Mesyuarat Kedua Penggal Kelima Dewan Negeri Selangor Tahun 2012
9 Julai 2012 hingga 12 Julai 2012
26) INAP DESA
Tahun: 2012
Sesi: 2
Isu: Pelancongan
Adun: Y.B. Tuan Yap Ee Wah
Kategori: Bertulis
Sub Soalan
-
Berapakah bilangan produk inap di Selangor mengikut daerah?
Program inap desa ataupun homestay semakin mendapat tempat dikalangan pelancong terutama daripada negara-negara Eropah mahpun dari negara Asia seperti Singapura. Program homestay mempunyai daya tarikan tersendiri terutama dari aspek kebudayaan, warisan serta kedudukan sesebuah homestay.
Kebudayaan merupakan salah satu aspek paling penting dan yang paling utama menjadi daya tarikan utama kepada pelancongan. Keenakan makanan masakan melayu yang pelbagai serta keunikan makan menggunakan tangan serta duduk bersila sentiasa menjadi pilihan pelancong. Pemakaian kain pelikat dan kain batik sentiasa menjadi keutamaan dan akhirnya akan menjadi barangan cenderahati yang bermakna kepada pelancong.
Para pelancongan juga sentiasa didedahkan dengan keunikan tarian mahupun keindahan barangan kraftangan yang turut memberi pengalaman kepada pelancongan untuk mencuba dan merasai pengalaman melakukan aktiviti ini sendiri.
Kedudukan sesebuah homestay juga menjadi kekuatan kepada pemilihan sesebuah homestay oleh pelancongan. Sawah padi saujana mata memandang mahupun keindahan pantai juga menjadikan aktiviti sesebuah homestay berbeza dan unik. Komoditi utama negara seperti kelapa sawit, getah dan koko sentiasa menjadi perhatian para pelancong dan sentiasa menjadi persinggahan bagi para pelancong untuk mendekati secara dekat mahupun menyentuh tumbuhan ini .
Walaubagaimanapun pertumbuhan dan perkembangan industri homestay ini dikawal oleh Kementerian Pelancongan Malaysia. Kementerian Pelancongan Malaysia mengeluarkan lesen serta garis panduan serta kriteria yang perlu dipatuhi oleh para pengusaha homestay.
Sehubungan dengan itu di Selangor terdapat 15 buah homestay yang berlesen dan sentiasa menjadi keutamaan kepada Tourism Selangor dalam aktiviti promosi dalam dan luar negara serta menjadikan ianya antara pakej utama bagi kunjungan Negeri Selangor. Berikut adalah homestay tersebut :
- Homestay Kampung Sungai Lang Tengah – Daerah Kuala Langat
- Homestay Kampung Endah – Daerah Kuala Langat
- Homestay Kampung Batu Laut – Daerah Kuala Langat
- Homestay Kanchong Darat – Daerah Kuala Langat
- Homestay Kampung Kundang – Daerah Kuala Langat
- Homestay Banghuris – Daerah Sepang
- Homestay Bougainvillea, Sungai Kertas – Daerah Gombak
- Homestay Sungai Tengi – Daerah Hulu Selangor
- Homestay Sungai Sireh – Daerah Kuala Selangor
- Homestay Batu 23 Sungai Nibong – Daerah Sabak Bernam
- Homestay Sungai Haji Dorani – Daerah Sabak Bernam
- Homestay Sepintas – Daerah Sabak Bernam
- Homestay Air Manis – Daerah Sabak Bernam
- Homestay Papitusulem – Daerah Sabak Bernam
- Homestay Kayangan – Daerah Sabak Bernam
-
Apakah strategi dan program kerajaan negeri untuk memastikan produk Inap Desa di Selangor terus berdaya maju?
Homestay atau Inap Desa adalah merupakan salah program pelancong yang semakin popular. Ianya bukan sahaja terdapat di Negeri Selangor bahkan diseluruh Malaysia antaranya seperti di Negeri Kelantan, Pulau Pinang, Negeri Sembilan dan beberapa negeri yang lain. Bahkan program yang hampir sama turut dilakukan di beberapa negera seperti di Taiwan (Leisure Stay ) dan negara barat yang turut dikenali sebagai ‘Farm Stay’. Sehubungan dengan itu Tourism Selangor sebagai agensi promosi telah dan akan terus melakukan aktiviti promosi antaranya :
- Kerajaan Negeri Selangor melalui Tourism Selangor sentiasa memainkan peranan utama dalam memastikan produk homestay atau inap desa dipromosikan secara meluas samada di dalam mahupun di luar negara .
- Tourism Selangor akan menggunakan semua saluran media yang sedia ada mahupun media alternatif serta penggunaan lawan web rasmi Tourism Selangor dalam mempromosikan program yang semakin popular di kalangan pelancong dalam dan luar negara ini.
- Terdapat beberapa siri lawatan media dan agensi pelancongan dari dalam dan luar negara telah dan akan diatur oleh Tourism Selangor bagi memastikan semua maklumat berkaitan aktiviti homestay dapat sampai dengan tepat dan berkesan kepada para pelancong.
- Tourism Selangor yang mempunyai aktiviti Skuad Kembara Selangor Shines yang menjelajah ke sekolah-sekolah menengah serta IPTA dan IPTS seluruh negeri Selangor serta aktiviti Roadshow Selangor Shines yang membuat promosi keseluruh negara yang turut mengedarkan risalah pelancongan berkaitan homestay cetakan Tourism Selangor kepada masyarakat umum bagi membolehkan mereka mendapat maklumat dan merancang percutian homestay mereka.
- Tourism Selangor juga telah dan akan merancang dengan membawa beberapa acara bagi menjadikan homestay sebagai lokasi utama penganjuran acara sebagai contoh Larian Bendang dan beberapa acara yang akan dirancang.
- Pakej-pakej yang menarik dengan pelbagai aktiviti yang bersesuai dengan lokasi sesebuah homestay turut giat di bangunkan dan dijual oleh Tourism Selangor kepada pelancong dalam dan luar negara .
-
Bagaimanakah sumbangan produk ini terhadap pelancongan negeri?
Dengan wujudnya program inap desa, telah berjaya menarik perhatian dan menyumbang kepada bilangan kedatangan pelancong ke negeri Selangor. Program inap desa ini juga secara langsung dapat meningkatkan taraf kehidupan dan pendapatan ekonomi Negeri Selangor khususnya kepada penduduk kampung yang terlibat dalam program ini. Selain itu juga, dengan wujudnya program inap desa ini, ia dapat meningkatkan jumlah dan kualiti kemudahan dan infrastruktur kepada kampung yang terlibat. Program ini dapat mengekalkan dan memelihara tentang adat, tradisi dan warisan Negeri Selangor.