Mesyuarat Ketiga Penggal Kelima Dewan Negeri Selangor Tahun 2012
19 November hingga 23 November 2012 dan 26 November hingga 30 November 2012
240) AUDIT KEWANGAN 2011
Tahun: 2012
Sesi: 3
Isu: Kewangan & Ekonomi
Adun: Y.B. Tuan Dr Shafie Bin Abu Bakar
Kategori: Mulut
Sub Soalan
-
Apakah kaedah kewangan yang diamalkan dalam pentadbiran kerajaan Selangor?
Pengurusan kewangan yang diamalkan di dalam pentadbiran Kerajaan Selangor adalah seperti Perbelanjaan Berhemah, Belanjawan Berimbang, memperkukuhkan prinsip pelaksanaan Perolehan Kerajaan yang diurus secara telus (transparent), akauntabiliti awam (public accountability) & nilai faedah yang terbaik (best value for money), persaingan terbuka dan dilaksanakan secara adil dan saksama. Selain itu, Kerajaan Negeri memberi penekanan di dalam mempertingkatkan kutipan dan pengurusan hasil, pengurusan aset serta memperkukuhkan kedudukan rizab Kerajaan Negeri.
-
Berapa peratuskah peningkatan simpanan kewangan negeri berbanding dengan sebelum kerajaan Pakatan memerintah?
Kedudukan Akaun Hasil Disatukan Kerajaan Negeri bagi tahun 2007 hingga 2012 (31 Oktober 2012) secara perbandingan sejak 5 tahun yang lepas dapat diperjelaskan melalui jadual di bawah:
Perkara\ Tahun 2007 2008 2009 2010 2011 2012 Akaun Hasil Disatukan (RM Juta)
624.86
673.97
608.01
732.25
912.75
1,289.69
Perbandingan Tahunan (%)
t 26.75 t 7.86 -9.79 t 20.43 t 24.65 t 41.30 Secara perbandingan antara Akaun Hasil Disatukan Kerajaan Negeri bagi tahun 2007 dengan tahun 2012 (31 Oktober 2012) peratus peningkatan adalah
sebanyak 106.40%.
-
Sektor manakah yang terbaik dalam mengendalikan kewangan di bawah kerajaan negeri?
Bagi menentukan tahap pematuhan terhadap undang-undang seperti Perlembagaan Persekutuan, Akta Audit 1957 dan peraturan yang berkaitan, setiap tahun Jabatan Audit Negara menjalankan pengauditan terhadap pengurusan kewangan di Jabatan/Agensi Negeri. Bagi Jabatan, aspek pengurusan kewangan yang dinilai adalah Kawalan Pengurusan, Kawalan Bajet, Kawalan Terimaan, Kawalan Perbelanjaan, Pengurusan Kumpulan Wang Amanah/Akaun Amanah Dan Deposit serta Pengurusan Aset Dan Stor. Manakala bagi Perbendaharaan Negeri dan Agensi pula, selain daripada 6 aspek tersebut, aspek lain yang turut dinilai ialah Pengurusan Pelaburan, Pengurusan Pinjaman dan Penyerahan Penyata Kewangan. Setiap aspek yang diperiksa/dinilai itu akan diberi markah dan akhirnya Jabatan/Agensi yang dinilai akan ditentukan penarafan atau ranking berdasarkan jumlah markah keseluruhan yang diperoleh.
Pelaksanaan Indeks Akauntabiliti Pengurusan Kewangan Jabatan/Agensi Negeri Selangor telah menunjukkan prestasi pengurusan kewangan adalah bertambah baik pada tahun 2011 berbanding 2010. Pada tahun 2011, prestasi pengurusan bagi lapan (8) Jabatan/Agensi Negeri adalah pada tahap sangat baik berbanding empat (4) Jabatan/Agensi Negeri pada tahun 2010. Majlis Perbandaran Subang Jaya, Pejabat Tanah Dan Galian, Majlis Perbandaran Kajang, Majlis Agama Islam Selangor, Pejabat Daerah Dan Tanah Sabak Bernam, Pejabat Menteri Besar & Setiausaha Kerajaan Negeri, Perbadanan Adat Melayu & Warisan Negeri Selangor dan Perbendaharaan Negeri Selangor berada ditahap sangat baik dengan penarafan 4 bintang.