Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Dewan Negeri Selangor Tahun 2011

28 Mac hingga 31 Mac 2011 dan 01 April 2011

34) INDUSTRI PADI

Tahun: 2011

Sesi: 1

Isu: Industri Asas Tani

Adun: Y.B. Dato' Warno Bin Dogol

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Peningkatan hasil padi dan pendapatan pesawah adalah salah satu kandungan Pakej Rangsangan Ekonomi Selangor. Apakah sumbangan kerajaan negeri yang signifikan dalam meningkatkan hasil padi negeri?

    Sumbangan kerajaan negeri adalah melalui Program Meningkatkan Hasil Padi Negeri Selangor di mana melalui program ini Kerajaan negeri telah memperuntukkan sebanyak RM3,013,302.00 pada tahun 2009, RM4,930,000.00pada tahun 2010 dan RM3,050,000 pada 2011 bagi projek meningkatkan hasil padi di bawah pakej rangsangan ekonomi Negeri

     

    Program Meningkatkan Hasil Padi Negeri Selangor menetapkan matlamat peningkatan hasil ke tahap 7.5 tan sehektar menjelang tahun 2012 melalui pembangunan sumber manusia, kecekapan pengurusan air dan pemindahan teknologi. Keluasan padi yang terlibat berjumlah 18,355 hektar (ha) dan melibatkan 9,332 orang petani. Pendekatan pelaksanaan akan  dibuat berperingkat mengikut fasa dalam tempoh 5 tahun (2009 -2013).

     

    Matlamat ditetapkan ialah:

    • Projek perintis akan menjadi kawasan rujukan bagi para pegawai dan petani dalam usaha mempertingkatkan pengeluaran padi dari 5.1 tan/ha/musim kepada 7.5 tan/ha/musim menjelang tahun 2012
    • Mempertingkatkan purata pendapatan pesawah kepada RM1500/bulan

     

  2. Berapakah bilangan pesawah yang telah berjaya meningkatkan pendapatan mereka berbanding sebelum ini?

    Melalui Program meningkatkan hasil padi, matlamat utama adalah untuk mencapai purata pendapatan bersih pesawah sebanyak RM1500/bulan/hektar. Pada musim 2/2009, didapati peratusan bilangan petani yang mendapat antara RM1000-1500/bulan/ha adalah  55%  dan  pendapatan  melebihi RM1500/bulan/ha adalah 16%. Seramai 2408 orang pesawah yang terlibat  dengan Program Meningkatkan Hasil Padi Musim 2/2009.

     

    Pada Musim 1/2010, dari 1749 petani yang terlibat dengan projek meningkatkan hasil musim ini, didapati peratusan bilangan petani yang mendapat pendapatan antara RM1000-1500/bulan/ha adalah 43% dan pendapatan melebihi RM1500/bulan/ha adalah 6%.

     

Lampiran

Tiada Lampiran.