Mesyuarat Ketiga Penggal Kelima Dewan Negeri Selangor Tahun 2012

19 November hingga 23 November 2012 dan 26 November hingga 30 November 2012

110) RUMAH-RUMAH YANG TIDAK DISELENGGARA OLEH TUAN PUNYA

Tahun: 2012

Sesi: 3

Isu: Perumahan

Adun: Y.B. Tuan Dr Abdul Rani Bin Osman

Kategori: Bertulis

Sub Soalan

  1. Terdapat banyak unit rumah di kawasan perumahan di Dun Meru yang ditinggalkan oleh tuan punya tanpa diselanggara menyebabkan semak, rosak dan roboh. Senaraikan berapakah unit rumah berkenaan dan senarai tuan rumah dan taman perumahan berkenaan.

    Berdasarkan aduan yang diterima daripada orang awam sebanyak 3 unit rumah yang ditinggalkan oleh tuan punya tanpa diselenggara menyebabkan semak, rosak dan roboh.

  2. Apakah tindakan oleh PBT berkenaan berpandukan akta dan undang-undang yang sedia ada mengatasi masalah ini?

    Tindakan-tindakan yang boleh diambil oleh PBT berpandukan akta dan undangundang yang sedia ada adalah seperti yang berikut di bawah iaitu :-

    1)         Seksyen 74, Akta Kerajaan Tempatan, 1976

    “Mana-mana pemunya, penduduk atau penyewa mana-mana rumah, bangunan atau tanah, sama ada layak diduduki oleh tenan atau tidak, yang membiarkan rumah, bangunan atau tanah itu atau mana-mana bahagiannya berada dalam keadaan kotor dan tidak baik atau dilitupi oleh tumbuh-tumbuhan rimbun dan mudarat melakukan suatu kesalahan dan boleh, apabila disabitkan, didenda tidak melebihi satu ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh kesalahan itu diteruskan selepas sabitan.”

    Majlis boleh mengambil tindakan pendakwaan terhadap sama ada kepada pemunya, penduduk atau penyewa mana-mana rumah sekiranya didapati rumah mereka dibiarkan di dalam keadaan-keadaan yang dinyatakan di dalam Seksyen tersebut.

    1. Seksyen 75, Akta Kerajaan Tempatan, 1976

    Seksyen 75(1) menyatakan antara lain bahawa Pegawai Kesihatan atau manamana pegawai Majlis yang diberi kuasa secara bertulis boleh memasuki dan memeriksa semua rumah dan bangunan pada bila-bila masa dan boleh dengan suatu perintah bertulis mengarahkan penduduknya untuk suatu tempoh yang ditetapkan untuk mencuci rumah atau bangunan.

    1. Seksyen 37, Akta Jalan, Parit Dan Bangunan, 1974

    Seksyen 37(1) menyatakan bahawa PBT boleh dengan notis secara bertulis menghendaki pemunya atau penduduk tanah di mana rumput atau tumbuhtumbuhan yang tumbuh di atasnya adalah dalam keadaan merbahaya atau mudah terbakar atau mungkin menjadi merbahaya kepada nyawa atau harta sekiranya ia terbakar mengkehendaki mereka membuangnya daripada tanah tersebut untuk suatu tempoh yang ditetapkan. Sekiranya pihak pemunya atau penduduk gagal berbuat sedemikian dalam tempoh masa yang ditetapkan Majlis boleh menjalankan kerja-kerja yang dinyatakan di dalam notis dan kemudiannya menuntut kos daripada pihak pemunya atau penduduk.

    1. Seksyen 84, Akta Jalan, Parit Dan Bangunan, 1974

    Seksyen ini menyatakan bahawa PBT boleh setelah mendapat aduan daripada mana-mana dua orang atau lebih jiran atau oleh seorang pegawai polis yang berpangkat tidak rendah daripada Penolong Penguasa atau oleh Pegawai Kesihatan, selepas siasatan yang sepatutnya, mengeluarkan notis  meminta pemunya atau orang yang mengaku sebagai pemunya mana-mana bangunan atau tanah sekiranya didapati bahawa bangunan atau tanah tersebut ditinggalkan atau kepunyaannya dipertikaikan atau tidak bertenan atau menjadi tumpuan pemalas dan orang yang berkelakuan tidak senonoh atau menjadi kacau ganggu awam.

    Notis yang dikeluarkan boleh mengarahkan pemunya atau orang yang mengaku sebagai pemunya untuk menjamin keselamatan bangunan, menutup bangunan atau menghentikan kacau ganggu dalam apa-apa tempoh yang ditetapkan oleh PBT.

    Jika pemunya tidak mematuhi kehendak notis, PBT boleh melakukan manamana atau semua perbuatan yang dikehendaki di dalam notis di mana segala kos dan belanja boleh dituntut daripada pemunya. Pemunya juga boleh didenda tidak melebihi dua ratus lima puluh ringgit bagi tiap-tiap hari kesalahan diteruskan selepas tamat tempoh notis.

    Rumusan : Semua peruntukan yang digunakan adalah tertakluk kepada fakta kes dan peruntukan yang bersesuaian akan dilaksanakan.

Lampiran

Tiada Lampiran.