, perumahan, perniagaan, penyelenggaraan, perlombongan, bahan batuan/mineral, penyewaan dan pertanian yang melibatkan Kerajaan Negeri dan anak-anak syarikat Kerajaan Negeri merangkumi Permodalan Negeri Selangor Berhad (PNSB), Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS), Kumpulan Darul Ehsan Berhad (KDEB)/Kumpulan Peransang Selangor Berhad (KPSB), Yayasan Selangor (YS) dan Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) .
-
Apakah dasar yang digunakan oleh kerajaan negeri bagi menyediakan pasaran yang kompetitif bagi menggalakkan penglibatan sektor swasta dalam pembangunan Negeri Selangor?
- Kerajaan Negeri Selangor sentiasa menggalakkan penyertaan syarikat-syarikat swasta dalam semua sektor pembangunan termasuk pembangunan hartanah di Negeri Selangor. Kerajaan Negeri Selangor menetapkan bahawa sebarang kerjasama mestilah memberi keuntungan dan faedah terbaik kepada kedua-dua belah pihak yang terlibat iaitu Kerajaan Negeri Selangor dan anak syarikat yang mengadakan projek usaha sama dengan pihak swasta. Bagi setiap cadangan pembangunan projek-projek usaha sama akan dinilai berdasarkan daya maju syarikat, perolehan kepada Kerajaan Negeri dan keuntungan yang boleh dinikmati oleh rakyat. Di samping itu, Kerajaan Negeri juga melaksanakan cadangan pembangunan dan pelupusan tanah kerajaan secara tender.