Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Dewan Negeri Selangor Tahun 2011

28 Mac hingga 31 Mac 2011 dan 01 April 2011

29) ISU POLIS BANTUAN

Tahun: 2011

Sesi: 1

Isu: Kerajaan Tempatan

Adun: Y.B. Tuan Nik Nazmi Bin Nik Ahmad

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Adakah Kerajaan negeri fikir bahawa idea pelaksanaan polis bantuan yang ditolak kerajaan pusat sebagai pandangan yang relevan dalam membasmi jenayah?

    Cadangan membentuk polis bantuan mula diajukan kepada Kerajaan Pusat pada 04 Disember 2009 melalui Majlis Bandar raya Petaling Jaya. Selaku bandar raya pertama di Malaysia yang memenuhi 23 Indikator untuk Bandar Selamat yang telah ditetapkan oleh Kementerian Perumahan Kerajaan Tempatan (KPKT) dan sangat aktif bergerak melalui program-program yang melibatkan pihak PDRM, Persatuan Penduduk dan Pertubuhan NGO’s. Pihak Majlis  juga  telah mewujudkan “Crime Base Mappingbagi mengenal pasti dan menyokong strategi untuk membantu dan bekerjasama dengan pihak PDRM mengurangkan kadar jenayah serta meningkatkan tahap keselamatan penduduk di  Petaling  Jaya.

     

    Di samping itu, perbincangan bersama dengan pihak Kementerian Dalam Negeri telah menggalakkan penubuhan Unit Polis Bantuan di peringkat Pihak Berkuasa Tempatan bagi menyokong sepenuhnya Crime Lab :  Reducing  Crime,  A Safer Malaysiadi mana ia juga adalah merupakan sasaran pencapaian NKRA  di bawah Kementerian Dalam Negeri.

     

    Walau bagaimanapun cadangan kami ditolak atas alasan bahawa ditakuti akan berlaku pertindihan kuasa dan tanggungjawab dengan PDRM. Dikatakan juga bahawa Akta Kerajaan Tempatan Seksyen 101(1)(v) cukup memberi kuasa kepada Pihak Berkuasa Tempatan untuk melakukan segala yang perlu demi manfaat kepada keselamatan, kesihatan dan kesejahteraan awam.

     

    Kerajaan negeri telah sekali lagi memberi surat kepada Kementerian Dalam Negeri bagi merayu membolehkan Polis Bantuan Negeri. Selain dari kenyataan- kenyataan di media, Kerajaan Negeri belum menerima sebarang maklum balas mengenainya.

     

Lampiran

Tiada Lampiran.